Bunga merupakan simbol yang begitu sinonim dengan wanita apatah lagi apabila berbicara mengenai bab perkahwinan. Daripada persiapan pertunangan, masuk kepada hari pernikahan dan seterusnya persandingan tentunya peranan bunga yang disuai padan merupakan antara elemen yang terpenting.
Menariknya pada kali ini, kami ingin berkongsi tips untuk memilih bunga tangan buat bakal-bakal pengantin perempuan di luar sana bersesuian bukan sahaja mengikut tema perkahwinan tetapi juga padan dengan personaliti diri masing-masing. Ini kerana bunga tangan merupakan hiasan tambahan yang mampu menyempurnakan lagi keterampilan dan pesona pengantin perempuan.

Pelbagai variasi jenis bunga dan warna mestilah digandingkan dengan betul kerana ia dapat menyerlahkan lagi seri pengantin selain menjadi simbol peribadi yang akan dikenang sampai bila-bila.
Buat pengantin perempuan terutamanya bagi mereka yang kreatif dan menginginkan sentuhan peribadi dengan mengubah sendiri atau DIY bunga tangan mereka, langkah pertama yang perlu dilakukan ialah untuk mengenal pasti jenis-jenis bunga yang terdapat di pasaran.
Ini penting bagi mengelakkan pemilihan jenis bunga yang mempunyai unsur negatif seperti bunga Marigold, Oleander dan Yellow Hyacinth. Di sini, kami kongsikan sedikit beberapa jenis bunga yang popular dan sering dijadikan pilihan pengantin sebagai bunga tangan menghiasi hari bahagia mereka.
Kandungan
15. Mawar

Siapa yang tidak kenal dengan rupa bunga ‘favorite’ ramai ini. Bunga mawar atau lebih dikenali sebagai rose, terdiri daripada warna seperti merah, merah jambu dan putih.
Ia sering dijadikan pilihan kerana bunga mawar merupakan lambang cinta sejati dan salah satu cara pasangan pengantin untuk mengekspresi simbol romantis dan kasih sayang di dalam majlis perkahwinan mereka.
14. Lily

Buat bunga jenis ini, warna lily putih menjadi pilihan utama di dalam gubahan bunga tangan pengantin.
Ini kerana pemilihan bunga lily selain daripada menebarkan bauan yang sungguh harum, warna putih pada bunga lily juga menjadi simbol kesetiaan dan kesucian.
13. Orkid

Orkid merupakan antara bunga yang melambangkan kemewahan dan elegan bersesuaian dengan harganya yang agak mahal.
Ini kerana bunga orkid memerlukan penjagaan yang rapi dan memerlukan perhatian yang lebih berbanding dengan bunga-bunga yang lain.
Jika pengantin memilih orkid untuk diabadikan sebagai bunga tangan perkahwinan, tentunya ia dapat menyerlahkan lagi kemegahan ciri-ciri majlis yang sophisticated dan unik.
12. Hydrangea

Kebiasaannya, bunga hydrangea banyak digunakan sebagai perhiasan pelamin. Tetapi, pemilihan bunga hydrangea juga begitu popular sebagai bunga tangan pengantin pada masa kini.
Bunganya yang bersifat halus, bersaiz kecil dan berkedudukan rapat antara satu sama lain mampu menyerlahkan personaliti diri pengantin yang ceria tetapi dalam masa yang sama masih mengekalkan ciri-ciri kesopanan sebagai seorang yang telah bergelar isteri. Selain itu, pemilihan hydrangea juga merupakan simbol persahabatan yang akhirnya bertukar menjadi cinta yang ingin diekspresikan oleh pengantin di dalam majlis perkahwinan yang dibina.
11. Tulip

Pemilihan bunga tulip merupakan antara salah satu cara pengantin untuk menyatakan perasaan gembira selain menjadi simbol kerendahan hati terhadap pasangan yang menerimanya sebagai isteri. Selain itu, bunga tulip yang bersifat unik ini menjadikan simbol setia dan janji pasangan untuk bersama-sama menempuhi alam perkahwinan yang bakal dibina.
10. Eustoma

Bunga eustoma begitu unik sekali dan pemilihannya sebagai bunga tangan begitu popular kerana sifat warnanya yang pelbagai dan terang iaitu kuning, merah jambu, ungu dan biru.
Ini mampu membangkitkan lagi seri pengantin dan menyerlahkan personaliti diri yang sentiasa gembira. Selain itu, bunga eustoma juga merupakan simbol kekaguman dan penghormatan terhadap pasangan yang dikahwininya.
9. Lily Of The Valley

Bunga jenis ini agak berbeza kerana sifat bunganya yang kecil dan halus selain membentuk seolah-olah seperti loceng. Bunga ini sungguh unik untuk dijadikan bunga tangan kerana ianya tampak comel dan manis.
Pengantin yang menjadikan bunga ini sebagai pilihan utama untuk digayakan pada majlis perkahwinan mereka nanti pastinya ingin menyerlahkan pesona kesederhanaan dan kemurnian.
8. Peony

Bunga peony mempunyai sejarahnya yang tersendiri yang sering dikaitkan dengan kebudayaan masyarakat cina. Bunga peony dikatakan mampu menimbulkan aura positif dan menaikkan kemesraan antara pasangan pengantin.
Jadi, pemilihan bunga peony sesuai untuk digayakan buat pengantin yang menginginkan sedikit kelainan dan mahu menampilkan ciri-ciri kebudayaan di dalam perkahwinan mereka.
7. Calla Lily

Bunga calla lily ini kelihatan sangat cantik jika digayakan terutamanya pada majlis perkahwinan yang berkonsepkan dalam taman atau English wedding. Calla Lily merupakan simbol kepada sifat kesetiaan dan kesucian. Bunga tangan menggunakan bunga ini mampu mempamerkan keanggunan dan kecantikan semula jadi pengantin.
6. Gardenia

Bunga gardenia sering menjadi pilihan kerana ia merupakan cara menyerlahkan kebahagiaan dan rasa kesyukuran pengantin terhadap pasangan dan perkahwinan yang bakal dibina bersama. Sifat bunganya yang berwarna putih polos menunjukkan sifat peribadi pengantin yang menawan dan lemah-lembut.
5. Ranunculus

Bunga jenis ini mempunyai pelbagai jenis variasi warna yang kelihatan sungguh ceria. Bunga ini amat sesuai untuk pengantin perempuan yang ingin menonjolkan lambang keperibadian cinta mereka yang penuh dengan penghargaan terhadap kehadiran pasangan dalam hidup.
Bunga tangan jenis ini juga sesuai bagi majlis perkahwinan yang banyak menggunakan warna-warna pastel.
4. Daisy

Bunga daisy semanis namanya begitu popular dalam kalangan penggubah bunga mahupun pengantin.
Bunga daisy terumatanya yang berwarna putih dan merah gelap sering digandingkan bersama membentuk gubahan bunga tangan yang cukup indah. Selain itu, mesej yang cuba disampaikan melalui gubahan bunga daisy adalah lambang kejujuran dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi yang dijanjikan pasangan.
3. Baby Breath

Populariti bunga ini semakin meningkat dalam kalangan pasangan pengantin kerana sifat bunganya yang tampak sederhana tetapi mempunyai maksud dan keunikkannya yang tersendiri. Bunganya yang halus dan kecil menggambarkan keikhlasan dan ketulusan hati pengantin pada saat akad nikah dilangsungkan. Simple but sweet!
2. Carnation

Bunga carnation sesuai digandingkan dengan tema perkahwinan berkonsepkan moden kontemporari dengan sedikit elemen budaya dan tradisional. Ini kerana, bunga carnation mempunyai ciri-ciri warna yang bersifat terang iaitu merah, kuning dan merah jambu.
Masing-masing mempunyai maknanya yang tersendiri, contohnya seperti untuk padanan buat majlis perkahwinan, bunga carnation merah boleh digandingkan bersama merah jambu yang menjadi simbol kepada ucapan terima kasih kepada pasangan selain mempamerkan erti cinta yang sejati.
1. Dahlia

Bunga dahlia mempunyai ciri-ciri yang begitu sophistikated dan melambangkan keanggunan. Keunikan Dahlia ini boleh dilihat pada kelompak bunganya yang mempunyai lapisan kecil hingga ke besar tambahan pula warnanya yang menarik.
Kebiasannya bunga dahlia warna merah jambu dan putih sering dipadankan bersama kerana ia mampu menaikkan personaliti pengantin perempuan yang romantis dan manis.
Gubahan Bunga Tangan Pengantin Popular
Langkah seterusnya ialah pengantin haruslah mengenal pasti jenis-jenis bunga tangan yang sesuai untuk digayakan ketika majlis pernikahan mahupun majlis resepsi.
Penting untuk dinyatakan di sini bahawa pemilihan jenis bunga tangan perlu digandingan secocok bukan sahaja bersama konsep majlis tetapi lebih kepada elemen keperibadian yang ditonjolkan oleh personaliti diri pengantin.
Sebagai contoh, pemilihan bunga tangan yang menarik dan sesuai perlulah dipadankan bersama saiz badan, warna kulit, rekaan baju pengantin serta tempat majlis bakal diadakan. Selain itu, pengantin juga perlu mengambil kira aspek penyampaian mesej yang ingin dibawa bersama penggayaan bunga tangan tersebut. Jom kita tengok jenis bunga tangan yang mana satukah sesuai dengan imej pengantin yang bakal kita bawa.
Cascade

Cascading bouquet merupakan jambangan bunga yang sering kali menjadi pilihan pengantin yang menggemari konsep perkahwinan ala-ala Inggeris atau dalam taman. Ia merupakan gubahan bunga secara rimbun, bersaiz agak besar dan dipelbagaikan dengan variasi bermacam jenis bunga bersama tambahan aksesori dahan yang menjalar.
Pemilihan bunga bagi gubahan jenis cascade ini sesuai menggunakan apa saja jenis bunga terutamanya bunga yang berkelopak besar seperti rose, calla lily atau orkid. Kebiasaannya, bunga tangan jenis cascade ini amat sesuai digayakan bersama pemilihan rekaan gaun pengantin yang lebih sederhana dari segi warnanya, contohnya seperti penggunaan baju pengantin berwarna putih atau pastel dan tidak keterlaluan dengan hiasan manik atau lace. Selain itu, cascade bouquet juga merupakan pelengkap gaya pengantin yang bertubuh tinggi lampai kerana cirinya yang menjalar.
Round

Gubahan bunga secara bulat pastinya menaikkan imej formal dan klasik. Jenis bunga tangan seperti ini kebiasaannya lebih umum iaitu boleh digayakan pada mana-mana tema perkahwinan sama ada moden mahupun klasik tradisional.
Pengantin juga bebas memilih untuk disuai padankan bersama gaun labuh atau songket kurung tradisional. Namun, pemilihan tempat majlis perkahwinan juga memainkan peranan, sekiranya majlis diadakan di dewan tertutup atau hotel, pemilihan jenis bunga mawar akan menaikkan lagi mood formal, tetapi sekiranya majlis bersifat lebih santai, bunga baby breath adalah lebih sesuai untuk digunakan.
Pengantin yang berbadan lebih kecil dan rendah juga amat sesuai menggayakan jenis bunga tangan ini. Pasti anda akan kelihatan lebih comel dan manis!
Nosegay

Jenis bunga tangan ini begitu sinonim dengan elemen vintage dan klasiknya kerana ia merupakan bunga tangan ‘favorite’ sejak zaman dahulu kala terutamanya dalam kalangan masyarakat Eropah.
Oleh itu, sekiranya anda memilih untuk mengadakan majlis perkahwinan yang lebih bersifat tertutup dan intimate, bertemakan konsep dalam taman atau moden inggeris, bunga tangan jenis ini amatlah sesuai untuk digayakan.
Apa yang lebih menarik, jenis bunga tangan nosegay banyak menggunakan elemen dedaun berbanding dengan bunga, dan ditambah bersama ikatan riben atau tali berserat pada tangkainya pastinya menampilkan imej pengantin bohemian yang lain daripada yang lain.
Hand-tied

Hand-tied wedding bouquet merupakan pilihan utama kebanyakan pengantin yang menginginkan konsep perkahwinan yang moden tetapi lebih santai. Gubahan jenis ini unik kerana banyak bermain dengan pelbagai jenis warna bunga yang boleh digandingkan bersama dan juga boleh disuai padankan dengan lebih daripada dua jenis bunga bersama aksesori tambahan seperti daun atau riben.
Seperti namanya, ia lebih memfokuskan untuk menaikkan lagi pesona pengantin sebagai bunga tangan dengan bertindak sebagai pelengkap gaya tetapi bukan untuk terlalu membayangi imej yang dibawa pengantin dalam majlis tersebut.
Arm Sheaf/ Presentation

Gubahan jenis bunga tangan ini banyak menggunakan padanan bunga bertangkai panjang serta dedaun liar yang digubah secara bersahaja tetapi disusun rapi bagi memudahkan pengantin membawa bunga ini secara beringin di atas lengan. Oleh itu, ciri gubahan ini unik dan sungguh kreatif di dalam menyempurnakan lagi penggayaan rekaan baju pengantin yang lebih ringkas dan menggunakan warna pastel.
Warna terang atau konsep tradisional kurang sesuai untuk dipadankan bersama jenis bunga tangan ini kerana ia akan menenggelamkan gaya pengantin seterusnya membuatkan imej yang dibawa kelihatan tidak kemas dan serabut. Pengantin yang bertubuh tinggi lampai juga digalakkan untuk memilih bunga tangan jenis ini bagi menampakkan kesan tubuh yang lebih ramping dan menarik.
Flower Bracelet/ Wrist Corsage

Jarang sekali pengantin menggenakan pemakaian wrist corsage atau flower bracelet ini. Kebiasaannya ianya akan digayakan oleh bridesmaid atau keluarga pihak pengantin sahaja. Wrist corsage merupakan rantaian bunga yang ringkas seperti orkid atau rose bersama sedikit penggunaan dedaun yang dirumpunkan bersama dan diikat pada pergelangan tangan.
Pengantin yang mahukan gaya yang lebih kreatif, unik dan tidak serabut untuk memegang bunga tangan, gubahan jenis ini bolehlah dipertimbangkan. Tentunya pengantin akan tampak lebih santai dan membawa mesej kepada tetamu bahawa anda seorang yang senang untuk didekati dan peramah.
Pomander

Pomander atau dikenali sebagai kissing ball ini juga merupakan antara alternatif lain yang boleh digayakan oleh pengantin sekiranya mereka memilih untuk tidak membawa jambangan bunga tangan yang biasa.
Ianya merupakan rumpunan bunga yang ditusuk pada di sekeliling span bebola secara membulat dan kemudian digantung bersama juntaian riben klasik sebagai pemegang.
Pengantin mesti akan kelihatan comel dan bersahaja membawa pomander bouquet mengiringinya buat majlis pernikahan mahupun resepsi.
Suka untuk diingatkan juga disini bahawa dalam pada kita sibuk memilih jenis bunga untuk dipadankan bersama gaya bunga tangan bagi majlis perkahwinan nanti, kita seharusnya menetapkan terdahulu bajet yang ingin dibelanjakan.
Tentukan sama ada bunga segar atau bunga artificial yang menjadi pilihan bunga tangan kita kerana harganya jauh berbeza. Sekiranya bajet tidak mengizinkan, cari bunga alternatif dan berbincanglah dengan baik bersama penggubah bunga yang berpengalaman.
Kongsikan idea dan konsep yang cuba anda ketengahkan dalam majlis tersebut, pastinya mereka berbesar hati untuk memberikan anda yang terbaik. Semoga berjaya dan selamat pengantin baru!