Berbicara mengenai bab perkahwinan, sudah tentu di dalam fikiran kita terbayang tentang segala persiapan yang bakal dirancang. Gubahan hantaran untuk majlis tunang ataupun majlis kahwin mempunyai nilai yang sangat istimewa.
Bukan sahaja sebagai tanda penghargaan kepada pasangan tetapi juga memeriahkan majlis serta dapat mengeratkan lagi jalinan kekeluargaan. Hantaran coklat merupakan hadiah makanan yang istimewa dan sering dijadikan sebagai pilihan.

Terdapat pelbagai pilihan coklat di pasaran. Tidak kira homemade, readymade, mahal ataupun murah, semuanya bergantung pada bajet bakal pengantin.
Kami senaraikan 12 idea gubahan hantaran coklat yang boleh anda jadikan pilihan hantaran di majlis anda nanti.
Kandungan
12. Coklat Dalam Bakul

Gubahan coklat jenis ini tampak ringkas tetapi menarik. Anda boleh menggunakan bakul rotan atau bakul jenis lain untuk dihiasi sama ada dengan pilihan bunga segar ataupun bunga kertas dan plastik.
Bakul rotan juga boleh dihiasi dengan riben pelbagai warna dan adakalanya diletakkan juga patung beruang bagi menambahkan seri dan kecomelan gubahan hantaran tersebut.
11. Coklat Atas Dulang

Gubahan coklat jenis ini rata-ratanya menjadi pilihan kegemaran kepada pasangan pengantin untuk dijadikan sebagai hantaran. Ini kerana hantaran cukup sinonim dikaitkan dengan dulang.
Coklat akan disusun di atas dulang yang dibungkus dengan kain lace dan seterusnya dihiasi dengan riben dan hiasan bunga-bungaan segar atau kertas.
Rekaan gubahan jenis ini tampak eksklusif tambahan pula kebanyakan pengantin dalam menggubah hantaran, mereka pasti akan mengikut tema warna dan konsep yang sedondon.
10. Coklat Jambangan Bunga

Bagi pasangan bakal pengantin yang menggemari coklat berjenama Ferrero Rocher, gubahan jenis ini amat bersesuaian untuk dijadikan hantaran. Ini kerana, coklat ini mempunyai bentuk yang mudah untuk digubah bersama dengan jambangan bunga. Bungkusannya bulat berwarna emas menampakkan lagi gaya eksklusif pada hantaran.
Walaupun hantaran berbentuk jambangan bunga yang dihiasi dengan coklat seperti ini jarang sekali dijadikan pilihan sebagai hantaran kerana lebih popular dalam kalangan hadiah-hadiah ulang tahun perkahwinan, hadiah konvokesyen ataupun hadiah hari jadi buat pasangan. Tapi, apa salahnya kali ini kita jadi lain daripada yang lain pula kan?
9. Coklat Dalam Kotak

Gaya gubahan coklat di dalam kotak sangat popular pada masa kini. Gubahan coklat di dalam kotak yang dihiasi dengan lace dan bunga-bungaan akan menjadikan gubahan anda tampak kemas dan elegen.
Bentuk gubahan hantaran ini bukan sahaja mudah untuk dibawa ke majlis tunang atau kahwin nanti. Jadi pengantin tidak perlu risau kalau hantaran mereka rosak atau terjatuh semasa majlis berlangsung.
8. Coklat Berbentuk Kek

Bakal pengantin bolehlah memilih untuk menggubah coklat menjadi coklat kek.Bagi gubahan coklat jenis ini, kebiasannya jenis coklat yang dipilih adalah berbentuk bulat dan panjang supaya mudah dibentuk dan disusun untuk kelihatan seperti sebiji kek.
Apa yang lebih menarik, gubahan coklat jenis ini boleh dibentuk bukan sahaja menjadi sebiji kek yang biasa dilihat di pasaran tetapi boleh juga dibentuk menjadi kek yang bertingkat. Gubahan seperti ini akan memukau perhatian tetamu kerana sifatnya yang unik dan kreatif.
7. Coklat Berbentuk Buah-buahan

Sekiranya anda sebagai bakal pengantin ingin mencari kelainan, gubahan coklat berbentuk buah-buahan merupakan idea yang sungguh kreatif dan unik.
Selalunya, coklat yang berbentuk bulat akan dipilih supaya mudah untuk dibentuk menjadi buah-buahan tempatan ataupun buah buahan import. Pasti pihak bakal keluarga mertua akan terpesona dengan keunikan hantaran ini.
6. Coklat Berbentuk Hati

Gubahan coklat bentuk hati mempunyai nilai sentimental yang tersendiri. Untuk menggubah, anda memerlukan kotak berbentuk hati.
Coklat disusun di sekeliling kotak serta dihiasi dengan riben atau kain lace berona merah atau merah jambu. Gubahan coklat seperti ini menaikkan lagi tema romantis di dalam hantaran anda.
5. Coklat Sangkar Burung

Konsep gubahan menggunakan sangkar burung sesuai buat bakal pengantin yang memilih tema hantaran berkonsep romantis. Konsep gubahan ini sering dijadikan hiasan centerpiece tema kahwin gaya Inggeris.
Memilih gubahan ini sebagai tema hantaran, pasti memberikan kelainan disamping tampak unik apabila coklat daripada pelbagai bentuk dan warna digubah dengan kreatif di dalam sangkar burung tersebut.
Pilihan warna lembut seperti merah jambu, putih, kuning cair atau biru cair, sering menjadi pilihan. Selain cantik dan eksklusif , idea gubahan coklat seperti ini juga tampak kemas dan mudah untuk dibawa ke majlis.
4. Coklat Sarang Burung

Masih bertemakan konsep burung sebagai hantaran, anda boleh menggantikan sangkar dengan sarang burung.
Menarik bukan? Bagi menggubah hantaran jenis ini, coklat yang berbentuk bulat boleh dibalut menggunakan kertas berwarna dan dibentuk seakan-akan seperti telur burung, dan diletakkan di dalam sarang tersebut.
Manakala, untuk hiasan sarang burung, bunga-bungaan segar atau kertas serta daun digubah di sekelilingnya bagi menampakkan lagi elemen rustic. Anda boleh buat sarang burung DIY dengan menggunakan ranting-ranting kayu ataupun boleh beli yang readymade di mana-mana kedai barangan perkahwinan.
3. Coklat Berbentuk tiram

Selain daripada burung, elemen haiwan seperti tiram juga boleh dijadikan sebagai tema hantaran. Untuk menghasilkan coklat berbentuk tiram ini tidaklah rumit, malah dapat menjimatkan kos.
Lebih-lebih lagi sekiranya bakal pengantin mempunyai bekas rotan terpakai jenis terbuka yang bersaiz sederhana di dalam koleksi.
Bakul rotan ini boleh dihiasi dengan manik, kain lace, riben ataupun bunga-bungaan di sekelilingnya. Seterusnya, coklat dibungkus dengan rapi dan dimasukkan ke dalam bekas rotan tersebut menampakkan berbentuk seolah-olah seperti tiram. Pasti cantik dan menarik hantaran anda nanti.
2. Strawberi Bersalut Coklat

Idea gubahan strawberi bersalut coklat ini mula dipopularkan oleh gubahan hantaran perkahwinan Dato‘ Khalid Mohd Jiwa dengan penyanyi popular tanahair iaitu Datuk Siti Nurhaliza.
Gubahan coklat seperti ini cukup elegan dan ekslusif kerana menggabungkan dua elemen yang seksi dan lazat iaitu buah strawberi yang dibaluti dengan coklat dan dihiasi dengan pelbagai corak yang menarik mengikut tema yang diidamkan.
1. Gubahan Coklat Rare / Unik

Inginkan hantaran coklat anda nampak unik & kreatif ? Anda boleh mencuba untuk mengubah coklat seperti bentuk beg tangan, kasut, gitar, mesin jahit, gajet dan banyak lagi bergantung kepada bajet dan kreativiti anda. Apa yang penting, nilai hantaran bukan letaknya pada harga tetapi pada ingatan yang ikhlas.
Hantaran kahwin berunsurkan gubahan coklat ini bukanlah sahaja terhad kepada pilihan-pilihan yang kami kongsikan.
Antara tips yang berguna buat bakal pengantin di dalam pemilihan hantaran, seeloknya tentukan tema dan konsep yang ingin diketengahkan supaya hantaran daripada pihak lelaki dan perempuan mempunyai keserasian.
Selain itu, pastikan anda memilih barang hantaran mengikut keperluan melebihi kehendak dan memastikan diri dan pasangan untuk mengikuti bajet yang telah ditetapkan. Ini penting supaya duit yang sedia ada tidak dibazirkan pada hantaran semata-mata dan dapat digunakan untuk membiayai kos perkahwinan yang lain.
Diharapkan semoga artikel ini dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada bakal-bakal pengantin yang sedang sibuk membuat persiapan perkahwinan menjelang hari bahagia mereka. Semoga berjaya!