Majlis perkahwinan merupakan detik yang paling penting dalam kehidupan seseorang. Ia merupakan majlis penyatuan dua hati. Oleh kerana itu, segala persiapan perkahwinan dilakukan dengan sebaik mungkin supaya ianya akan menjadi ingatan buat mereka yang hadir.
Salah satu daripada persiapan yang menjadi tumpuan dalam majlis tersebut adalah gubahan hantaran. Gubahan hantaran diibaratkan sebagai hadiah kepada pasangan bagi menghargai ikatan yang bakal terjalin dan mengeratkan hubungan kekeluargaan sesama pihak.
Justeru, kerana pentingnya gubahan hantaran, ramai yang mula mencari idea untuk gubahan hantaran mereka supaya ianya kelihatan menarik. Namun tidak perlu risau kerana terdapat banyak pilihan yang boleh dipilih sama-ada hantaran tradisional ataupun hantaran moden.
Mereka juga boleh memilih hantaran yang unik ataupun istimewa mengikut tahap kemampuan masing-masing. Hantaran yang murah ataupun mahal, semua itu ditentukan oleh pihak masing-masing.
Ada hantaran yang boleh dibuat sendiri dan ada hantaran yang perlu dibeli ataupun ditempah. Berikut merupakan 35 senarai bagi gubahan hantaran yang dapat dijadikan rujukan kepada mereka yang masih lagi mencari gubahan hantaran yang sesuai.
Kandungan
35. Sirih Junjung

Sirih junjung selalunya digubah secara moden atau klasik. Pada kebiasaannya, cara moden lebih menjadi pilihan kerana penggunaan bunga dan daun sirih plastik dapat bertahan lebih lama berbanding daun sirih dan bunga segar yang digunakan untuk mengubah sirih junjung klasik.
Bunga dan daun sirih plastik juga mudah didapati di kedai barangan pengantin, Mr DIY ataupun Eco yang menawarkan harga yang murah. Gubahan sirih junjung untuk pihak lelaki juga perlu lebih tinggi berbanding gubahan untuk pihak perempuan kerana ia melambangkan peranannya sebagai ketua keluarga.
34. Gula-gula, Sumi & Lollipop

Gula-gula, sumi dan lollipop sering menjadi pilihan kerana ianya sangat mudah didapati. Lollipop dan sumi dimasukkan kedalam bekas samaada kaca, kotak atau plastik yang boleh didapati di kedai Eco atau kedai barangan pengantin. Kemudian dihiasi bersama gubahan lain seperti bunga dan daun plastik untuk menambahkan seri.
33. Jambangan Bunga

Bunga juga boleh digunakan sebagai hantaran, ia akan menjadi sesuatu yang menarik terutama kepada si penggemar bunga. Jenis bunga yang sering digunakan ialah bunga mawar, lili, kekwa, orkid dan sebagainya.
32. Baju Melayu & Baju Kurung

Pakaian tradisional sebagai hantaran merupakan suatu yang klasik dan mempunyai nilai sentimental buat pasangan lebih-lebih lagi untuk dipakai ketika majlis nikah. Warna yang dipilih mestilah mempunyai tema yang sama.
Sekiranya pihak lelaki memberikan baju kurung berwarna hijau, pihak perempuan juga mestilah memberikan warna yang sama. Gubahan untuk hantaran ini biasanya ringkas sahaja dan tidak sarat dengan hiasan lain.
31. Sejadah

Sejadah boleh digunakan sebagai hantaran oleh kedua-dua belah pihak samaada pihak lelaki atau perempuan. Penggunaan sejadah sebagai hantaran merupakan simbolik kepada kepentingan solat dalam kehidupan. Tidak kira lelaki ataupun perempuan semuanya wajib menunaikan solat.
Sejadah berbentuk kipas merupakan antara gubahan klasik yang sering menjadi pilihan kerana mudah, ringkas dan sesuai dihiaskan bersama hiasan yang lain. Tetapi terdapat juga pelbagai bentuk gubahan sejadah moden terkini yang boleh diikuti.
30. Kain Pelikat

Kain pelikat dijadikan hantaran daripada pihak perempuan kepada pihak lelaki. Sama seperti kain pasang, kain pelikat juga boleh digubah dalam pelbagai bentuk sebagai hantaran.
29. Minyak Wangi

Pelbagai jenama minyak wangi yang dikeluarkan samaada dari dalam dan luar negara. Oleh kerana itu, minyak wangi merupakan salah satu hantaran yang disukai ramai. Minyak wangi mempunyai bungkusan yang tersendiri.
Justeru, proses penggubahan menjadi lebih mudah. Ianya hanya perlu diletakkan diatas dulang hantaran dan dihiaskan bersama bunga-bungaan.
28. Kasut Lelaki & Perempuan

Kasut lelaki dan perempuan merupakan salah satu hantaran yang eksklusif. Cara gubahan yang selalu digunakan untuk hantaran ini biasanya dengan meletakkan kasut di atas kotak atau mengikut kreativiti dan citarasa masing-masing.
27. Telekung

Ini merupakan pilihan hantaran pihak lelaki kepada pihak perempuan. Terdapat pelbagai bentuk gubahan terkini yang popular boleh diikuti.
26. Set Penjagaan Kulit (Skin Care)

Hantaran ini boleh diberikan kepada kedua-dua belah pihak kerana penjagaan diri amat penting bagi setiap individu. Ini merupakan trend terkini. Rekaan yang selalu digunakan bagi hantaran ini adalah jenis simple ataupun mewah.
25. Jam Tangan

Jam tangan pasangan (couple watch) juga menjadi pilihan. Terdapat pelbagai rekaan menarik dan warna yang boleh didapati.
24. Tali Pinggang

Hantaran aksesori yang digemari pihak lelaki. Terdapat pelbagai jenama dan kualiti serta rekaan yang menarik boleh dijadikan sebagai pilihan.
23. Cermin Mata

Kedua- dua belah pihak boleh menggunakan hantaran ini dengan pelbagai jenis rekaan samaada simple, bunga, mewah dan berjenama.
22. Dompet

Gubahan ini selalu diguna pakai kerana ianya nampak eksklusif. Oleh kerana saiznya yang kecil, ia boleh dihiaskan bersama bunga yang lebih banyak berbanding hantaran yang lain.
21. Agar-Agar

Agar-agar boleh ditempah atau dibuat sendiri. Agar- agar ini merupakan hantaran yang klasik. Agar-agar diletakkan dalan bekas berwarna jernih supaya boleh menampakkan rekaan bentuknya.
20. Kuih Moden

Kuih moden juga boleh dijadikan hantaran. Contoh kuih moden yang boleh digunakan adalah macaron, tart, biskut dan brownies.
19. Kuih Tradisional

Kuih tradisional juga tidak ketinggalan, antara yang menjadi pilihan adalah bahulu, dodol, seri muka dan talam.
18. Coklat

Coklat merupakan hantaran yang paling popular. Ia biasa diletakkan didalam kotak ataupun didalam bakul atau digubah mengikut rekaan english atau moden.
Coklat yang selalu digunakan sebagai hantaran adalah fererro rocher. Jika inginkan kelainan, strawberry coklat juga boleh dijadikan pilihan.
17. Kek

Kek juga merupakan hantaran wajib. Antara kek yang sering kali menjadi pilihan adalah kek buah, krim berhias, fondant dan kek cawan.
16. Buah-Buahan

Buah-buahan juga merupakan hantaran yang sering digunakan semenjak zaman dahulu lagi dan masih digunakan sehingga kini. Antara buah-buahan yang sesuai dijadikan hantaran adalah epal, tembikai, anggur, oren dan sebagainya.
15. Duit Mas Kahwin/Wang Hantaran

Untuk trend moden, duit diletakkan didalam album. Manakala untuk trend terkini, ramai yang menggunakan plak ataupun cek sebagai pengganti duit tersebut. Terdapat juga gubahan wang berbentuk bunga dan sebagainya.
14. Pulut Kuning Berhias

Ini juga merupakan hantaran klasik dan menjadi pilihan masa kini untuk menggantikan kek. Pulut kuning berhias boleh dibuat dalam pelbagai bentuk dan dihias dengan cili, telur dan sayur-sayuran menaikkan seri gubahan.
13. Tuala

Tuala yang digunakan boleh disulam dengan nama pasangan pengantin dan tarikh pernikahan mereka. Terdapat pilihan untuk menempah sulaman tuala atau mengubah tuala tanpa sulaman mengikut bentuk yang dikehendaki.
12. Tepak Sirih

Tepak sirih menjadi pelengkap adat perkahwinan melayu dan sering digubah sekali bersama dengan sirih junjung.
Bekas tepak sirih berwarna gangsa atau emas menaikan lagi seri hiasan sirih junjung.
11. Aksesori Tudung

Aksesori tudung untuk pengantin perempuan seperti kerongsang, pin tudung bercorak, anak tudung dan lain-lain lagi. Pengantin perempuan pasti gembira dapat menambah koleksi sedia ada.
10. Set Mandian

Set mandian biasanya diberikan kepada pihak perempuan. Namun ia juga boleh diberikan kepada pihak lelaki. Gubahan yang simple diperlukan untuk hantaran ini kerana ianya sudah dibungkus rapi.
9. Tudung / Selendang

Hantaran yang sering menjadi pilihan kepada pihak perempuan kerana terdapat pelbagai jenis dan jenama tudung ataupun selendang yang boleh didapati.
8. Set Wangian

Banyak wangian yang dijual dalam bentuk set yang mana ianya lebih memudahkan untuk digubah sekali gus dijadikan barang hantaran.
7. Kain Pasang

Bagi menggantikan baju kurung, ramai yang memilih kain pasang untuk dijadikan hantaran.
6. Produk Kesihatan

Produk kesihatan seperti vitamin dan suplemen tambahan untuk kecantikan kulit dan kesihatan yang dijadikan sebagai hantaran pasti memberikan kelainan.
5. Set Barang Kemas

Set barang kemas seperti cincin, gelang dan rantai sering kali digunakan sebagai hantaran kerana ianya boleh digunakan semasa acara membatalkan wuduk selepas akad nikah.
4. Beg Tangan

Merupakan hantaran yang digemari dan mewah. Saiz beg yang digunakan haruslah bersesuaian dengan dulang hantaran.
3. Barangan Make-Up

Ini juga merupakan barang hantaran yang amat disukai oleh pihak perempuan. Banyak barangan make up kini mudah dijumpai dalam bentuk set.
2. Potpourri

Potpourri merupakan alternatif bagi menggantikan bunga rampai. Penyediaan bunga rampai agak rumit. Daun pandan dan bunga-bunga segar perlu dipotong halus serta digaulkan bersama minyak wangi kegemaran.
1. Gadget

Antara gadget yang selalu digunakan sebagai hantaran pada masa kini adalah telefon bimbit, komputer riba, tablet, game dan lain-lain.
Berdasarkan adat masyarakat Melayu, jumlah hantaran yang diberikan kepada kedua-dua belah pihak adalah tidak sama. Hantaran yang diberikan kepada pihak lelaki biasanya melebihi dua dulang daripada hantaran yang diberikan kepada pihak perempuan. Sekiranya pihak lelaki memberikan lima hantaran, pihak perempuan pula memberikan tujuh hantaran.
Tema warna yang digunakan untuk gubahan hantaran pula mestilah bersesuaian dengan warna tema yang menjadi pilihan untuk hari perkahwinan kerana tema warna yang dipilih akan menjadikan sesebuah majlis itu kelihatan indah dan meriah.
Hiasan bunga yang digunakan untuk mengubah hantaran mestilah dalam lingkungan dua ataupun tiga warna sahaja. Jika terlalu banyak warna yang digunakan sebagai hiasan, ianya akan kelihatan tidak kemas dan kurang menarik.
Sebelum memilih apa-apa barang hantaran, tentukan bajet terlebih dahulu kerana mungkin kita akan terlebih berbelanja. Apabila ianya terjadi, ia akan mengganggu proses perbelanjaan yang lain. Jadi letakkan had bajet bagi setiap barang yang ingin dibeli. Pemilihan saiz dan berat juga memainkan peranan penting dalam memilih hantaran.
Elakkan menggunakan hantaran yang besar ataupun berat untuk diletakkan di atas dulang hantaran. Bagi mereka yang sukakan hantaran tradisional, sirih junjung dan pulut kuning berhias menjadi pilihan utama kerana ia melambangkan tradisi masyarakat Melayu. Namun ianya terpulang kepada individu masing-masing sama-ada ingin mengekalkan tradisi atau membuat pembaharuan dengan gaya yang mengikut trend terkini.
Hantaran boleh digubah mengikut citarasa masing-masing samaada ditempah ataupun dibuat sendiri. Bagi menjimatkan perbelanjaan, ramai yang menggubahnya sendiri. Pelbagai jenis gubahan hantaran yang boleh digunakan samada dari gaya klasik, moden, terkini, simple, mewah ataupun eksklusif.
Setiap pasangan mestilah menginginkan yang terbaik untuk dijadikan sebagai hantaran kepada dirinya dan pasangan. Pemilihan hantaran amat dititikberatkan bagi setiap orang yang akan melangsungkan perkahwinan.
Baca: 35 Hantaran Kahwin Yang Best Untuk Majlis Nikah Luarbiasa
Diharap cadangan 35 senarai gubahan hantaran ini boleh menjadi rujukan kepada mereka yang masih lagi mencari idea tentang apa yang boleh digunakan sebagai hantaran. Namun cadangan ini hanyalah sebahagian daripada hantaran yang boleh dijadikan pilihan. Apa yang penting, hadiah itu mestilah datang dari hati dan mengikut kemampuan masing-masing.