Bagi pasangan yang bakal melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat atau sebaliknya, pastinya banyak perkara yang berlegar-legar di fikiran. Iyalah, perkahwinan yang bakal dirancang bukan hanya sekadar persiapan majlis semata-mata, namun apa yang perlu diutamakan adalah mengenai proses pendaftaran perkahwinan yang memerlukan banyak persiapan daripada segi dokumen dan melibatkan jabatan-jabatan yang berkenaan.

Justeru, eloklah sekiranya bakal pengantin memulakan persiapan pendaftaran ini dengan lebih awal supaya majlis perkahwinan dapat diteruskan seperti yang telah dirancang. Di sini kami kongsikan prosedur borang nikah untuk daftar berkahwin dan beberapa langkah penting yang perlu diambil sebelum majlis akad nikah berlangsung buat bakal pengantin di luar sana.

Kandungan

1. Hadiri Kursus Pra Perkahwinan Modul Bersepadu Kursus Pra Perkahwinan Islam (MBKPPI)

Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ perlu memastikan setiap pasangan yang bakal mendirikan rumahtangga telah menghadiri kursus pra-perkahwinan dan memiliki Sijil Kursus Pra-Perkahwinan MBKPPI yang sah sebelum mengemukan permohonan pendaftaran nikah. Kebiasaannya, kursus ini dikendalikan oleh badan persendirian yang bertauliah atau saluran terus daripada JAKIM sendiri.

Yuran yang dikemukakan bergantung kepada negeri, tetapi secara umumnya adalah sebanyak RM80 hingga RM120. Kursus yang dijalankan selama 2 hari berturut-turut ini bertujuan untuk memberi penerangan bukan sahaja tentang prosedur persiapan perkahwinan yang perlu dilaksanakan tetapi juga sebagai salah satu langkah kerajaan untuk mempersiapkan peserta daripada segi fizikal dan rohani sebelum menempuhi alam perkahwinan yang penuh dengan cabaran. Ini juga penting bagi membendung isu penceraian yang semakin berleluasa pada masa kini.

Baca: Senarai Harga Kursus Kahwin Mengikut Negeri (2019)


2. Ujian Saringan HIV

Bakal pengantin perlu menjalani ujian saringan HIV di klinik/hospital kerajaan dan keputusan ujian perlulah disahkan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan sahaja. Ini penting bagi mengelakkan daripada sebarang penipuan berlaku.

Sekiranya keputusan ujian saringan tersebut negatif, maka pasangan boleh meneruskan untuk mengemukakan permohonan. Namun, jika sebaliknya yang terjadi, pihak JAKIM memerlukan pasangan yang bakal berkahwin untuk mengikuti beberapa langkah penting.

Antaranya ialah pasangan dikehendaki untuk mengikuti sesi khidmat nasihat di Jabatan Agama bagi memberi pendedahan tentang implikasi HIV dan kesannya terhadap keluarga dan pasangan di dalam perkahwinan kelak.

Jika keputusan untuk berkahwin telah dibuat, pasangan perlulah menjalani rawatan dan membuat rujukan pakar di Pakar Perubatan Keluarga dan Klinik Penyakit Berjangkit.

Baca: 5 Langkah Ujian Saringan HIV Pra Perkahwinan Yang Perlu Anda Tahu


3. Daftar Nikah Online Di Laman Web Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia

Setelah pasangan mendapatkan Sijil Kursus Pra-Perkahwinan dan Keputusan ujian saringan HIV yang sah, permohonan bagi pendaftaran pernikahan bolehlah diteruskan dengan melayari laman web yang telah dilampirkan di bawah.

Laman Web: http://www.sppim.gov.my/sppim/home

Klik pada pautan ‘Benar Nikah online’ dan pasangan lelaki perlulah terlebih dahulu mengisi segala maklumat diri dan pasangan. Seterusnya, pemohon akan diberikan nombor rujukan dan ianya perlulah disimpan bagi membuat sebarang pindaan pada maklumat diri atau pasangan kelak.

Untuk makluman tambahan, permohonan nikah secara online atau atas talian ini hanya meliputi Negeri Sembilan, Kedah, Perak, Wilayah Persekutuan, Perlis, Selangor dan Melaka sahaja, bagi negeri-negeri yang tidak disebut, permohonan perlulah dikemukakan secara manual.


4. Pastikan Mukim Pasangan Anda

Langkah yang seterusnya ini sangat penting bagi memastikan kelancaran proses pendaftaran. Kebanyakan bakal pengantin keliru dan sering cuai di dalam aspek ini kerana setiap pasangan berbeza kes dan kondisinya.

Oleh itu, pasangan digalakkan untuk mencatat setiap isi penting yang dibahas oleh pegawai agama ketika menjalani kursus pra-perkahwinan. Ataupun, hubungi pegawai yang berkenaan di Jabatan Agama sebelum meneruskan permohonan.

Secara amnya, melalui prosedur ini, pasangan lelaki dan perempuan yang sama daerah perlulah menghantar borang nikah online yang lengkap bersama lampiran yang dikehendaki kepada pejabat agama 30 hari sebelum tarikh nikah. Manakala, 90 hari sebelum tarikh nikah adalah tempoh diperlukan bagi pasangan yang berlainan daerah atau negeri.


5. Isi & Lengkapkan Borang Nikah Pengantin Lelaki

Pihak lelaki perlulah terlebih dahulu mengisi dan melengkapkan borang dengan segala maklumat yang dikehendaki sebelum pihak perempuan memulakan prosedur.

Di bawah ini merupakan senarai dokumen sokongan yang diperlukan sebelum mendapatkan pengesahan daripada Penolong Pendaftar Nikah Kariah.

Borang & Dokumen Sokongan Yang Diperlukan Untuk Daftar Nikah

Borang Dokumen Penting Nikah Pihak Pengantin Lelaki

Pegawai di Pejabat Agama Islam Daerah boleh juga mengesahkan borang permohonan sekiranya penolong pendaftar nikah kariah sedang bercuti.

Seterusnya, pihak lelaki perlulah mendapatkan kebenaran berkahwin daripada Pejabat Agama Islam Daerah dan permohonan kahwin yang telah diluluskan hanya sah dalam tempoh 3 bulan sahaja.

Bayaran sebanyak RM15 akan dikenakan bagi setiap borang dan RM30 jika sekiranya pasangan berasal dari daerah yang sama.


6. Borang Kebenaran Bernikah Untuk Pengantin Perempuan

Setelah selesai urusan permohonan bagi pihak lelaki, pihak perempuan bolehlah memulakan prosedur yang sama iaitu dengan melengkapkan borang 2C dan 2D dan seterusnya melampirkan dokumen sokongan seperti yang berikut:

Borang Kebenaran Nikah Pengantin Perempuan

Setelah borang dan dokumen sokongan lengkap disediakan, bakal pengantin perempuan kemudian perlulah mendapatkan pengesahan berkahwin daripada penolong pendaftar nikah bersama wali dan 2 orang saksi.

Seterusnya, selepas urusan bersama penolong pendaftar nikah selesai, pengantin perempuan harus mengemukakan permohonan kebenaran berkahwin di Pejabat Agama Islam di daerahnya bagi pasangan yang berlainan daerah, yang hanya sah di dalam tempoh 3 bulan sekiranya diluluskan.

Namun, jika pasangan tersebut berasal dari daerah yang sama, borang kebenaran berkahwin boleh terus dihantar pada imam masjid kariah bagi pengesahan akad nikah.

Tuntutan Wali Untuk Pihak Perempuan

Di sini juga penting untuk disenaraikan tuntutan wali untuk pihak perempuan bagi mengelakkan segala kekeliruan dan memudahkan segala urusan.

Tuntutan Wali Untuk Pihak Perempuan

Surat Nikah Ibubapa bagi pemohon yang masih mempunyai ayah yang berkemampuan untuk menjadi wali, ini adalah sangat penting untuk dikemukakan bagi tujuan pengesahan taraf wali.


7. Prosedur Akad Nikah

Setelah berpayahan menempuhi segala proses dan persiapan perkahwinan yang mencabar, kini, tibalah masa yang cukup mendebarkan oleh setiap pasangan yang bakal berkahwin. Acara akad nikah bukan hanya sekadar pada majlisnya sahaja, tetapi masih ada prosedur yang perlu diikuti.

Setelah segala permohonan kebenaran kahwin diluluskan bersama borang dan dokumen sokong yang lengkap diisi, pejabat agama akan memulangkan semula borang kebenaran nikah tersebut kepada bakal pengantin perempuan untuk diserahkan kepada imam masjid qariah bagi acara akad nikah.

Imam masjid kebiasannya akan memberi sedikit tips dan dialog nikah yang perlu dilafazkan, beberapa hari sebelum majlis berlangsung sebagai persediaan kepada bakal pengantin lelaki dan juga wali pengantin perempuan.

Pada hari akad nikah berlangsung, kadi akan memberikan surat nikah sementara yang lengkap dengan maklumat pasangan pengantin. Pengantin dinasihatkan supaya menyemak semula segala maklumat diri yang penting dengan betul.

Perlu diingatkan juga disini bahawa upah bagi tok kadi atau jurunikah perlu disediakan oleh pihak pengantin lelaki sejurus selepas majlis akad nikah dilangsungkan. Kadar upah adalah berbeza mengikut negeri pernikahan tersebut dijalankan. Bagi negeri Selangor contohnya, upah yang dikenakan adalah sebanyak RM160.

Baca: Senarai Mas Kahwin Mengikut Negeri | Kadar Terkini


8. Mohon Sijil Nikah Sebenar

Prosedur seterusnya ini bolehlah dilakukan dengan menyerahkan sijil nikah sementara kepada Pejabat Agama Daerah pihak isteri. Dokumen sokongan lain yang diperlukan ialah seperti :

  • Kad pengenalan suami dan isteri
  • Kad pengenalan wali
  • Bayaran RM20 diperlukan bagi yuran pemprosesan sijil dan sijil akan siap dalam tempoh sekurang-kurangnya sebulan. Adalah dinasihatkan pasangan pengantin untuk membuat salinan sijil nikah ini bagi kegunaan masa hadapan dan sebagai rujukan kelak.

9. Mohon Kad Kahwin Original

Kad kahwin merupakan dokumen perkahwinan sah bagi menggantikan sijil perakuan nikah yang didatangkan di dalam bentuk kad. Ini merupakan inisiatif kerajaan bagi memudahkan pasangan suami isteri membawa dokumen tersebut ke mana-mana sebagai bukti perkahwinan.

Pasangan berkahwin boleh mengemukakan permohonan di Pejabat Agama Daerah pihak isteri, sama seperti urusan pengambilan sijil nikah. Dokumen yang diperlukan adalah seperti:

  • Satu salinan Sijil Perakuan Nikah
  • 1keping/2 keping (bergantung kepada negeri) gambar bersaiz pasport suami dan isteri.
  • Resit bayaran.
  • Permohonan akan dikenakan caj sebanyak RM 40 bagi dua keping kad. Kad kahwin pada kebiasannya akan siap dalam tempoh 5 hingga 7 hari bekerja.

Tidak dinafikan bahawa prosedur pendaftaran perkahwinan seperti yang diterangkan di atas sedikit mencabar. Namun, jangan bimbang, berikut merupakan antara soalan-soalan lazim yang sering ditanyakan oleh bakal pasangan pengantin yang masih keliru tentang borang/dokumen sokongan yang diperlukan atau prosedur yang perlu dijalani.


Soalan Lazim Tentang Pernikahan Di Malaysia

Kahwin/Nikah Dengan Orang Berbeza Mukim?

Perkara pertama adalah mengenai kes sekiranya pasangan ingin berkahwin dengan orang berbeza mukim. Pertama sekali, pasangan perlulah terlebih dahulu menetapkan tempat nikah. Kebiasannya, akad nikah akan dijalankan di kawasan pihak perempuan.

Seperti yang diterangkan di atas, setelah selesai pihak lelaki mendapatkan kebenaran kahwin di Pejabat Agama Islam di daerahnya, borang yang lengkap akan diserahkan kepada pihak perempuan untuk dilampirkan bersama-sama dengan borang atau dokumen sokongan pihaknya ke Pejabat Agama Islam Daerah pihak pengantin perempuan.

Sebelum itu, surat bermastautin juga perlu diambil kira sekiranya pasangan mempunyai alamat yang berbeza pada kad pengenalan dengan kawasan tempat tinggalnya sekarang.

Surat ini boleh didapati bersama daripada portal online permohonan nikah dan dokumen yang diperlukan adalah seperti salinan kad pengenalan pemohon, bil elektrik/air serta kad pengenalan saksi.

Saksi tersebut perlulah daripada mereka yang bertauliah untuk mengesahkan anda menetap di kawasan itu sebelum disahkan oleh penghulu atau ketua kampung. Selain itu, bagi pasangan yang berbeza mukim dan ingin bernikah di luar kawasan, mereka dikehendaki untuk mengisi borang kebenaran nikah luar kawasan bagi pihak lelaki.

Berkahwin Dengan Mualaf?

Prosedur pendaftaran perkahwinan adalah sama seperti mana-mana perkahwinan Islam yang lain dengan dokumen sokongan tambahan iaitu surat pengesahan masuk islam yang sah daripada JAKIM.

Namun, bagi mualaf perempuan, permohonan wali hakim perlulah dibuat di Pejabat Agama Islam Daerah atau bagi kes-kes tertentu, perlu dimohon di Mahkamah Syariah dan diwajibkan untuk menghadiri sesi perbicaraan.

Apa Itu Surat Akuan Bujang?

Jangan bimbang kerana tidak semua negeri memerlukan pasangan mengemukakan surat persendirian akuan bujang yang disahkan oleh pegawai/ketua kampung/penghulu yang bertauliah.

Pengesahan bujang pasangan boleh didapati dan disahkan apabila bakal pengantin lelaki dan perempuan mengisi maklumat pada borang permohonan berkahwin secara online mahupun manual.

Surat ini penting bagi membendung segala penipuan dan tipu helah pasangan yang ingin mengambil kesempatan ke atas perkahwinan yang bakal dibina.

Prosedur Berkahwin / Nikah Dengan Warganegara Asing?

Bagi kes seperti ini, borang permohonan perkahwinan perlulah disertakan bersama dengan dokumen sokongan tambahan iaitu seperti:

  • Salinan pasport yang sah.
  • Surat kebenaran dari kedutaan negara pemohon.
  • Surat keterangan dari Jabatan Imigresen Malaysia.

Bagi warganegara asing wanita, kehadiran wali adalah penting semasa mendapatkan kebenaran berkahwin dan sekiranya tiada wali secara langsung, surat pengesahan wakalah wali daripada pihak berkuasa agama negara pemohon wajib dikemukakan.

Kebenaran berkahwin bagi pasangan warganegara Malaysia dengan warganegara asing di luar negeri boleh diluluskan dengan beberapa syarat iaitu setelah bayaran dibuat dan borang permohonan pendaftaran pernikahan di luar negara diisi dengan lengkap bersama lampiran dokumen sokongan seperti berikut:

Borang/Dokumen Untuk Berkahwin Dengan Warganegara Asing

Borang Dokumen Untuk Kebenaran Berkahwin Dengan Warganegara Asing

Begitulah sebahagian daripada langkah atau prosedur yang perlu dilengkapkan oleh setiap bakal pengantin yang ingin berkahwin. Memang tidak dinafikan bahawa prosesnya kadang-kala agak mencabar dan merumitkan, namun jadikanlah itu sebahagian daripada ujian ketika bertunang.

Dari sinilah kita dapat menilai sendiri toleransi dan usaha yang diberikan oleh pasangan kita masing-masing. Harus diingatkan bahawa alam rumahtangga yang bakal ditempuhi kelak pastinya lebih banyak dugaan yang perlu ditempuhi.

Kekangan masa merupakan antara punca utama kecuian dalam melengkapkan permohonan berkahwin timbul terutamanya buat pasangan yang bekerja. Sedikit tips buat mereka, buatlah perancangan yang lebih awal, sekurang-kurangnya 3-4 bulan sebelum pernikahan dijalankan dengan memahami segala prosedur permohonan berkahwin terlebih dahulu sebelum menyediakan segala dokumen sokongan yang diperlukan.

Baca: 16 Soalan Akad Nikah Yang Selalu Di Tanya Tok Kadi

Disarankan juga sekiranya bakal pengantin dapat memperuntukkan cuti sehari pada hari bekerja untuk menguruskan segala hal berkaitan.

Sekiranya pasangan menghadapi sebarang kekeliruan atau permasalahan, berbincanglah dengan baik di antara kedua belah pihak perempuan dan lelaki serta keluarga dan rujuk kepada pegawai agama yang berkenaan bagi mendapatkan pencerahan. Tambahan pula, pada masa kini segala maklumat berada di hujung jari, jadi google aja segala persoalan anda!

Diharapkan perkongsian pada kali ini dapat membantu sedikit sebanyak membantu memudahkan urusan anda. Selamat pengantin baru buat bakal pengantin di luar sana! Semoga perkahwinan yang bakal dibina sentiasa didalam rahmatnya.