Saling cinta mencintai merupakan fitrah dalam diri manusia. Tidak lengkap rencah kehidupan tanpa cinta antara kaum Adam dan Hawa.

Selain dari untuk saling melengkapi antara satu sama lain, perkahwinan yang penuh cinta ini akan membawa kepada suatu yang lebih bermakna dengan kurniaan anak-anak. Bukan berakhir di dunia yang fana sahaja, cinta yang terbina semestinya diharapkan kekal hingga ke alam syurga.

Justeru, semua insan pastinya mendambakan pasangan yang boleh melalui liku-liku kehidupan bersama tidak kira susah mahupun senang. Kehidupan berpasangan memerlukan usaha dan kasih-sayang antara kedua-dua belah pihak agar perkahwinan ini menjadi medan bertambahnya pahala.

Bagi yang masih lagi bujang, pasti akan tertanya-tanya siapakah yang bakal pemilik hati buat selama-lamanya. Persoalan yang sering kali bermain dalam minda ialah bagaimana mahu mengetahui samada seseorang itu betul-betul jodoh yang baik untuk kita? Jadi, kali ini kami akan perincikan 21 tips cari jodoh yang dianjurkan Islam sebagai panduan buat anda.

1. Sentiasa Berdoa

Semestinya doa merupakan senjata ampuh seorang Muslim. Walau cinta bagai nak rak, namun jodoh itu hanya ditangan Allah SWT. Tanpa keizinanNya, jodoh tidak akan bertaut.

Kebergantungan hati pada Allah perlulah seratus peratus kerana hanya Dia tahu apa yang terbaik dalam kehidupan hamba-hambaNya.

Jadi, jangan jemu untuk terus berdoa walaupun anda merasakan doa anda masih belum dimakbulkan kerana hanya Allah yang akan mengurniakan jodoh pada waktu yang tepat.

2. Memperbaiki Diri

Untuk mendapatkan pasangan yang baik, kita perlu menjadi baik terlebih dahulu. Allah menjanjikan lelaki yang baik untuk wanita yang baik dan wanita yang baik untuk lelaki yang baik.

Dengan memperbaiki diri dan mengatasi kekurangan akan membawa kepada jodoh yang baik. Adakah anda mahu pasangan yang baik tetapi ibadah dan akhlak anda masih lagi terumbang ambing? Jadi, anda perlu menjadi seperti apa yang anda inginkan ada pada pasangan anda.

3. Mohon Restu Ibu Bapa

Bagi memastikan rumahtangga bahagia, restu ibu dan bapa amatlah penting. Sebelum mengambil keputusan memperisterikan gadis pilihan, lebih baik mendapat pandangan daripada ibu dan ayah kerana redha Allah terletak pada keredhaan ibu dan bapa.

Dengan adanya restu kedua orang tua, InsyaAllah mahligai yang bakal dibina menjadi mudah seterusnya rumahtangga menjadi aman dan harmoni. Tambahan pula, seorang ibu mempunyai firasat yang kuat demi kebaikan anak-anaknya.

4. Beragama Islam

Sebagai penganut agama Islam, pastinya pasangan yang bakal dikahwini wajib berpegang pada agama yang sama. Haram hukumnya mengahwini mereka yang berlainan agama. Ini merupakan tunjang dalam sesebuah perkahwinan. Bahkan, Nabi Muhammad SAW menyarankan untuk memandang pada agama seseorang dalam pemilihan jodoh kerana jika ada agama yang baik, semuanya akan menjadi baik.

Berpegang teguh pada ajaran agama Islam merupakan asas supaya ahli keluarga dapat dididik dengan baik berlandaskan syiar Islam.

5. Niat Yang Baik

Segala perbuatan yang ingin dilakukan haruslah dimulakan dengan niat. Syarat untuk mendapat pahala ialah dengan niat Lillahitaala atau bersandarkan kepada Allah. Justeru, dengan memasang niat yang baik untuk mencari jodoh dan berumahtangga kerana Allah, segala amalan yang dilakukan akan memperolehi pahala berpanjangan. Dengan niat yang murni ini Allah akan dorongkan ke arah jodoh yang akan membawa ke syurga dengan izinNya.

6. Berusaha

Tidak dapat dinafikan bahawa jodoh itu salah satu takdir dari Allah. Namun, menerusi ayat ini

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesebuah kaum melainkan kaum itu sendiri mengubahnya” (Ar-Rad: 11)

Ia membawa maksud bahawa usaha berterusan perlulah dilakukan agar keinginan yang dihajati tercapai. Tanpa usaha, agak mustahil akan dapat mencapai apa yang diinginkan. Jadi, janganlah ada istilah putus asa dalam mencari jodoh kerana ianya rahsia dari Allah. Disamping berdoa, berusaha juga sama pentingnya.

7. Bergaul Dengan Orang Soleh

Salah satu cara untuk mendapatkan jodoh yang baik adalah dengan memastikan pergaulan juga dikalangan orang-orang yang soleh.

Peratusan untuk mendapat pasangan yang baik lebih tinggi jika berkawan dengan orang yang baik. Kemungkinan jodoh itu hanya di depan mata cuma perlu berusaha dan menunggu waktu yang tepat agar kedua-duanya bersedia.

8. Keturunan Yang Baik

Matlamat perkahwinan antaranya adalah untuk menyambung keturunan agar umat Nabi Muhammad SAW bertambah ramai.

Oleh itu, mengetahui latar belakang keluarga seperti asal usul keturunan juga perkara yang terpenting untuk memastikan kesinambungan waris yang dilahirkan berasal dari keturunan yang baik. Dengan mengetahui perihal keturunan, anda boleh memilih jodoh yang baik.

9. Paras Rupa

Walaupun paras rupa bukan hal yang utama dalam pemilihan jodoh yang baik, namun setiap manusia mempunyai citarasa terhadap rupa pasangan impian. Islam tidak melarang memandang pada paras rupa kerana ia merupakan antara ciri memilih pasangan. Bonus sekiranya ditakdirkan mendapat pasangan yang berwajah cantik dan berakhlak mulia. Sudah pasti cepat-cepat diikat tali pertunangan agar tidak dikebas orang!

10. Berilmu & Berakhlak

Ilmu dan akhlak berdiri sama tinggi untuk memastikan jodoh itu baik. Kaya tanpa akhlak yang baik itu boleh dikatakan ego kerana ia seperti bertuhankan harta kekayaan.

Kehidupan di zaman moden ini kebiasaannya manusia akan memandang pada harta seseorang. Namun, hakikat sebenarnya adab yang mulia akan membawa kemuafakatan dalam perkahwinan.

Sangat beruntung sekiranya mendapat pasangan yang mempunyai akhlak yang baik kerana pasti harta kekayaan turut akan datang seiring seperti janji Allah bagi mereka yang berkahwin.

11. Solat Taubat

Sebagai manusia yang lemah, semestinya banyak melakukan dosa secara sengaja mahupun tidak. Untuk menyucikan kembali diri, perlulah melaksanakan solat taubat agar terhapusnya dosa-dosa ini.

Ambillah peluang merintih dan merayu bersungguh-sungguh kepada Allah agar diberikan jodoh yang baik selepas memohon ampun. InsyaAllah dimakbulkan.

12. Solat Duha

Solat sunat duha sangat dituntut Islam. Salah satu cara menjemput rezeki ialah dengan menunaikan solat duha.

Carilah sekurang-kurangnya lama minit pada waktu duha ini bagi memohon diberikan rezeki jodoh yang baik. Allah akan dorongkan jodoh dari arah yang tidak disangka-sangka.

13. Solat Istikarah

Buat mereka yang masih buntu untuk mencari jodoh atau sudah mempunyai beberapa pilihan tetapi teragak-agak untuk memilih siapa yang tepat disarankan mengerjakan solat sunat Istikarah.

Ia sangat membantu kerana tiada siapa yang tahu apa akan jadi pada masa hadapan. Oleh itu, solat ini perlu bagi memohon petunjuk yang haq daripada Allah SWT agar tidak menyesal di kemudian hari.

14. Usrah

Melibatkan diri dengan usrah akan menyucikan jiwa daripada perkara-perkara yang tidak berfaedah. Sangatlah digalakkan menyertai usrah secara langsung agar boleh berkongsi pendapat dan mendengar nasihat daripada ahli-ahli usrah yang lain.

Jika bernasib baik, kemungkinan juga jodoh yang baik boleh datang dari ahli usrah itu sendiri! Tambahan pula, banyak ilmu yang diperolehi daripada perkongsian usrah boleh diguna pakai untuk menjadi dam mencari jodoh yang baik.

15. Membaca & Menghayati Al Quran

Kitab suci Al-Quran merupakan pedoman hidup sepanjang zaman. Ia merupakan terapi diri tidak kira walau apa jua keadaaan. Bagi mencari jodoh yang baik, membaca dan menghayati Al Quran perlu kerana ia akan melembutkan hati. Pastinya dengan akal dan jiwa yang waras akan dapat menentukan siapa jodoh yang terbaik untuk berkongsi cinta sepanjang hayat.

16. Menghayati Sirah Nabi Muhammad SAW

Nabi Muhammad saw merupakan manusia pilihan Allah untuk dijadikan petunjuk kepada sekalian manusia. Dengan menghayati sejarah kehidupan Baginda, sudah pasti akan mengetahui bagaimana cara terbaik memilih jodoh.

Baginda tidak pernah mengasari isteri-isterinya malah membantu dalam melakukan kerja rumah. Penghayatan kisah Baginda akan memberikan inspirasi dalam memilih imam atau makmum yang terbaik dijadikan pasangan sehidup semati.

17. Jujur Pada Diri Sendiri

Apabila anda sedang dalam proses mencari jodoh yang baik, kejujuran merupakan sifat terpenting yang harus ditonjolkan.

Dalam perkenalan awal, mengetahui latar belakang diri dengan betul adalah sangat penting supaya tidak merosakkan hubungan yang bakal dibina dengan penipuan. Jadi, jika mahukan pasangan yang jujur, anda perlu jujur pada diri anda sendiri terlebih dahulu.

18. Menghormati Orang Tua

Membina keluarga yang bahagia, ia bukan hanya melibatkan dua individu namun turut melibatkan orang tua kedua-dua belah pihak.

Sifat hormat kepada orang tua amat dititik beratkan kerana ia melambangkan jati diri sebagai anak yang soleh. Lihatlah pada bakal jodoh anda tentang cara layanannya pada orang tua. Sekiranya baik, layanan yang bakal diberikan pada anda juga turut baik dan menyenangkan.

19. Menyayangi Keluarga

Sifat sayangkan keluarga penting untuk mengetahui jodoh itu baik atau tidak. Kehidupan bekeluarga sudah pasti ada pasang surutnya. Namun layanan yang baik harus sentiasa dipamerkan lebih-lebih lagi bakal mendirikan rumah tangga sendiri.

Jadi, anda perlu sayangkan keluarga anda kerana selepas berkahwin anda perlu menyayangi keluarga pasangan anda dan bersedia menerima baik buruk mereka.

20. Tawakkal

Selepas melakukan semua perkara di atas, perkara yang bakal terjadi perlu diserahkan pada Yang Maha Kuasa.

Bertawakkal akan menjadikan diri tenang dan redha selepas sudah cuba melaksanakan segalanya sebaik mungkin. Dengan bertawakkal ini, Allah pasti memberi ganjaran dari segala pelusuk langit dan bumi buat hambaNya yang lemah ini.

21. Sabar

Kesabaran merupakan separuh daripada iman. Janganlah gelojoh dalam mencari jodoh kerana tidak bermakna lambat itu tidak baik dan cepat itu baik.

Yang menjadi dosa ialah jika melakukan perkara mungkar sebelum berkahwin. Sifat sabar perlu sentiasa disemai agar jiwa berada pada paras yang tenang. Dengan berkat kesabaran ini, pastinya jodoh yang baik akan sampai.

Senarai Platform Cari Jodoh Terkini & Dipercayai

Baitulmuslim.com

Platform ini sudah tidak asing lagi buat mereka yang masih mencari jodoh samada bujang, janda atau duda. Bagi mengisi hati yang kosong, baitulmuslim menyediakan khidmat pencarian jodoh dengan mudah.

Hanya perlu berdaftar di laman sesawang baitulmuslim, kemudian lengkapkan borang dan anda sudah boleh memilih untuk berkenalan dengan calon-calon yang telah berdaftar dengan laman ini.

Mempunyai lebih dari setengah juta pengikut di laman Facebook, ia menunjukkan laman ini sangat popular kerana ia mudah digunakan. Selain itu, data peribadi yang dikemukakan dijamin menjadi privasi oleh pihak baitulmuslim.

Laman Web: https://baitulmuslim.com/

Tilljannah.my

Ia satu platform cari jodoh Muslim yang dijamin mudah dan cepat servis khidmat pelanggannya. Selain melindungi data peribadi, ia juga menjamin untuk sentiasa memelihara ikhtilat. Ia menjadi pilihan kerana terdapat banyak testimoni yang menunjukkan ramai yang telah berjaya mendapat jodoh yang diinginkan dari laman ini.

Laman Web: https://www.tilljannah.my/

Baituljannah.com

Walaupun ia masih baru dilancarkan, namun ia merupakan antara laman pilihan yang terbesar di Malaysia dengan hampir 500 000 yang telah berdaftar. Jaminan yang diberikan untuk sentiasa memastikan mengikut kehendak Islam, anti-SEO, melindungi privasi dan bebas spam. Ia juga telah mendapat liputan dari akhbar Utusan Online, BH Online dan Kosmo. Jadi, calon yang ramai ini boleh dijadikan pilihan buat anda yang masih lagi mencari.

Laman Web: https://baituljannah.com/

Semaniskurma.my

Mempunyai ahli berdaftar yang kian meningkat, laman ini memberi peluang untuk mencari jodoh yang diidamkan. Dengan tagline ‘Kami Membantu, Anda Berusaha, Allah Menentukan’ menjadikan laman ini pilihan sebagai agen pengantara buat mereka yang ingin mencuba beralih kepada alam maya bagi mendapatkan jodoh yang serasi.

Laman Web: https://www.semaniskurma.my/

Cinta itu hakikatnya tidak boleh dipaksa. Ianya hadir dari perasaan hati yang paling dalam. Jika dibajai dengan kasih yang terbalas pasti membuahkan kebahagiaan. Buat yang masih tercari-cari pasangan hidup, anda tidak perlu bimbang jika jodoh anda masih lagi belum muncul.

Mungkin perasaan anda bercampur baur antara sedih,sunyi dan runsing apabila melihat rakan-rakan dan kenalan yang sudah beranak-pinak sedangkan anda masih lagi belum berpunya. Namun percayalah bahawa hakikat jodoh itu tidak lambat atau cepat tetapi ia datang pada masa yang terbaik mengikut perhitungan Allah.

Baca: 21 Dugaan Bertunang Yang Harus Setiap Bakal Pengantin Tahu

Segala yang berlaku pastinya terselit 1001 hikmah. Teruskan bersabar dalam pencarian tanpa putus asa kerana segala penat lelah anda mencari jodoh yang terbaik ada ganjaran di sisi Allah. Harus diingati bahawa perkahwinan merupakan sunnah Rasullullah.

Dengan perkongsian ini, kami berharap anda dapat mempraktiskan kesemua 21 tips ini supaya bertemu jodoh yang baik. Kami titipkan doa agar penantian anda berakhir dengan berjumpa cinta hati pilihan anda tidak lama lagi. InsyaAllah.