Seusai tamatnya upacara akad nikah, kebiasaannya pengantin lelaki dan perempuan akan menyarungkan cincin di jari antara satu sama lain yang dipanggil sebagai upacara batal air sembahyang.

Selain dari menjadi simbolik adat dan budaya masyarakat Melayu, di sebalik cincin yang disarung itu terselitnya sebuah makna yang besar iaitu bermulanya sebuah ikatan yang sah sebagai suami isteri.

Setiap apa yang berlaku di dalam perkahwinan itu haruslah dihadapi dengan sabar, sama ada ketika senang atau susah, suka mahupun duka.

Pemilihan cincin yang bersesuaian bagi setiap acara adalah perlu. Terdapat 4 jenis cincin yang anda perlu tahu iaitu cincin untuk majlis merisik, bertunang, nikah dan cincin belah rotan.

Perkongsian kami kali ini bakal mengupas lebih lanjut tentang kegunaan dan perbezaan 4 jenis cincin yang sering dikaitkan dengan majlis perkahwinan.

Kandungan

1. Cincin Merisik

Merisik adalah langkah pertama sebelum ke gerbang perkahwinan. Amalan ini kebiasaannya akan dilakukan oleh pihak lelaki dengan menghantar rombongan yang diwakili oleh ibu bapanya sendiri atau saudara terdekat untuk mengetahui status si gadis, sama ada sudah dipinang orang, janda atau masih belum berpunya.

Bagi menyempurnakan majlis merisik, pihak lelaki akan membawa sebentuk cincin  untuk diserahkan kepada pihak perempuan.

Cincin merisik ini akan disarungkan oleh bakal ibu mertua ke jari manis sebelah kiri bakal pengantin perempuan sebagai tanda wanita tersebut sudah dicop sebagai bakal menantunya.

2. Cincin Bertunang

Pertunangan merupakan simbolik kepada “mengikat janji untuk ke jinjang pelamin”. Dalam Islam turut menganjurkan untuk bertunang bagi mengelak daripada berlakunya pertunangan di atas pertunangan dan hukumnya adalah haram.

Manakala konsep bertunang dalam adat dan budaya Melayu, ia adalah fasa untuk mengenal hati budi bakal pasangan dan juga keluarga pasangan. Tempoh pertunangan biasanya sekitar 3 bulan dan  ke atas bergantung kepada persetujuan kedua-dua belah pihak.

Dalam upacara pertunangan, cincin  diberikan oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan adalah cincin yang mempunyai batu permata ‘diamond’ kecil yang disusun sejajar.

Harga cincin bertunang dipasaran adalah sekitar RM500 sehingga RM1,000 bergantung kepada saiz diamond dan juga jenis emas yang digunakan.

Begitu besar makna dan harapan yang dibawa oleh cincin bertunang ini dan jika bakal pengantin menghayati makna sebenar yang terkandung di dalam cincin ini pastinya mereka akan menjaga ikatan ini sebaik mungkin.

3. Cincin Nikah

Perkahwinan adalah penyatuan dua jiwa yang sah bergelar suami isteri setelah selesainya lafaz akad ijab dan kabul. Dalam Islam, perkahwinan sangat-sangat dianjurkan kerana di sinilah titik tolak bermulanya pembentukan sebuah institusi kekeluargaan.

Mengikut adat dan budaya Melayu pula, cincin nikah adalah antara yang terpenting selepas mahar dan mas kahwin. Ini kerana cincin nikah adalah simbolik dengan status sudah pun sah bergelar sebagai pasangan suami isteri.

Cincin nikah biasanya lebih glamor dan mahal berbanding cincin merisik dan bertunang. Cincin ini turut dikenali sebagai Solitaire Ring di mana ia diperbuat dari emas yang mempunyai batu permata satu dan besar.

Mengikut adat, cincin nikah akan disarung di jari manis pengantin di sebelah kanan seusai tamatnya upacara ijab dan kabul.

Soalan Lazim Berkaitan Cincin kahwin

Cincin Tunang Pakai Di Jari Mana?

Bagi anak gadis mahupun teruna yang menghampiri fasa bertunang ataupun ke alam perkahwinan, pasti anda tertanya-tanya jari yang manakah yang sebetulnya untuk disarungkan cincin tunang bukan?

Adakah di jari manis belah kiri ataupun kanan? Jika tersilap jari confirm tebal muka di depan mertua nanti hihi…

Untuk pengetahuan bakal pengantin, mengikut adat Melayu jari yang sebetulnya bagi cincin tunang adalah di jari manis sebelah kiri. Jari manis sebelah kanan pula untuk cincin kahwin. Jangan tertukar pula ye!

Cincin Tunang Lelaki | Perlu Ke Tidak?

Wajib ke cincin tunang bagi lelaki? Sebetulnya cincin tunang untuk lelaki tidak wajib tetapi sekiranya ada permintaan dari pihak lelaki atau persetujuan dari kedua-dua belah pihak, tak salah jika cincin tunang lelaki disediakan.

Apa yang perlu pihak perempuan tahu ketika memilih cincin untuk lelaki ? Elakkan memilih cincin emas, emas putih dan suasa kerana haram dipakai oleh lelaki. Sebagai alternatif lain, pihak perempuan boleh membeli cincin perak (silver) ataupun platinum.

Cincin platinum berwarna putih silver dan kebanyakan designnya adalah moden dan terkini. Sangat sesuai untuk lelaki yang mempunyai citarasa yang tinggi. Tapi harus diingatkan, cincin ini agak mahal berbanding dengan cincin silver yang biasa.

Harga sebentuk cincin boleh mencecah sehingga RM1000 dan ke atas. Jika anda dan pasangan mempunyai bajet yang tinggi, tak salah untuk memilih cincin platinum.

Cincin Belah Rotan | Apa Kaitanya Dengan Perkahwinan?

Cincin merisik ini dipanggil cincin belah rotan kerana rekaan cincin yang paling simple dan tidak mempunyai sebarang batu ataupun permata.

Pasti ramai yang tertanya-tanya dari mana datangnya nama cincin belah rotan, bukan? Menurut orang lama, cincin belah rotan di ambil bersempena bentuknya yang bulat di luar serta datar di dalam seperti belahan rotan.

Dalam adat Melayu cincin ini boleh dikatakan wajib bagi majlis merisik mahupun tunang suatu ketika dulu berbanding zaman sekarang.

Cincin ini boleh didapati pada harga sekitar RM200 sebentuk dan ke atas mengikut harga pasaran.


Artikel kami yang berkisarkan  jenis-jenis cincin kahwin ini hanya sekadar cadangan yang boleh dijadikan rujukan. Namun ia bukanlah wajib diikuti secara total. Dalam membuat persiapan perkahwinan tak kiralah dalam bab pemilihan cincin ataupun persiapan yang lain, apa yang penting adalah anda dan pasangan haruslah duduk bersama dan berbincang.

Baca: 26 Hantaran Tunang Yang Istimewa & Luarbiasa

Ambillah kata sepakat agar semua persiapan berjalan lancar dan tidak berlaku sebarang perselisihan faham. Selain itu, harus diingati berbelanjalah mengikut kemampuan anda dan pasangan anda.

Jangan disebabkan adat dan pandangan masyarakat, anda tersepit dan menyebabkan masalah di kemudian hari. Kami doakan agar majlis anda berjalan dengan lancar dan semoga perkahwinan anda diberkati serta dikurniakan sakinah, mawardah dan rahmah.