Babak merisik bermula apabila calon lelaki membuka mulut untuk memperkenalkan diri kepada ibu dan bapa pihak perempuan. Fikiran dah mula melayang. Mandi tak basah, tidur tak lena, makan pun tak kenyang. Itu maksudnya anda sudah angau bercinta! Jadi, bermulalah langkah pertama untuk hubungan yang lebih serius.
Si dara pasti rasa berdebar menunggu detik dirisik. Manakan tidak, statusnya bakal berubah jika mengatakan “Ya”. Si teruna pula sudah tidak sabar menunggu jawapan si dara dengan harapan risikannya diterima. Bagi pasangan yang sememangnya bercinta, ia sesuatu detik yang dinanti-nantikan.
Namun, ada juga pasangan yang masih belum mengenali tetapi si teruna berhajat menyunting gadis itu sebagai isteri. Lalu, kebiasaannya pihak lelaki yang diwakili oleh ahli keluarga akan pergi berjumpa dengan keluarga si dara bagi menyatakan hajat kehadiran mereka.
Kandungan
7. Apa itu Merisik dan Kenapa Ia Penting
Merisik adalah langkah pertama sebelum terjadinya hubungan yang lebih serius. Ia merupakan adat resam masyarakat Melayu yang masih dipraktikkan sehingga hari ini. Ia sangat penting bagi menyelidik atau menyiasat latar belakang gadis pilihan itu sebelum dijadikan suri hati.
Ia bukanlah untuk berprasangka buruk pada gadis tersebut namun sangatlah penting untuk mendapatkan kepastian mengenai status sosial bakal pengantin. Takut-takut dia merupakan tunangan atau isteri orang!
Ia mengambil tempat dengan menghantar orang tengah ke rumah orang tua si gadis sebagai wakil kepada bakal mempelai. Selain itu, ia sangat penting bagi pihak keluarga kedua belah bakal pengantin bertemu empat mata. Bila sudah berkenalan, sesi seterusnya iaitu pertunangan akan menjadi lebih mudah.
Dalam sesi merisik ini, selalunya keluarga si gadis akan diberitahu lebih awal tentang kehadiran pihak lelaki supaya mereka boleh membuat persiapan awal seperti menyediakan hidangan istimewa atau kenduri kecil dan ada juga yang menjemput keluarga terdekat untuk memeriahkan lagi majlis merisik.
Bukan hendak menyusahkan keluarga si gadis tetapi sudah menjadi adat pihak perempuan akan bersungguh-sungguh bersiap sedia menerima kehadiran pihak lelaki sebagai tanda ingin menghargai perhubungan kekeluargaan yang bakal terjalin. Jika pihak lelaki datang tanpa pengetahuan keluarga si gadis, alamatnya hanya sekadar menjamah hidangan ringan sahaja.
Selalunya, pihak lelaki akan membawa cincin belah rotan dan sedikit buah tangan dalam proses merisik ini. Setelah menyatakan hajat kedatangan kepada kedua ibu bapa si gadis, wakil pihak lelaki yang lazimnya terdiri daripada ibu bapanya sendiri atau ibu bapa saudara akan menghulurkan cincin.
Ibu kepada bakal pengantin perempuan akan bertanyakan anak gadisnya sama ada ingin menerima atau menolak risikan ini. Tanpa dipengaruhi oleh sesiapa, si gadis akan memberikan jawapan secara terus atau meminta tempoh untuk berfikir sebelum membuat apa-apa keputusan. Sekiranya si gadis bersetuju, cincin tersebut akan diambil dan tidak ia akan dipulangkan kembali.
6. Orang Masih Merisik ke Zaman Ni?
Masyarakat Melayu zaman dahulu amat mementingkan adat merisik ini. Logiknya pada zaman mereka tidak ada kemudahan komunikasi dan interaksi seperti sekarang.
Jadi kebanyakan pasangan pengantin zaman atok nenek dahulu berkahwin berdasarkan calon yang ditetapkan ibu bapa masing-masing. Oleh itu, sangat pentingnya adat merisik ini dilakukan.
Dengan wujudnya gadjet dan laman sosial tanpa sepadan, kini memudahkan proses komunikasi sepantas satu klik di hujung jari. Persoalannya, masih relevankah diteruskan pada zaman serba canggih ini? Ia sebenarnya terpulang pada keluarga pengantin tersebut. Bagi yang masih ingin meneruskan adat, mereka akan meneruskan juga proses merisik ini.
Namun, sudah semakin ramai keluarga pasangan pengantin sepakat melaksanakan adat merisik dan bertunang dalam satu majlis. Ini bermakna si gadis tadi menerima dua bentuk cincin sekaligus yang digelar sebagai cincin merisik dan cincin bertunang.
Senang kata, kebanyakan mereka yang masih mengamalkan adat merisik secara eksklusif ini ialah apabila si teruna dan si dara masih belum mengenali diri mereka serta ahli keluarga mereka secara dekat. Mereka belum pernah berkawan rapat dan cuma mengetahui sedikit sahaja perihal mengenai gadis idaman yang mahu dirisik.
5. Adakah Merisik itu Bertunang?
Merisik dan bertunang adalah dua perkara yang berbeza. Merisik seperti yang dikatakan hanya untuk mengetahui latar belakang pengantin perempuan tersebut. Ada kalanya, merisik dilakukan secara mengejut dari pihak lelaki dimana keluarga pihak perempuan tidak diberitahu akan kedatangan mereka.
Justeru itu, merisik hanya untuk memastikan si dara bukan milik orang lain. Ini peringkat yang terlalu awal di mana tidak membawa perbincangan ke arah perkahwinan lagi.
Manakala, bertunang pula adalah ikatan perjanjian untuk menjadi suami isteri. Jika merisik diberikan cincin belah rotan, bertunang pula diberikan cincin berbatu. Majlis bertunang turut diadakan secara kecil-kecilan yang dihadiri oleh keluarga terdekat.
Mereka berbalas hantaran seperti tepak sirih, kek, coklat dan kain pasang. Semasa proses bertunang, pihak kedua belah keluarga akan berbincang mengenai tempoh pertunangan, tarikh perkahwinan dan juga jumlah hantaran.
4. Merisik Dalam Islam
Islam tidak melarang penganutnya untuk bercinta. Ini kerana sifat cinta itu sendiri ialah fitrah bagi manusia. Dengan perkahwinan sahaja akan bertambahnya umat Nabi Muhammad saw dan baginda amat menyukai hal demikian. Dalam perihal merisik, ia sesuatu yang dibolehkan atau harus.
Selagi mana ia tidak bertentangan dengan syarak seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, ianya digalakkan. Dalam Islam, Nabi Muhammad saw menganjurkan supaya melihat terlebih dahulu wajah bakal isteri.
Perkahwinan ialah ikatan dua hati. Jadi sebelum ianya terjadi, kedua-dua lelaki dan perempuan disarankan melihat terlebih dahulu wajah agar tidak menyesal di kemudian hari. Oleh itu, mereka boleh mengambil peluang untuk ‘melihat bukan menatap’ wajah pasangan yang bakal dikahwini semasa sesi merisik. Sekiranya pengantin lelaki tidak hadir, wakil pihak keluarga pengantin lelaki boleh menjadi orang tengah dalam urusan ini.
Tambahan pula, Islam sangat menjaga kesucian kaum Hawa. Jadinya, adat merisik ini sangat selari dengan kehendak Islam. Apabila dua jantina bersama tanpa peneman, yang ketiganya ialah syaitan. Oleh itu, merisik ini menjadikan ibu bapa sebagai peneman sekiranya si teruna berhajat ingin melihat bakal isteri yang ingin dilamarnya.
Namun begitu, Islam tidak menggalakkan penyebaran hal berkaitan merisik atau bertunang. Ianya perlu disorokkan daripada pengetahuan umum. Kemungkinan sekiranya jodoh tidak sampai ke jinjang pelamin akan memalukan keluarga kedua-dua belah pihak.
3. Bila Perlu Merisik?
Lebih cepat lebih bagus agar tidak dikebas orang! Sekiranya pihak lelaki sudah bersiap sedia untuk berjumpa dengan ibu bapa si gadis idamannya, inilah masa yang terbaik untuk masuk merisik.
Tidak perlu menunggu kaya raya, lebih penting lagi dengan mempunyai sikap matang serta ilmu. Bagi seorang suami, tanggungjawab mereka sangatlah besar. Justeru itu, mereka tidak boleh memandang ringan soal perkahwinan.
Bonus sekiranya bakal pengantin lelaki sudah memiliki kerjaya yang stabil! Namun begitu, bukan masalah besar jika belum bekerja tetapi usaha yang kuat harus dilakukan untuk meyakinkan pihak pengantin perempuan semasa proses merisik nanti.
Bagi pasangan yang sudah lama tempoh perkenalannya, seeloknya disegerakan masuk merisik kerana makin lama bersahabat, makin kuat godaan yang melanda!
Untuk si teruna yang belum mengenali si dara tetapi memasang hajat untuk menikahinya, disarankan untuk cepat-cepat hantar rombongan merisik. Dengan mengetahui tentang latar belakang si gadis, ia sangat penting untuk si teruna tadi, terus menanam keinginannya untuk memperisterikan si gadis atau perlu bingkas ‘move on’ jika gadis itu sudah menjadi kepunyaan orang.
2. Adab Merisik | Tingkah Laku Semasa Bertandang
Pihak Perempuan
Dalam apa jua keadaan, adab sangat perlu dititik beratkan. Kelakuan yang elok perlulah ditonjolkan oleh kedua-dua belah pihak semasa proses merisik. Sekiranya pihak lelaki datang secara mengejut, keluarga belah perempuan perlu menerima kehadiran tetamu dengan berlapang dada.
Mereka perlu menghormati kehadiran tetamu seperti mana yang dianjurkan oleh Islam. Sedikit sebanyak perlulah juga menghidang juadah walaupun simple. Tuan rumah wajib menjawab salam dan menjemput tetamu masuk ke rumah dengan bertatasusila.
Pihak Lelaki
Memasang Niat yang Baik
Bagi pihak lelaki yang menjadi tetamu, paling utama sekali haruslah kedatangan ahli keluarga membawa kepada niat yang murni. Ianya merupakan perilaku yang salah sekiranya mereka datang merisik anak dara orang namun tidak mempunyai niat untuk sampai ke tahap perkahwinan.
Sama sekali tidak boleh mempermainkan perasaaan ahli keluarga dan si gadis yang dirisik itu. Jika si gadis menerima risikan itu, ini tidak bermakna si teruna sudah boleh bebas melakukan apa yang diingini. Selagi belum berkahwin, segalanya masih lagi haram!
Bagi yang sudah sedia maklum, jika perempuan yang mahu dirisik itu sudah menjadi tunangan atau isteri orang, lebih baik membatalkan hasrat hati walau mempunyai niat mendirikan masjid. Ianya bukan sahaja salah, namun berdosa hukumnya!
Mohon Keizinan
Untuk memasuki rumah ibu bapa perempuan, perlulah keluarga lelaki meminta izin terlebih dahulu. Tidak boleh main ‘terjah’ sesuka hati. Mulakan langkah dengan memberi salam dan menunggu respon tuan rumah.
Jika dijemput masuk, jangan sesekali mengintai percakapan ataupun dapur dan bilik tuan rumah. Ini akan mendorong kepada tanggapan negatif pada keluarga pihak lelaki. Lebih malang lagi akan memberi tempias kepada bakal pengantin lelaki.
Masa yang Sesuai
Mencari masa yang sesuai sangat penting agar tidak mengganggu privasi tuan rumah. Pilihlah waktu siang sebaiknya waktu pagi atau petang kerana berkemungkinan besar tuan rumah bersedia menerima tetamu adalah tinggi berbanding waktu malam.
Bagi yang sudah memaklumkan kehadiran, perlulah menepati waktu yang dijanjikan agar tidak membuat keluarga pihak perempuan tertunggu-tunggu.
Jujur
Kejujuran adalah elemen penting bagi membina cinta yang abadi. Semasa proses merisik, kedua-dua belah pihak akan serba sedikit menceritakan tentang latar belakang ahli keluarga lebih-lebih lagi perihal si teruna dan si dara. Ketika ini, masing-masing mestilah adil dengan diri sendiri dengan memaklumkan perihal sebenar mengenai kerjaya dan status.
Jika mempunyai penyakit yang serius, perlu juga berterus terang agar tidak menyusahkan pasangan kelak. Sementara belum sah menjadi suami isteri, hal-hal yang besar harus dimaklumkan supaya masing-masing bersedia jika tetap mahu meneruskan perhubungan hingga ke jinjang pelamin.
Untuk perempuan yang diminta untuk dilihat wajahnya, lebih manis lagi untuk menampilkan wajah sebenar yang hanya dioles make up yang nipis. Ia penting agar bakal suami tidak rasa tertipu jika menggunakan make up yang tebal namun hampa setelah memadamnya.
Jadi, kejujuran amat penting kerana perhubungan yang dimulakan dengan penipuan boleh jadi berakhir dengan kehancuran.
Tidak Memaksa
Cinta tidak boleh dipaksa. Setelah selesai proses merisik, pihak lelaki tidak boleh memaksa keluarga perempuan untuk menerima anak lelakinya. Hanya tuan badan sendiri yang layak membuat keputusan untuk kehidupannya.
Jadi, ibu bapa lelaki mahupun perempuan tidak boleh mempengaruhi atau mengugut anak gadis untuk menerima risikan tersebut. Pihak lelaki juga haruslah berlapang dada menerima apa-apa keputusan dari pihak perempuan. Jangan pula menyimpan dendam jika risikan ditolak!
Tidak Mungkiri Janji
Janji yang dimungkiri akan berbekas di hati sampai bila-bila. Cinta yang dipermainkan pula sakitnya lebih tajam dari sembilu! Justeru itu, jika si gadis sudah menerima lamaran dari pihak lelaki, adalah wajib untuk bakal pengantin lelaki berusaha untuk menghalalkan cinta mereka secepat mungkin.
Apabila sudah memasang niat untuk memperisterikannya, lelaki-lelaki lain haram untuk meminangnya. Jadi, si gadis sudah terikat di sebalik cincin belah rotan yang diterimanya.
Perjanjian yang telah dipersetujui tidak boleh dimungkiri oleh pihak lelaki sesuka hati tanpa alasan atau sebab yang munasabah. Sebaiknya, teruskan dengan pertunangan dan segerakan pernikahan.
Hormat
Gaya bahasa yang dikenakan perlulah selari dengan watak Muslim yang dibawa. Hendaklah menggunakan tutur kata yang sopan ketika sedang berbincang antara satu sama lain. Pihak lelaki perlu menghormati segala yang ada didalam rumah keluarga perempuan.
Janganlah mempertikaikan tentang susun atur perabut atau juadah yang disediakan. Jika terlihat sesuatu yang tidak enak dipandang, biarlah habis di situ sahaja. Jangan sesekali memburuk-burukkan keluarga pihak perempuan.
Sikap hormat juga penting pada sesi suai kenal kerana manusia sering menilai seseorang yang belum dikenali melalui ‘first impression’.
Ucap “Terima Kasih”
Apabila proses merisik telah selesai, ibu bapa atau saudara pihak lelaki haruslah mengucapkan ‘terima kasih’ atas kesudian pihak perempuan menerima kedatangan mereka. Ini akan mengakrabkan lagi perhubungan mereka lebih-lebih lagi setelah menjadi besan nanti.
1. Pantun Merisik
Pantun merupakan pelengkap dan penyeri dalam majlis merisik. Sesetengah masyarakat Melayu masih lagi menggunakan pantun sebagai mukadimah sebelum bicara diteruskan kepada tujuan asal kehadiran mereka. Walaupun jarang digunakan oleh masyarakat zaman sekarang, ia tetap popular bagi sesetengah orang.
Ianya merupakan satu seni dalam berbahasa untuk menyatakan hasrat hati atau biasanya disebut sebagai ‘ayat berlapik’. Dengan berbalas-balas pantun ianya akan menambah lagi keceriaan dalam majlis merisik. Ia dimulakan dahulu oleh keluarga pihak lelaki dan dibalas oleh wakil pihak perempuan.
Ketika sesi berbalas pantun berlangsung, kedua-dua belah pihak keluarga akan mendengar dengan baik dan cuba untuk membalas dengan pantun yang menarik. Terdapat juga elemen jenaka diselitkan bagi menambahkan lagi suasana yang ceria.
Pantun yang selalu diguna pakai dalam majlis merisik ialah pantun empat kerat. Ia sangat popular dibandingkan dengan pantun dua atau enam kerat. Bagi pihak lelaki, pantun mereka akan mengandungi mesej tentang hajat bertandang ke rumah belah perempuan.
Mereka akan menerima balasan pantun yang menjemput mereka masuk ke rumah. Namun, jika si gadis terus membuat keputusan, pantun yang diterima akan mengandungi mesej samada menerima atau menolak pinangan.
Sesi membalas pantun ini cuma seketika dan tidak melibatkan si dara mahupun si teruna. Ia diutarakan oleh keluarga kedua-dua belah pihak yang selalunya diwakilkan kepada ibu bapa saudara lelaki dan perempuan. Ia tidak memerlukan persediaan yang sukar kerana pembayang pantun biasanya digunakan berdasarkan apa yang ada di persekitaran sahaja.
Hanya dua baris terakhir membawa maksud sebenar tentang tujuan yang ingin disampaikan. Jadi, bagi mereka yang berhajat masuk meminang terapkanlah khazanah Melayu yang tak ternilai ini agar ia tidak lapuk dek zaman. Siapa lagi yang akan mengangkat seni warisan Melayu ini jika bukan kita sendiri.
Pada masa kini, ia jarang digunakan dan hanya sesekali sahaja dapat didengari melalui beberapa majlis tertentu. Justeru itu, ambil lah peluang merisik ini dengan membawa seni ini. Bagi yang sudah memaklumkan kehadiran untuk masuk meminang, kedua-dua belah pihak boleh bersiap sedia dengan pantun masing-masing agar majlis dapat berlangsung dengan lebih sempurna.
Adat merisik ini akan menambahkan lagi keindahan dalam perkahwinan masyarakat Melayu. Walaupun sedang berada di zaman moden, ia sesuatu yang tidak patut di pandang sepi.
Berbincanglah dengan bakal isteri anda untuk melaksanakan adat ini jika berkesempatan. Ia tidak memerlukan modal yang besar, hanya memerlukan usaha dan kesudian pihak wakil ibu dan bapa lelaki dan perempuan menjadi orang tengah buat bakal mempelai.
Setelah berazam untuk berkahwin, sudilah menyatakan hasrat dengan tulus ikhlas. Bawalah bakal pasangan anda berjumpa dengan kedua ibu dan bapa kerana itu adalah yang terbaik dilakukan. Elakkanlah bercinta tanpa pengetahuan mereka kerana restu ibu bapa sangatlah penting bagi mendapatkan keberkatan dalam perkahwinan.
Satu hari nanti, ianya pasti menjadi kenangan yang manis yang boleh diabadikan bersama sampai hujung nyawa. Akhir kata, buat anda yang sedang merancang untuk merisik, janganlah terlalu berasa gundah gulana. Perasaan takut itu normal bagi yang bujang kerana anda bakal melangkah ke fasa kehidupan yang baru.
Tarik nafas dalam-dalam dan bawakan bertenang kerana semuanya akan berakhir dengan baik. Kami doakan agar perhubungan cinta anda membawa hingga ke jinjang pelamin seterusnya kekal sampai ke syurga yang abadi, InyaAllah.