Bertunang bukanlah suatu perkara yang mudah, banyak perkara yang perlu dijaga. Ianya bukan sahaja melibatkan batas pergaulan, tetapi juga hati dan perasaan kedua-dua belah pihak.

Tatkala kita mengimpikan kebahagiaan dalam berumah tangga bersama bakal pasangan, ujian datang bertimpa-timpa dalam pelbagai bentuk yang menguji kesabaran dan kesetiaan masing-masing.

Ini baru permulaan dalam pertunangan, belum lagi masuk ke alam perkahwinan. Masing-masing perlu ada sifat saling memahami dan kesabaran yang tinggi.

Dugaan Bertunang - Featured Image
Sumber: @touchskillphotography

Andai ujian ini tidak dapat dilalui dengan baik, ianya akan kecundang dan putus di tengah jalan. Maka amatlah pilu jika keputusan yang akan diambil adalah “putus tunang”.

Kandungan

21. Bertunang Lama Sangat

Masa awal bercinta, segalanya nampak indah sehinggalah bertunang. Tapi, bila ikat tali pertunangan lama-lama, ujiannya boleh buatkan pasangan mulai bosan. Hari-hari jumpa, dan berhubungan dalam whatssap setiap masa, mula lah rasa muak dengan tunang sendiri.

Ujian bertunang macam-macam saja mengundang. Jadi janganlah tunang terlalu lama sangat, kerana syaitan sering menghasut supaya pasangan tak jadi untuk bina masjid!

20. Tiada Simpanan Untuk Kahwin

Untuk mendirikan rumah tangga, perkara paling utama adalah kewangan. Wang ringgit sangat diperlukan untuk persiapan majlis. Ia melibatkan wang yang banyak dan mencecah berpuluh ribu ringgit! Akan tetapi, dalam tempoh pertunangan ini, dugaan masalah kewangan banyak melanda kepada semua pihak.

Lebih-lebih bagi mereka yang tiada simpan duit untuk persediaan kahwin akan menimbulkan konflik yang besar. Tambahan pula zaman sekarang kos perkahwinan seperti pelamin, katering, jurugambar dan busana pengantin harganya adalah sangat mahal.

19. Impikan Majlis Kahwin Luar Dari Bajet Kemampuan

Setiap orang mengimpikan majlis kahwin yang grand dan indah. Maklumlah perkahwinan hanya sekali seumur hidup. Masalah timbul jika ingin mendirikan perkahwinan yang gah bak istana, malangnya luar dari kemampuan.

Kewangan yang tidak cukup akan menyebabkan proses untuk berkahwin menjadi lambat. Oleh itu, pasangan janganlah terlalu demand dan mengikut nafsu semata-mata. Perancangan kewangan yang bagus harus diambil kisah untuk kehidupan selepas kahwin nanti. Atur bajet kewangan sebaik-baiknya!

18. Pasangan Tiada Kerja Tetap & Sering Tukar Kerja

Zaman sekarang memang susah nak dapat kerja. Umur dah lanjut tapi jodoh telah sampai. Si teruna sudah melamar dan hubungan pertunangan sudah terjalin. Tapi bila pasangan tiada kerja tetap atau sering bertukar kerja, sudah tentu menyulitkan lagi situasi kewangan.

Terutamanya dari pihak lelaki, yang memerlukan perbelanjaan kahwin yang banyak. Nak tunggu kumpul duit dulu? Alamatnya bertahun lagi la baru dapat berkahwin. Punca kewangan ini sering menjadi pertengkaran antara pasangan yang sedang bertunang. Faktor ini juga menjadi salah satu punca putus tunang.

17. Keluarga Perempuan Letak Hantaran Tinggi

Bila sebut pasal hantaran, kebanyakan lelaki risau dan kecut perut mendengarnya. Lagi-lagi zaman sekarang perempuan lebih berkerjaya dari lelaki. Sudah tentu pihak perempuan akan meletakkan hantaran yang tinggi untuk berkahwin.

Ini mengakibatkan pihak lelaki tertekan memikirkan hal untuk mencari wang yang lebih bagi memenuhi kehendak pihak perempuan. Hantaran yang tinggi diletakkan oleh pihak perempuan akibat faktor ekonomi sekarang kerana harga barang yang tinggi. Keluarga perempuan pula mahu yang terbaik buat anak daranya itu nanti.

Baca: Senarai Mas Kahwin Mengikut Negeri | Kadar Terkini

16. Bakal Suami Anak Emak

Lelaki anak emak? Memang bunyinya lain macam sahaja. Tapi memang wujud lelaki anak emak ini. Dugaan semasa bertunang lagi bertambah rumit jika dapat tahu bahawa tunang kita merupakan anak emak! Selalunya anak emak ini bersifat manja. Semua perkara yang dibuat nak ditanya pada emak dahulu. Macam tiada pendirian diri sendiri dan tidak berdikari. Ini sangat merimaskan!

Macam mana nak menjadi ketua keluarga bila dah berkahwin nanti?  Ini boleh membuatkan perempuan rasa tertekan disebabkan sifat tunang yang hanya mahu mengikut telunjuk emak sahaja.

Tak dinafikan, memang syurga dibawah telapak kaki ibu, lebih-lebih lagi bagi lelaki, walaupun telah berkahwin, dia tetap perlu menjaga ibunya sehingga akhir hayat. Akan tetapi, biarlah berpada-pada dan jadilah lelaki yang matang untuk menjadi ketua keluarga kelak.

15. Campur Tangan Adik-Beradik

Dalam hubungan pertunangan, mana ada sentiasa manis selamanya. Bertikam lidah, bergaduh atau merajuk merupakan perkara biasa. Kadang-kadang gaduh perkara kecil itu sudah menjadi lumrah. Tapi bila ujian bergaduh ini datang, sangat menyakitkan. Lebih menyakitkan hati kalau hubungan pergaduhan ini ada campur tangan adik beradik dan keluarga.

Apabila berlaku perselisihan faham, setiap pasangan tidak perlu mengadu atau menceritakan masalah kepada adik beradik. Ianya bukan menyelesaikan masalah, malah menambahkan lagi konflik keluarga.

Keadaan akan jadi lebih teruk bila ada hasutan dari salah satu pihak keluarga yang membuatkan hubungan ini hambar dan boleh mengakibatkan punca putus tunang bila masing-masing telah dihasut. Seeloknya setiap pasangan perlu menyelesaikan masalah tanpa melibatkan keluarga.

14. Pertunangan Jarak Jauh

Perhubungan jarak jauh juga merupakan faktor dugaan bertunang. Apabila berjauhan, pelbagai perasaan menghantui diri masing-masing. Lebih-lebih lagi, apabila jarang berjumpa.  Ditambah pula sibuk dengan urusan kerja. Dugaan ini harus dilalui dengan banyakkan bersabar dan memahami setiap pasangan. Bila sifat bersabar itu tersemai dalam diri setiap

pasangan, hubungan ini sudah tentu dalam keadaan baik. Sabar itu merupakan tonggak kebahagiaan seseorang.

13. Tiada Masa Untuk Pasangan

Benar kata pepatah melayu, “Masa Itu Emas”. Masa adalah sangat penting dalam kehidupan. Dalam hubungan proses menyelami hati budi masing-masing ini, setiap pasangan perlu pandai menguruskan masa sebaiknya. Terutama masa bekerja dan masa bersama bakal teman hidup.

Ramai pasangan yang kecundang dan putus tunang disebabkan tiada persefahaman. Ini kerana masa kerja pasangan yang tidak menentu membuatkan mereka jarang berjumpa.

Apabila hal ini berlaku, pasangan akan merasakan seperti hubungan pertunangan ini seolah-olah tidak wujud. Demi menjaga hubungan suci ini, pasangan sepatutnya bertolak ansur dan memahami tugas pasangannya itu.

12. Masalah Orang Ketiga

Orang ketiga merupakan racun dalam sesebuah perhubungan. Kewujudannya selalu membuatkan keretakan perhubungan antara pasangan. Apatah lagi apabila orang ketiga ini wujud di tempat kerja. Dugaan orang ketiga ini boleh goyah bila-bila masa sahaja apabila kita sendiri tidak pandai mengawalnya.

Di tempat kerja, apabila kita sedar bahawa sudah berstatus tunangan orang, batas-batas pergaulan bersama rakan sekerja haruslah dijaga sebaiknya. Seeloknya jangan terlalu melayan jika rakan sekerja berlain jantina. Menjadi seorang yang peramah itu tidak salah, tapi terlebih peramah hingga membuatkan hati terpaut pada orang lain itu yang salah.

Apatah lagi bila berdarah manis ini, selalunya dikaburi oleh syaitan yang sering menghasut pasangan supaya berlaku curang. Dugaan kesetiaan ini sering diuji, maka setiap pasangan harus tanamkan dalam diri masing-masing untuk setia selamanya walaupun berjauhan.

11. Pengaruh Rakan Sebaya

Pengaruh rakan sebaya adalah suatu perkara yang banyak berlaku pada zaman sekarang. Lebih menyedihkan apabila mendapat kawan yang cemburu dengan kehidupan kita. Ianya diibaratkan seperti kawan makan kawan. Adakala kita boleh percaya dengan sahabat kita sendiri, tapi tidak perlu percaya 100%.`

Teman yang cemburu melihat kita bahagia, selalunya dia akan menceritakan keburukan pasangan kita. Bila kita terlalu percaya pada sahabat kita itu, menjadikan kita kurang percaya pada pasangan. Sebaiknya, apabila mendapat sesuatu berita, selidiki dahulu, jangan terus

melulu percaya pada sahabat kerana ia mungkin akan menyebabkan konflik bersama pasangan kita apabila telah termakan kata-kata teman yang telah menghasut itu.

10. Pengaruh Media Sosial

Sudah menjadi trend sekarang, semua life story akan dimuat naik dalam laman media sosial seperti facebook, twitter, instagram, whatsApp dan sebagainya. Perkara ini adakalanya membawa kebaikan tapi adakalanya membawa keburukan.

Sebagai contoh, jika teman sering muat naik gambar hadiah-hadiah mahal dari pasangannya, tapi kita sendiri tahu pasangan kita tidak mampu untuk memberi hadiah mahal pada kita.

Ini akan membuatkan perasaan cemburu timbul dalam diri, dan kita akan merasakan pasangan kita tidak memenuhi apa yang kita inginkan. Namun begitu dugaan ini lebih teruk apabila membandingkan pasangan kita dengan orang lain.

9. Selesa Hidup Bujang

Kadangkala ada pasangan apabila telah bertemu bakal pasangan hidup tetapi masih merindukan kehidupan di zaman bujang. Ini adalah kerana mereka rasa kebebasan mereka seolah-olah dikawal oleh pasangan.

Semasa di zaman bujang mereka bebas untuk bergaul dan berkawan dengan sesiapa sahaja. Manakala selepas diikat tali pertunangan, mereka terpaksa menghadkan pergaulan mereka semata-mata untuk menjaga hati pasangan hidup pilihan yang mereka cintai.

8. Takut Pada Komitmen

Tidak dinafikan apabila semakin dewasa, banyak komitmen perlu difikirkan! Bila dah jadi tunangan orang, perlu fikir perkahwinan yang akan datang pula. Perkara sebegini yang merungsingkan jiwa setiap pasangan.

Kebanyakan mereka terlalu takut komitmen dan tanggungjawab yang akan dipikul apabila bergelar suami atau isteri. Komitmen dari segi kewangan, memberi nafkah zahir dan batin, layanan pada pasangan dan pelbagai aspek lagi. Ianya tidak sama seperti  bujang.

7.  Bimbang Tentang Masa Hadapan

Kebanyakan pasangan yang bercinta hanya memandang keindahan dalam perhubungan. Tetapi ada juga pasangan yang memandang jauh tentang pelayaran bahtera cinta mereka sehingga ada yang bimbang tentang masa depan dalam perhubungan mereka.

Adakah mereka akan selamat belayar di pelabuhan atau hubungan mereka akan karam di tengah lautan akibat dilanda ribut hingga putus di tengah jalan? Antara faktor yang membimbangkan mereka adalah seperti kestabilan ekonomi mereka.

Semasa bujang mereka hanya fikir tentang diri sendiri, tapi bila dah berumah tangga nanti, gaji yang ada terpaksa berkongsi bersama pasangan pilihan hati mereka.

Itu yang menjadikan mereka bimbang, adakah mampu untuk hadapi ujian susah senang bersama atau tidak? Faktor keserasian juga bermain dalam fikiran, sama ada pasangan mereka akan setia sehidup semati bersama sehingga ke hujung hayat mereka.

6. Risau Pasangan Akan Berubah Selepas Kahwin

Bila bercinta, semuanya nampak manis belaka. Ibarat pijak semut tak mati. Bila dah berkahwin, benda kecil pun boleh jadi gaduh besar. Perkara ini bermain dalam fikiran setiap pasangan. Janganlah anda terlalu risau sehingga takut nak kahwin dengan si dia! Tanamkan dalam diri dan hati masing-masing untuk sentiasa positif!

5. Pasangan Panas Baran

Dapat pasangan panas baran? Minta dijauhkan. Tapi kalau dah jodoh nak buat macam mana? Kalau dua-dua bersifat panas baran, alamak susah pula nak kawal emosi tu nanti! Sebaiknya bila anda dapat pasangan panas baran ini, anda perlu banyakkan bersabar selagi tidak mendatangkan mudarat.

Jangan pula bila pasangan anda tengah marah, anda lagi buat perangai menambahkan kemarahan dia. Anda perlu bijak layan emosinya dengan baik. Tegur dengan nada suara lembut supaya dia akan tenang.

4. Pasangan Kuat Cemburu

Sifat cemburu ini memang normal pada setiap orang. Tapi janganlah terlalu kuat cemburu. Bila cemburu tidak bertempat akan membuatkan pasangan rasa terkongkong. Si lelaki jangan pula melayan kawan perempuan melebih-lebih pula, jaga batas pergaulan itu.

Walaupun cuma sekadar rakan sekerja. Untuk perempuan pula, janganlah anda terlalu berfikiran negatif sampai timbul rasa cemburu meluap-luap. Cemburu itu tandanya sayang,  tapi jangan sampai cemburu buta yang akan mengeruhkan hubungan. Kawal sifat cemburu ini dengan tenang!

3. Rasa Kurang Percaya

Cincin batu sudah disarungkan, tanda anda sudah menjadi tunangan orang! Kepercayaan adalah tunjang utama dalam sebuah perhubungan.

Sematkan rasa kepercayaan anda pada pasangan. Fikirkan bahawa si dia adalah pasangan yang setia mencintai anda! Buangkan rasa ragu-ragu dalam diri demi kebahagiaan anda bersama si dia yang tercinta.

2. Pasangan Kedekut & Berkira

Dapat pasangan kedekut dan berkira ini sangat tidak tenteram. Kalau keluar dengannya pasti akan berkira-kira nak beli makanan atau barang. Untuk anda yang kedekut dan berkira, buangkanlah sifat buruk ini jauh-jauh.

Sesekali belanja apa yang pasangan anda inginkan. Bila buah hati anda rasa bahagia, sudah tentu anda pun gembira! Kalau dapat pasangan jenis berkira ini, banyakkan bersabar.

1. Pasangan Tawar Hati & Berubah Fikiran

Hati manusia memang boleh berubah-ubah dalam sekelip mata sahaja. Bila diikat sebagai tunangan orang, ujian hati sering menyapa. Sampai kadang-kadang mata sudah mula nampak orang lain lebih baik dan lebih cantik atau tampan dari tunang kita sendiri! Hati-hati bila ada rasa macam ini dalam diri. Banyakkan bersabar kerana ini hanyalah pancaroba

sahaja! Kelak anda menyesal jika membuat keputusan putus tunang disebabkan sudah tawar hati!

Tips Mengekalkan Pertunangan Hingga Ke Jinjang Pelamin

Untuk kekalkan pertunangan ini sehingga ke jinjang pelamin, setiap pasangan perlu ada sifat sabar yang tinggi. Buangkan rasa ego pada diri, banyak luangkan masa dengan pasangan supaya lebih menghargai satu sama lain dengan baik.

Selain itu, banyak belajar untuk memahami pasangan anda seperti mana anda sendiri mahu difahami. Jangan terlalu pentingkan diri sampai membuatkan pasangan anda berasa tidak dihargai.

Seterusnya, anda perlu terima baik dan buruk pasangan anda. Ini kerana dia merupakan jodoh yang Tuhan telah tentukan untuk anda.

Setiap jodoh yang Tuhan hadirkan dalam hidup sesorang adalah yang terbaik, kerana ianya sebagai pelengkap diri kita sendiri. Setiap diri anda dan dia ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Jodoh yang Tuhan bagi adalah adil.

Baca: 16 Soalan Akad Nikah Yang Selalu Di Tanya Tok Kadi

Tunjukkan kasih dan sayang anda pada si dia yang tercinta! Walaupun mungkin anda tidak romantik dalam berkata-kata, tapi dengan perbuatan mengambil berat pada si dia sudah tentu membuatkan dirinya sentiasa disayangi dan dihargai oleh tunangnya sendiri.

Jangan lupa untuk sentiasa jujur dan setia padanya, kepercayaan itu adalah lambang kebahagiaan seseorang. Jadikan diri supaya sentiasa bersangka baik pada pasangan. Jika ada sesuatu masalah besar, jangan terlalu melulu membuat keputusan untuk putus.

Cara terbaik adalah berbincang, bersemuka dan buat keputusan dengan tenang. Banyak dekatkan diri dengan Tuhan. Bersungguh-sungguh doa padaNYA supaya DIA permudahkan segala urusan kerana Tuhan penentu jodoh kita. Moga tips ini membantu anda untuk proses ke jinjang pelamin kelak!

Tips Hadapi Putus Tunang

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hambaNYA. Jodoh pertemuan di tangan Allah. Memang berat rasanya jika dilanda ujian putus tunang. Bak kata pepatah melayu, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Bila diri dibelenggu masalah putus tunang ini, emosi dan tekanan perasaan akan menghantui jiwa.

Di sini dinyatakan beberapa tips untuk hadapi putus tunang. Pertama sekali, banyak dekatkan diri pada Allah, seperti berdoa, zikir, solat hajat, taubat dan merintih merayu pada Allah supaya diberikan kekuatan hati untuk redha bahawa dia bukan  jodoh kita lagi.

Andai kata perhubungan ini diteruskan, pasti membuatkan diri merana jika berkahwin dengannya kelak. Takut menjadi mangsa pukul oleh pasangan sendiri, lebih baik putus sahaja. Tapi, jika anda merasakan pasangan anda baik hati dan boleh bahagiakan anda selamanya, buatlah solat istikharah moga diberi petunjuk. Tuhan penentu segalanya. Andai dirinya memang jodoh terbaik buatmu, ianya akan hadir semula walaupun telah putus.

Selain itu, jangan banyak menyendiri atau termenung sendirian. Ini akan membuatkan anda rasa rindu dan teringat-ingat akan bekas tunang anda itu. Buang segala gambar kenangan manis bersamanya supaya tidak lagi terbayang-bayang wajahnya di mata.

Sibukkan diri dengan buat pelbagai aktiviti seperti keluar dengan kawan-kawan atau bercuti bersama keluarga. Ingatlah, walaupun anda kehilangan si dia, tidak bermakna hidup anda kosong. Anda masih ada sahabat dan keluarga yang amat menyayangi dan memerlukan anda dalam hidup mereka.

Jangan disebabkan ujian sebegini, anda terlalu sedih dan menyalahkan takdir. Kuatkan diri, kerana kita bukan sendirian, Tuhan ada sentiasa di sisi kita. Sentiasa baca ayat-ayat positif dan dengar ceramah agama untuk bangkitkan semangat anda kembali.

Yang terakhir, jangan serik untuk bercinta lagi. Berilah ruang hati dan perasaan supaya dilamun cinta lagi. Jangan takut untuk terima orang lain, mungkin yang akan datang adalah jodoh terbaik buatmu! Siapalah kita untuk menolak takdir Allah. Kita merancang tapi DIA sebaik-baik perancang. Buatlah solat istikharah selalu, supaya sentiasa diberi petunjuk.

Jangan dikenang kisah lama kerana ia menyakitkan. Pandanglah ke depan, jalan dengan yakin dan katakan pada diri sendiri, Ya! aku mahu kebahagiaan! Mahu ada keluarga sendiri seperti orang lain, dan aku akan move on dari kisah lama itu.

Anggaplah semua yang terjadi bersebab, dan ada hikmah disebaliknya. Semoga hati yang terluka akan terubat selepas ini. Ujian bertunang datang menyapa tanpa diduga, lumrah hidup di dunia, banyak pancaroba kena lalui. Sedangkan suami isteri pun boleh bercerai, ini kan pula hanya bertunang.

Kita tidak perlu takut untuk bertunang, bukan semuanya buruk belaka. Ada juga kebaikan bertunang ini. Kita akan bercinta dengannya, di situ kita akan mengenali perangai si dia, sifatnya, benda kesukaannya, kejujuran dan kesetiaan dia pada kita. Bertunang merupakan proses mengenali hati budi.

Bukan kenal hati dia sahaja, kita akan mengenali hati keluarganya juga. Kita akan dapat lihat sama ada kita mempunyai keserasian atau tidak untuk mendirikan rumah tangga bersamanya kelak.

Kebaikan Percepatkan Pernikahan

Andai sudah bertunang, percepatkanlah urusan perkahwinan kerana ia boleh menghindari diri dari terjerumus ke perbuatan zina. Dalam tempoh bertunang itu, buatlah persiapan dengan tenang.

Moga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada semua. Kepada bakal mendirikan rumah tangga dan masih lagi dalam tempoh pertunangan, anggaplah ini adalah ujian kecil sebelum anda melangkah ke ujian besar iaitu ujian rumah tangga.

Baca: 21 Hidden Hantaran Yang Menarik & Popular

Andai ujian kecil ini anda berjaya harungi, sudah tentu setiap ujian lain yang hadir pada masa hadapan dapat lalui dengan tenang. Saya mendoakan semoga urusan perkahwinan dipermudahkan dan mendapat berkat dari Tuhan. Selamat melayari bahtera cinta bersama si dia hingga ke syurga! Amin Ya Rabb.