Kesempurnaan di dalam majlis perkahwinan sememangnya menjadi keutamaan, namun apakah nilai kesempurnaan sesebuah majlis perkahwinan tanpa bridesmaid disamping anda wahai bakal pengantin perempuan. Tak lengkap rasanya bagi bride tanpa bridesmaid yang menemani dan mengiringi sepanjang majlis raja sehari anda bukan?

Bagi gadis-gadis yang terpilih pasti rasa sangat teruja dan yang paling penting sekali bila kita sebut bridesmaid, adalah baju apa yang akan dipakai untuk menambahkan lagi keserian majlis perkahwinan. Bukan semudah itu dalam pencarian baju bridesmaid ini, kerana kalau dahulu, pengapit hanya seorang sahaja tapi trend zaman sekarang tidak lagi!

Menjadi kebiasaan bridesmaid akan menyarung pakaian mengikut konsep rekaan, tema dan warna yang ditetapkan mengikut citarasa pengantin. Memandangkan bakal pengantin diluar sana mungkin tiada idea bagi baju bridesmaids, kami kongsikan bersama anda 29 baju bridesmaid yang hangat diperagakan di majlis perkahwinan zaman kini dan bagi memudahkan anda membuat pilihan, kami bahagikan kepada tiga konsep.

Kandungan

Baju Bridesmaid Simple & Plain

29. Peach

Baju Bridesmaid Peach Cair
Sumber: ayuzaidi.co

Pernah dengar an apple is a good thing until you have tried a peach? sesedap rasa, seindah warna. warna pale berasaskan buah peach ini tidak asing lagi dalam tema perkahwinan. sifat warna yang pale dan berbagai spektrum, menjadikan peach pilihan warna lembut kerana tidak membuatkan baju pengantin tenggelam.

Baca: 17 Baju Nikah Simple & Elegen Sesuai Untuk Ratu Sehari

Rekaan kurung peplum dan  warna tudung nude adalah contoh kombinasi yang sempurna, terutamanya sesuai bagi mereka yang berkulit cerah.

28. Hitam & Kelabu

Baju Bridesmaid Hitam & Kelabu
Sumber: sc_stylista

Dua warna yang universal dan menjadi in trend masa kini.  Warna hitam dan kelabu adalah kombinasi yang cukup sempurna dipadankan.

Pemilihan kain kapas atau cotton menjadi fabrik yang amat sesuai untuk pemakaian warna hitam dan kelabu kerana Malaysia kan panas dan lembab jadi para bridesmaids mesti mahu kekal cantik dan berasa selesa. Rekaan kurung moden tanpa pesak warna hitam dan shawl kelabu menjadikan bridesmaid anda kelihatan ringkas bergaya.

27. Merah Carmine

Baju Bridesmaid Merah Carmine
Sumber: sc_stylista

Merah Carmine ini tidak lagi digunakan hanya di dalam industri kosmetik atau fesyen berjenama sahaja, ia juga digayakan sebagai tema warna bridesmaid, sesuai dengan tona warna merah yang cukup garang memberikan rasa yang sangat berani dan bersemangat, secara tak langsung membuatkan majlis terasa meriah.

Pemilihan kurung Saloma samada potongan peplum laces ataupun mini, pasti menarik minat bagi sesiapa saja yang memandangnya. Sesuai bagi yang mereka yang ingin mengayakan sanggul, cukup klasik!

26. Dusty Lavender

Baju Bridesmaid Dusty Lavender
Sumber: amirnaufalphotography

Kelebihan warna bersifat pastel ataupun pale seperti dusty lavender ini ialah warna ini sesuai dipakai oleh semua jenis tona warna kulit samada anda berkulit putih cerah mahupun hitam manis maka tiada istilah color block.

Untuk pilihan rekaan baju, apa kata anda cuba baju kurung ikatan tengah ataupun dipanggil pario dengan fabrik como crepe yang sejuk dan tidak jarang dan sangat sesuai bagi mereka yang bakal melangsungkan perkahwinan bertemakan outdoor kerana kain jenis ini tidak melekat. Mudah dipadankan dengan apa sahaja rona warna nude untuk tudung.

25. Lavender & Pink

Baju Bridesmaid Lavender & pink
Sumber: amirnaufalphotography

Satu lagi kombinasi warna yang sesuai digandingkan bersama. Rekaan baju kurung moden  dengan tambahan eleman fesyen flouncy dan ruffles dibahagian depan menaikkan lagi faktor wow kepada baju pengapit anda. Dari pemilihan fabrik, chiffon boleh menjadi salah satu pilihan anda.

Walaupun bersifat tembus cahaya, anda tidak perlu risau kerana kebiasaannya chiffon dilapisi bersama lining. Cukup selesa kerana teksturnya yang lembut dan beralun serta rasa ringan. Pilihan chiffon jenis Georgette menjadi pilihan ramai kerana mudah penjagaan dan murah.

24. Dusty Rose

Baju Kurung Bridesmaid Dusty Rose
Sumber: kudegraphy.com

Gadis mana tak sukakan warna ini, pasti mereka teruja bila dapat tahu akan mengayakan baju mereka dengan warna Dusty Rose. Sangat sesuai bila dipakai ketika hari pernikahan kerana kebiasaanya pengantin akan mengenakan warna putih untuk baju akad mereka.

Kombinasi warna dusty pink ini menambahkan lagi keindahan majlis apabila warna putih menjadi warna utama maka menjadikan suasana tampak tenang dan nyaman. Rekaan kurung yang moden dengan hiasan sulam goyang bermotif flora dibahagian lengan menjadikan baju pengapit lebih menyerlah.

23. Biru & Hijau

Pakaian Bridesmaid Dusty Blue & Green
Sumber: Poplook

Warna gabungan biru dan hijau ini kalau kena pada gaya rekaan dan pemilihan jenis warna, tak mustahil menjadi satu kombinasi yang menarik.

Pilihan warna pastel seperti Blue Fog dan Apple Mist menjaminkan kombinasi yang lembut dalam interpretasi padanan blouse butang dibahagian hadapan dan tiered skirt. Dari segi pemilihan fabrik, Chiffon Plain sesuai bagi anda yang tidak sukakan corak pada kain.

22. Baby Blue & Peach

Baju Bridesmaid Baby Blue & Peach
Sumber: Nononess

Kalau tadi biru dan hijau, kini kita gandingkan pula baby blue dan peach. Baby blue yang lembut dan peach yang pale salah satu pilihan yang sempurna. Ini kerana, kombinasi kedua-dua warna ini cukup sedap mata memandang dan tidak terlalu menonjol melebihi pemakaian pengantin.

Dengan rekaan pleat skirt labuh dan lengan loceng ataupun dikenali sebagai lengan payung menampakkan lagi kemodenan pemakaian ini tanpa menjejaskan aspek keselesaan si pemakai.

21. Light Blue & Ivory White

Baju Bridesmaid Light blue & ivory white
Sumber: syahmiazmanphotography

Rona lembut gabungan biru cair dipadankan dengan ivory white memberi tatapan lembut kepada setiap mata yang memandang. Padanan warna lembut sinonim dengan bridesmaid kerana tidak terlalu kontra dengan pengantin yang kebiasaannya berwarna putih.

Bagi kombinasi warna seperti ini, rekaan baju tradisional ataupun moden sesuai untuk digayakan. Untuk dua gabungan ini, kami syorkan anda memilih rekaan baju kurung kedah kerana potongan yang ringkas dan mengikut tubuh badan, ideal bagi mereka yang bertubuh langsing mahupun tinggi lampai. Bersesuaian dengan tema perkahwinan yang elegan dan simple.

20. Pink Belacan

Baju Kurung Bridesmaid Pink Belacan
Sumber: lauria_abriyaksa

Warna ini juga sering menjadi pilihan bridesmaid pengantin untuk digayakan pada majlis perkahwinan. Warna seperti ini sesuai dengan penggunaan dua jenis fabrik; satin dan chiffon yang ada lining di bahagian dalam, bertatahkan batu dan juga bermanik.

Pemilihan double chiffon juga boleh diguna pakai agar pakaian tidak tembus cahaya dan juga boleh ditambahkan laces untuk tambahan elemen corak kerawang dan floral.

19. Light Turquoise & Kelabu

Baju Bridesmaid Light turquoise & Grey
Sumber: syafiq_ishak

Satu lagi contoh gabungan warna pastel dan nude. Dari segi rekaan baju, kurung dan kebaya yang sering menjadi pilihan. Cuma untuk mereka yang bertubuh tidak ideal, kami syorkan memilih kurung Pahang. Rekaan sebegini sangat cantik bagi mereka yang bersaiz besar kerana potongannya yang tidak menampak bentuk badan yang anda ingin sembunyikan.

Baca: 27 Baju Songket Pengantin Yang Menarik

Pemilihan kain jenis crepe amatlah sesuai kerana nipis dan lembut. Crepe mudah dijaga dan tak perlu risau akan baju yang berkedut dan bagi yang mahu pleated dan flouncy pada baju mereka, crepe sesuai kerana mudah dibentuk dan tidak panas.

18. Taupe & Brown

Baju Bridesmaid Warna Taupe-&-brown
Sumber: syafiq_ishak

Mesti tak biasa dengar kan? Taupe sejenis warna neutral yang mudah dipadankan dengan warna yang lain serta corak yang pelbagai. Sifatnya yang seakan kelabu sering dirujuk sebagai greige. Gabungan dua warna ini sesuai kerana ia mudah dipadankan.

Pilihan warna nude brown sebagai tudung anda bersama kain ela taupe yang datang bersama corak kerawang atau pun corak bunga direka sebagai bentuk kaftan. Pemilihan kain jenis cotton Paris amat sesuai walaupun jarang dan sangat ringan.

17. Light Orange & Peach

Baju Bridesmaid Light Orange & Peach
Sumber: yasminazhartw

Bagaimana pula untuk majlis pertunangan? Apa kata anda cuba kombinasi warna ini pula. Mudah digandingkan bersama tanpa perlukan corak yang berat pada baju anda. Kedua-dua warna ini sesuai apabila cik tunang mengenakan pakaian berwarna dusty pink.

Ia dapat menciptakan kontra yang menarik, pada masa yang sama sangat seimbang. Penggunaan kain polos jenis cotton silk cukup sesuai kerana tahan lama walau sering dibasuh. Kurung moden dengan sedikit kelainan di bahagian depan yang disertakan butang dan mengikut potongan badan, pasti anda tampil ringkas namun masih bergaya.

16. Putih & Kelabu

Baju Bridesmaid Putih & kelabu
Sumber: drenjisphotography

Pilihan untuk menggunakan dua warna ini bukan sahaja sesuai untuk semua jenis potongan badan dan tona kulit, ia juga menimbulkan suasana yang tenang dan nampak sopan. Siapa kata kurung tradisional tidak menawan?

Gayakan konsep kurung tradisional dengan sedikit tambahan di bahagian baju dengan sulaman manik ringkas berbentuk geometri dililit dengan warna shawl  kelabu. Untuk sedikit kelainan, anda boleh memilih warna putih kekuningan atau kebiruan untuk tekstur yang berbeza. Selesa dan anggun.

15. Dark & Light Purple

Dark & Light Purple
Sumber: drenjisphotography

Kadang-kadang susah juga kan nak gabungkan dua warna untuk menghasilkan baju yang cantik. Apa kata gunakan satu warna dengan kontras berbeza seperti ungu gelap dan terang.

Gabungan rekaan baju kurung dan jubah cukup sesuai bagi mereka yang menitikberatkan penampilan yang muslimah dan sopan. Pemilihan kain wool peach yang tebal tetapi tidak panas dan tidak mudah ronyok serta mudah diseterika. Anda tampil presentable walau seharian memakainya.

14. Light Brown

Baju Bridesmaid Light Brown
Sumber: calacara

Siapa kata warna nude seperti light brown ini tidak sesuai untuk dijadikan baju bridesmaid. Warna neutral yang sering dikatakan pucat ini menjadi pilihan yang hangat buat masa kini. Untuk tampil lebih berani, anda boleh memilih untuk tidak mengenakan baju kurung atau kebaya, sebaliknya memilih untuk memakai  dress yang mengikut potongan badan dengan peplum di bahagian hujung dress.

Lengkapkan penampilan anda dengan tudung berwarna neutral seperti warna putih ataupun gayaan rambut bebas. Pemilihan warna ini membuatkan wajah anda lebih menonjol dan melihatkan kecantikan anda.

13. Dark Pink & White

Baju Bridesmaid Dark Pink & White
Sumber: calacara

Satu lagi pilihan yang sesuai untuk digayakan sebagai dress dan dipadan dengan tudung putih sebagai pelengkap dress bridesmaids anda.

Dengan potongan dress yang bersesuaian dengan tubuh badan anda, ditambahkan dengan peplum dari lutut ke bawah dan pemilihan tengkuk teluk belanga, anda bukan sahaja mencuri perhatian si bujang yang hadir, malah pada sesiapa sahaja yang memandang.

Pemilihan fabrik double satin bukan sahaja mengekalkan anda dalam keadaan selesa tapi juga menampakkan fabrik yang mewah dan keanggunan anda sewaktu memakainya.

12. Satin Purple & Silver

Baju Bridesmaid Satin Purple & Silver
Sumber: tied.the.knot

Asyik baju kurung moden je, apa kata untuk gabungan warna yang mewah dan elegan ini, kita gayakan dengan kebarung iaitu gabungan baju kurung dan kebaya. Pemilihan kain satin yang mewah serta permukaan yang licin serta kelihatan kemas membuatkan anda kelihatan berseri.

Kami cadangkan satin jenis lycra kerana sifatnya yang utuh dan lebih elastik membuatkan ianya nampak terletak pada badan. Bagi yang mahukan lebih lembut dan berkilat anda boleh cuba satin crepe.

11. Dark Blue & Light Grey

Baju Bridesmaid Dark Blue & Light Grey
Sumber: kotakchenta

Masih lagi ingin mengenakan rekaan baju kebaya, anda juga boleh memilih rekaan kebaya Riau Pahang yang mana berbeza dengan kebaya yang lain kerana kolarnya yang bercekak musang dan berkancing. Dengan bahagian depan yang berbelah seperti kebaya yang lain.

Untuk perhiasan, kebaya Riau Pahang ini boleh pakai bersama keronsang. Ianya juga sesuai bila dijahit menggunakan kain cotton mahupun chiffon mengikut citarasa tersendiri kerana kedua-dua jenis kain ini memberikan rasa yang selesa apabila memakainya.

Seimbangkan kebaya biru gelap anda bersama tudung kelabu cair supaya tercipta kontra yang menarik. Pemilihan warna ini sesuai jika majlis berlangsung di kawasan masjid kerana warna ini sendiri menjadikan anda tampil formal dan tidak menarik perhatian.

10. Satin Dark Green

Baju Bridesmaid Satin Dark Green
Sumber: venirebridesmaid

Hijau sering dikaitkan dengan kesempurnaan. Mana tidaknya, hijau memang warna yang memberi ketenangan holistik dan rasa relaks apatah lagi jika bridesmaids anda menyarungkan busana berteraskan warna kain satin emerald green.

Baca: 21 Inspirasi Baju Pengantin Lelaki Khas Untuk Raja Sehari

Tidak kira baju kurung tradisional atau moden mahupun kebaya, pemilihan satin jenis polyester bukan sahaja murah tapi mudah untuk dicuci berbanding satin yang lain. Serlahkan keindahan baju bridesmaid anda dengan tudung crepe bewarna hijau fern untuk keseimbangan kontra warna-sejuk bagi mata yang memandangnya.

Baju Bridesmaid Bercorak

9. Baju Plain & Kain Bercorak

Baju Plain & Kain Bercorak
Sumber: lightlovapictures

Kami yang melihat pun dah terpikat. Dengan konsep potongan mullet untuk bahagian baju plain berwarna putih dengan hiasan manik bermotif bunga dan kain bercorak geometri dengan potongan A-line berasaskan warna mint atau seafoam, sudah cukup untuk squad goal yang sempurna.

8. Baju Flora & Kain Plain

Baju Bridesmaid Floral & Kain Plain
Sumber: omaroza

Corak bunga tak akan pernah menghampakan. Tema yang bersifat feminin dan versatile ini  boleh digayakan dalam apa jua majlis apatah lagi untuk bridesmaid. Selalunya pilihan seperti ini dipakai sewaktu majlis bertunang kerana gayanya yang santai.

Sesuai dengan potongan kebaya nyonya yang sinonim dengan corak sulaman bermotif floral. Kebaya nyonya juga tidaklah mahal jika ia dihasilkan dari sulaman mesin. Warna-warna pastel yang lembut juga boleh digabungkan untuk hasil yang cukup menarik hati.

7. Baju Plain & Kain Batik

Baju-Bridesmaid Plain & Kain Batik
Sumber: inspirasiootdid

Kalau tadi kita padankan baju flora dan kain plain, apa kata kali ini kita gabungkan pula baju plain dan kain batik untuk digayakan oleh bridesmaid. Selalunya, bagi kombinasi rekaan seperti ini, baju kebaya nyonya, blouse berfesyen moden dihiasi dengan manik dan tiered peplum dijadikan sebagai pilihan.

Untuk penampilan lebih formal, corak batik bermotifkan geometri yang diubah dari pelbagai variasi seperti pengulangan motif bentuk segi tiga atau segi empat. Pemilihan warna pula bergantung kepada tema majlis sama ada di dalam dewan ataupun outdoor. Warna yang lembut sesuai digayakan pada siang hari manakala warna yang gelap padan dipakai ketika majlis waktu malam.

6. Songket

Baju Bridesmaid Songket
Sumber: charmainewithac

Songket sememangnya sebati dalam masyarakat melayu kita bahkan bangsa lain seperti cina dan india juga tidak terlepas dari memakai pakaian yang berasaskan songket. Tak kira moden atau tradisional, songket memang ringkas dan sesuai ke untuk dijadikan baju bridesmaids.

Pelbagai warna pastel atau bold dan rekaan corak menjadi tarikan bagi peminatnya. Anda hanya perlu bijak bermain dengan padanan warna dan rekaan mengikut citarasa. Anda boleh memilih sama ada baju kurung kedah, kebaya labuh, kurung moden, kebaya pendek atau kebaya loose.

Baju Bridesmaid Berlace

5. Lace Baby Blue & Pink

Baju Lace baby Blue & Pink Bridesmaid
Sumber: venirebridesmaid

Ada ketika, simple dan plain boleh menjadi sangat boring. Teringin juga nak melaram tapi takut pula orang kata over pula. Tak semestinya, apakata anda cuba pilihan kain diamond crepe yang dipadankan dengan kurung lace  dan kain sarung plain.

Baju bridesmaid ini disempurnakan lagi dengan pilihan warna tudung baby pink. Pilihan ini sesuai digandingkan dengan pasangan pengantin pada hari akad nikah nanti, tampak ceria dan meriah!

4. Baju Lace Dusty Pink

Baju Bridesmaid Lace Dusty Purple
Sumber: sc_stylista

Terpesona melihat pengapit di atas ini, cukup menawan hati dan membuatkan jejaka yang melihat jatuh cinta!

Pilihan dusty pink sebagai warna corak kerawang yang dicetak di atas baju dipadankan dengan kain lace dengan lining di bahagian dalam potongan pleat dan trumpet berasaskan warna neutral kelabu ini sudah cukup sempurna tanpa perlu menambah aksesori.

3. Baju Lace & Plain Grey

Baju Lace & Plain Grey
Sumber: inspirasiootdid

Kalau bercerita mengenai penggunaan lace pada baju, kita sering melihat penggunaan border lace yang digunakan pada hujung bahagian kaki baju atau hujung lengan yang kita dapat lihat pada baju kurung dan kebaya. Untuk baju lace berasaskan warna neutral kelabu ini apa kata anda memilih untuk menggunakan lace meter?

Lace meter ini dipotong mengikut ukuran apa yang kita mahukan, mempunyai corak yang simetri bermakna lace tersebut mempunyai corak yang sama dan mudah untuk dipotong. Cukup sesuai bagi mereka yang ingin baju berkonsepkan lace sepenuhnya. Gabungkan lace warna putih dan kain plain grey sebagai base baju anda. lihat gambar di atas, cantik kan?

2. Jubah Lace Dusty Pink

Jubah Bridesmaid Lace Dusty Rose
Sumber: bridesmaid_hijab

Bagi mereka yang tertanya dan tak yang ingin memperagakan baju kurung atau kebaya sebagai baju bridesmaid anda, jubah berlace ini jawapan bagi anda.  Khas bagi yang inginkan keselesaan dan berasa nyaman apabila memakainya seharian.

Anda harus memilih jubah yang diperbuat daripada material yang mudah menyerap peluh dan tidak mengikut bentuk tubuh seperti satin, chiffon dan lycra. Dengan warna lembut seperti dusty pink, pastinya akan membuatkan penampilan si wanita lebih anggun dan manis. Potongan asymmetrical yang labuh dengan hiasan manik yang tidak terlalu berat sudah cukup untuk melengkapi full lace di bahagian atas jubah supaya tidak keterlaluan.

1. Kaftan Lace Putih

Kaftan Bridesmaid Lace Putih
Sumber: syahmiazmanphotography

Kalau tak mahu berjubah, anda boleh pilih baju kaftan sebagai alternative yang unik, lain dari kebiasaan yang anda biasa lihat. Dengan ciri labuh dan longgar, kaftan didatangi dengan hiasan renda bunga di bahagian leher.

Untuk kaftan bridesmaid anda, order lace yang boleh digunakan untuk bahagian atas baju di keliling kolar teluk belanga dan bahagian lengan berkonsepkan sulam bayang dan renda bangku. Warna putih pula menjadi kanvas kepada sulaman kaftan anda menjadikan kaftan anda cukup anggun dan selesa memakainya.

Pada anda yang bakal menjadi bridesmaids untuk hari bahagia ahli keluarga atau sahabat yang bakal melangsungkan perkahwinan tak lama lagi, kami harap perkongsian pada kali ini, sedikit sebanyak dapat memberikan inspirasi dan idea tentang pemilihan baju bridesmaid yang akan digayakan di majlis penuh bermakna itu nanti.

Masih banyak lagi pilihan rekaan dan idea di luar sana yang mungkin kami tak dapat sajikan. Sebagai bridesmaids, kita mesti memainkan peranan kita untuk memastikan kelancaran majlis bukan hanya sekadar untuk bersuka-suka sahaja.


Pemilihan baju kita juga nanti tidak seharusnya mencuri perhatian atau menenggelamkan pengantin. Kehadiran bridesmaid dalam sesebuah majlis perkahwinan akan menambahkan lagi seri pengantin.

Baca: 21 Hidden Hantaran Yang Menarik | Design & Tema Paling Popular

Jadi pilihlah warna baju yang tidak terlalu kontra dan melengkapi tema baju pengantin agar dapat menyerlahkan lagi aura si pengantin ketika merakamkan detik-detik manis bersama bridesmaid.

Kami harap anda berjaya mencari tema dan pakaian yang paling sempurna sekaligus merealisasikan  #bridesmaidsgoal supaya menjadi inspirasi bagi bridesmaid yang akan datang!