Setiap manusia pastinya mengimpikan kehidupan berumah tangga, mempunyai suami untuk berkongsi hidup, isteri untuk bersandarkan kasih sayang juga anak-anak yang bakal mewarnai lagi sesebuah perkahwinan itu.
Ini bersesuaian dengan firman Allah swt di dalam Surah Ar-Rum, ayat 21. Ayat ini menekankan lagi bahawa lelaki dan perempuan itu diciptakan Allah SWT untuk saling melengkapi antara satu sama lain, umpama siang dan malam.
Namun, memang tidak dinafikan pada masa kini, masih ramai yang tercari-cari pasangan hidup, apatah lagi tekanan daripada orang sekeliling, keluarga mahupun rakan-rakan. Kadang-kala melekakan kita dalam mencari makna sebenar untuk membina sebuah perkahwinan.
Jangan bimbang, sama ada lelaki atau perempuan, janganlah terburu-buru di dalam pencarian jodoh, apa yang penting segala usaha kita haruslah mempunyai niat yang betul, usaha dan doa yang berterusan. Di sini, dikongsikan beberapa doa yang boleh diamalkan untuk mendapatkan jodoh yang baik.
Kandungan
Doa Pendekat Jodoh
9. Surah Yusuf (Ayat 4) dan Surah Taha (Ayat 39)

Gandingan kedua-dua ayat ini merupakan keistimewaan yang Allah SWT berikan kepada kita sebagai salah satu cara mengeratkan lagi kasih sayang sesama manusia, terutama dalam kalangan ahli keluarga, suami isteri, anak-anak malahan sahabat andai.

Cara pengamalannya adalah seperti membaca Surah Yusuf, ayat 4 terlebih dahulu diikuti dengan Surah Taha, ayat 39 sebanyak tiga atau tujuh kali selepas solat atau membaca potongan surah-surah ini di dalam hati setiap kali bertemu dengan mereka yang dihajati. Dengan izin Allah SWT, kita akan mendapatkan reaksi yang positif daripada mereka.
8. Surah Taha (Ayat 131-132)
Jika diamati pada makna-makna di sebalik potongan ayat daripada surah ini, Allah SWT memberi peringatan kepada manusia untuk tidak melalaikan diri dengan kelebihan yang ada pada dunia ini semata-mata, kerana kehidupan di akhirat merupakan kurniaan yang lebih abadi.
Justeru Allah SWT memerintahkan kita sebagai umatnya untuk terus berusaha, bersabar serta terus bergantung kepada Allah SWT sebagai perancang dan pemberi rezeki. Jodoh juga merupakan suatu bentuk rezeki daripada Allah SWT, oleh itu, amalkan potongan surah ini setiap kali selepas solat sebagai doa mendekatkan jodoh yang baik kepada kita.
7. Doa Nabi Musa A.S – Surah Qashash (Ayat 24)
Ada di kalangan kita yang sudah merasa putus asa terhadap kurniaan jodoh mungkin disebabkan sudah terlalu kerap dikecewakan ataupun masih belum dipertemukan dengan seseorang yang dirasakan sesuai untuk dijadikan pasangan hidup.
Baca: 9 Doa Pengasih Khas Untuk Mengeratkan Hubungan Suami Isteri
Jangan bimbang, Nabi Musa A.S juga telah didatangkan pelbagai bentuk ujian dan dugaan sepanjang hidupnya. Baginda berdoa dengan doa ini ketika baginda sedang berdepan dengan permasalahan, lalu Allah SWT mengurniakan jalan keluar buatnya. Oleh itu, sebagai manusia biasa, ambillah pengajaran daripada kisah Nabi Musa A.S ini untuk terus berusaha dan berdoa.
6. Surah An-Nur (Ayat 26)
Ayat ini telah diturunkan disebabkan fitnah yang berlaku kepada Aisyah R.A sewaktu zaman Rasulullah SAW. Namun, secara umum, kita boleh mengambil pengajaran dan panduan daripada makna disebalik potongan ayat ini sebagai cara untuk mendapatkan pasangan atau jodoh yang baik. Jelas dinyatakan bahawa lelaki dan perempuan yang mempunyai akhlak dan tauladan yang baik pastinya akan dikurniakan pasangan yang seumpamanya juga.
Sebagai manusia, kita perlu terlebih dahulu memperbaiki diri sendiri dalam segala aspek, fizikal dan rohani. Semoga ia menjadi punca tertariknya seseorang yang baik juga kepada kita untuk dijadikan pasangan hidup. Namun, jika sebaliknya yang terjadi, anggaplah ia sebagai ujian hidup yang menjadikan kita lebih kuat dan sentiasa bersyukur dengan ketentuan Allah SWT.
5. Doa Bertemu Jodoh – Ruqyah

Doa ini boleh diamalkan setiap kali selepas solat fardhu atau pada bila-bila masa yang bersesuaian sebagai langkah membersihkan jiwa daripada segala anasir negatif dan seterusnya mendekatkan jodoh di dalam kehidupan. Kita tidak dapat memandang remeh atau menolak tentang pengamalan ilmu-ilmu yang tidak baik seperti sihir, ilmu pengasih atau yang seumpamanya sungguhpun zaman semakin moden dan canggih.
Jodoh merupakan antara salah satu cabang yang sering terkait dengan pengamalan ilmu hitam seperti ini. Justeru penting untuk kita amalkan doa ruqyah ini bagi memohon perlindungan daripada Allah SWT supaya dihindari daripada perbuatan seumpama ini selain dipercepatkan jodoh.
Doa Jodoh Yang Baik
4. Surah Al Furqaan (Ayat 74)
Sungguh tenang apabila mendengarkan potongan bait-bait ayat daripada surah ini. Ayat ini begitu sinonim dan sering diselitkan di dalam doa-doa selepas solat fardu. Ini merupakan suatu usaha kita untuk berdoa kepada Allah SWT memohon dikurniakan seseorang dalam kalangan mereka yang baik supaya menjadi pendamping hidup sehingga ke syurga.
Bukan itu sahaja, malahan keluarga yang dibina bukan sekadar kebahagian suami atau isteri tetapi juga untuk melahirkan zuriat keturunan dan keluarga yang sakinah. Perbanyakkan amalan doa ini ya!
3. Surah As-Saffat (Ayat 100)
Ayat ini merupakan doa Nabi Ibrahim A.S kepada Allah SWT untuk dikurniakan zuriat keturunan yang soleh dan beriman. Seperti yang dinyatakan, setiap perkahwinan itu tentunya menginginkan anak-anak sebagai penyeri kehidupan berumah tangga.
Jodoh dan zuriat merupakan antara kurniaan rezeki daripada Allah SWT kepada manusia, sungguhpun adakalanya kita diuji dengan keduanya, sama ada dikurniakan anak atau sebaliknya, ambillah pengajaran daripada kisah Nabi Ibrahim A.S yang tidak pernah berputus asa memohon kurniaan zuriat daripada Allah SWT yang pada akhirnya dimakbulkan juga.
2. Doa Nabi Zakaria A.S – Surah Al Anbiya’ (Ayat 89)
Umum mengetahui bahawa sesebuah perkahwinan yang dibina itu semestinya bakal berdepan dengan pelbagai jenis ujian dan dugaan, antaranya seperti kurniaan anak. Ada di antara kita yang asyik leka dalam mencari pasangan hidup sehingga lupa makna sebenar ikatan perkahwinan yang menjadi sumber kesinambungan keturunan secara berpanjangan.
Apa yang kita mahukan ialah sebuah perkahwinan yang berkat dan melaluinya merupakan zuriat keturunan yang soleh dan solehah. Oleh itu, amalkanlah doa ini kerana ia mempunyai nilainya tersendiri dan menjadi simbol kebergantungan rezeki dan harapan kita semata-mata kepada Allah SWT setelah penat berusaha.
1. Surah An Anfal (Ayat 63)
Setiap daripada kita semestinya menginginkan untuk dicintai dan mencintai. Ada ketikanya, pelbagai cara sanggup kita lakukan supaya diri sentiasa dihargai dan disayangi. Tiada salahnya, kerana ia merupakan fitrah semula jadi seseorang manusia. Namun, penting untuk diingatkan supaya dalam pada kita sibuk mengejar kasih sayang manusia, keberkatan daripada Allah SWT itu adalah lebih utama.
Jangan pula kita lalai sehingga melibatkan diri dengan perkara-perkara yang dilarang di dalam agama semata-mata untuk mencapai apa yang kita hajati. Amalkanlah potongan ayat daripada surah ini setiap kali selepas solat. Ulanglah beberapa kali sehingga sebati dengan jiwa.
Dengan izin Allah SWT, semoga kita ditempatkan dalam kalangan pergaulan dengan orang-orang yang baik sekali gus mendekatkan dan mempermudahkan jodoh yang baik.
Demikianlah beberapa surah dan doa yang boleh diamalkan supaya hajat kita untuk mendapatkan jodoh dan seterusnya membina sebuah keluarga yang sakinah itu dimakbulkan oleh Allah SWT. Sememangnya jodoh dan pertemuan itu segalanya dirancang oleh Allah SWT dan Allah SWT merupakan sebaik-baik perancang.
Namun, sebagai manusia, kita seharusnya sentiasa berusaha dan pada masa yang sama, bertawakal dan tidak berputus asa sekiranya hajat kita belum tercapai.
Tips Mencari Jodoh
Suka juga saya kongsikan di sini beberapa tips untuk mendapatkan jodoh. Pertama, apa yang penting ialah kita perlu sentiasa memperbaiki niat supaya ikhlas untuk berumahtangga semata-mata kerana Allah swt.
Keduanya, sentiasa refleks kelemahan diri dan berusaha untuk memperbaikinya. Sebagai contoh, jika kita merasakan penampilan diri merupakan permasalahan utama, rujuklah cara untuk meningkatkan keyakinan melalui pemakaian dan keterampilan. Namun bukan itu sahaja, sikap dan akhlak juga merupakan perkara paling utama yang perlu sentiasa diperbaiki.
Ketiga, tidak mengira sama ada lelaki atau perempuan, binalah keyakinan diri dan elakkan bersikap malu yang tidak bertempat supaya mencari teman yang dihajati. Tidak salah untuk berkenalan tetapi perlulah menjaga batas-batas pergaulan sebagai muslim.
Jodoh tidak akan datang bergolek begitu saja. Oleh itu, salah satu usaha kita ialah dengan memperluaskan lagi jaringan pergaulan secara sihat berlandaskan syarak. Manfaatkanlah platform sosial media dengan baik atau boleh juga mencuba menggunakan perkhidmatan beberapa laman sesawang yang berkonsep islamik untuk mendapatkan jodoh.
Bagi mereka yang sudah hampir berputus asa, berlapang dada dan sentiasa bersangka baik dengan Allah SWT. Gunakan peluang dan masa bujang yang ada untuk berbakti kepada ibu bapa dan ahli keluarga. Semoga berjaya dan teruskan usaha!