Bila sebut bab kahwin sahaja ia menggambarkan kebahagiaan abadi buat bakal mempelai. Sudah pasti mereka berasa seronok dan teruja dalam membuat persiapan perkahwinan. Salah satu elemen yang penting perlu difikirkan ialah soal hantaran. Namun, bagi bakal mempelai pasti mereka tertanya-tanya apakah yang patut diberikan sebagai hadiah bagi mengikat cinta suci mereka.

Manakan tidak, pasangan dua sejoli ini mahu mengabadikan kenangan terindah buat fasa baru kehidupan mereka. Soalan seperti ‘perlu memberi barangan mahal atau murah? kek atau coklat? baju atau telekung? juga kerap difikirkan.

Jadi, kali ini kami akan kongsikan 35 idea hantaran kahwin yang boleh membantu pengantin lelaki dan perempuan memilih barangan sesuai buat pasangan anda.

Kandungan

Hantaran Kahwin Lelaki

35. Hantaran Baju Melayu

Hantaran Baju Melayu
Sumber: Anamieycreations

Baju Melayu sangat sesuai untuk pengantin lelaki. Kedua-dua jenis baju Melayu iaitu teluk belanga atau cekak musang jika dijadikan hantaran akan menjadi pelengkap set hantaran. Boleh dilipat berbentuk bunga mahupun diletakkan dalam kotak hiasan.

Sekiranya digabungkan bersama sampin, pasti menambahkan lagi seri pada hantaran tersebut. Ia pasti sangat berguna selepas kahwin kerana boleh dibawa ke masjid, kenduri mahupun ke pejabat.

34. Hantaran Jam Tangan

Hantaran Jam Tangan
Sumber: Flair Design

Pengantin lelaki pasti seronok bila dapat jam tangan. Kaum Adam selalunya berpenampilan serba ringkas. Jadi, jam tangan sangat sesuai dijadikan hantaran lebih-lebih lagi set couple. Banyak jenama jam di pasaran yang menyediakan couple set yang disertakan dengan kotak yang tampak eksklusif. Sekiranya diletakkan atas dulang yang sudah dihias, pasti ia menjadi pelengkap dalam set hantaran.

33. Hantaran Kasut

Hantaran Kasut
Sumber: Pinterest

Bagi pilihan kasut pula, anda perlu berbincang dengan pasangan anda pilihan kasut yang disukai. Contoh kasut yang biasa dijadikan hantaran ialah kasut sukan, sneakers atau kasut kulit bewarna hitam atau coklat. Ia sangat mudah untuk digubah samada diletak di dalam kotak atau dihiaskan dengan reben juga sudah memadai.

32. Hantaran Set Minyak Wangi

Hantaran Set Minyak Wangi
Sumber: Pinterest

Set minyak wangi adalah antara hantaran yang popular kerana ia merupakan antara yang paling mudah digubah.

Keunikannya berada pada setiap bentuk botol perfume itu sendiri. Tanpa mengira jenama apa yang disukai, kebanyakan set minyak wangi di pasaran sudah sedia dibalut dan dipadankan dengan reben. Jadi, anda hanya perlu touch up sedikit sahaja pada dulang hantaran anda.

31. Hantaran Wallet

Hantaran Wallet
Sumber: Fazliza

Wallet atau purse juga sesuai dijadikan hantaran untuk pengantin lelaki. Ada yang berbentuk segi empat sama dan segi empat tepat. Terpulang pada citarasa pasangan anda, ia bakal menjadi kenangan yang sukar dipadam hingga bila-bila.

30. Hantaran Cincin

Hantaran Cincin lelaki
Sumber: Pinterest

Cincin perak yang berbatu delima, zamrud dan sephire adalah yang paling sesuai di pakai oleh pengantin lelaki. Itulah yang akan menjadi kenangan abadi. Saiznya kecil tetapi sangat beharga nilainya. Biasanya, cincin menjadi penanda aras samada anda bujang atau sudah di cop sebagai suami orang.

Untuk lebih kreatif lagi, cincin boleh digubah bersama gambar pengantin beserta bunga-bungaan yang mekar di atas dulang hantaran. Impaknya sangat lain dari yang lain!

29. Hantaran Kemeja/ Seluar

Hantaran Kemeja
Sumber: Pinterest

Yang ini sangat penting terutamanya jika pengantin lelaki bekerja di office. Pasti pasangan anda akan menyukai hantaran ini kerana boleh menambah koleksi wardrobe nya. Untuk mengubahnya juga tidak leceh kerana hanya perlu lipat kemas dan diserikan dengan bunga atau  reben kesukaan anda.

Hantaran Kahwin Perempuan

28. Hantaran Barang Kemas

Hantaran Emas Barang Kemas

Dengan nilainya yang mahal, kilauannya yang memukau, designnya yang tersendiri ianya dengan yakin akan membuatkan pengantin perempuan rasa gembira! Untuk orang perempuan, baik cincin, gelang mahupun rantai semua mereka suka.

Jika dapat serba berdiri lagi mereka akan rasa teruja! Jadi, pengantin lelaki hanya perlu sediakan modal untuk menghias bakal isteri kesayangan anda!

27. Hantaran Duit /Mas Kahwin

Hantaran Duit
Sumber: Merryland Floral

Hantaran duit atau mas kahwin ini sangat menarik jika dijadikan hantaran. Bagi yang mahir origami, duit boleh digubah menjadi bunga atau baju yang menampakkan kelainan pada set hantaran pengantin ini.

Bagi hantaran yang bertema simple, duit boleh diletakkan didalam frame. Ianya sangat unik dan boleh dijadikan hiasan di rumah anda selepas berkahwin!

26. Hantaran Cheque

Hantaran Cheque
Sumber: Hantaran by Hani -Shah Alam

Selain duit, cheque juga biasanya dijadikan hantaran. Ia boleh diletak di dalam frame kayu, acrylic atau kaca. Ia boleh diabadikan hingga hujung nyawa ya! Jadi, sesuai sangatlah diberikan kepada pengantin perempuan lebih-lebih lagi yang bersifat sentimental yang suka menyimpan barang.

25. Hantaran Handbag

Hantaran Handbag
Sumber: Faixalcreationz

Tidak dapat dinafikan orang perempuan dan handbag ibarat isi dengan kuku. Tidak lengkap set hantaran tanpa handbag. Sebabnya, sudah pasti tidak rugi diberikan kerana sifat wanita suka bergaya. Mereka pasti teruja dapat bertukar-tukar pakai handbag sedia ada dan handbag baru!

24. Hantaran Kain Pasang

Hantaran Kain Pasang
Sumber: Pinterest

Pengantin perempuan mesti suka jika dapat kain pasang. Mereka boleh design sendiri baju yang diberikan samada nak buat baju kurung, kebaya atau kurung Kedah.

Terpulang pada anda samada mahu hadiahkan kain pasang bercorak atau plain. Kedua-duanya cantik dijadikan hantaran terutamanya selepas digubah.

23. Hantaran Kasut

Hantaran Kasut Pengantin Perempuan
Sumber: Al Fateh Catering & Event

Untuk kasut pula, sebelum anda fikir untuk meletakkannya dalam hantaran anda, kenal pasti dahulu saiz dan warna kesukaannya. Ia tidak rumit untuk digubah, hanya letak atas dulang hantaran ianya sudah cukup cantik dan menarik.

22. Hantaran Make up

Hantaran Makeup
Sumber: Ola Ola

“Bestnya dapat make up!!!” Ini perasaan pengantin perempuan jika make up dijadikan salah satu tepak hantarannya.

Manakan tidak, mereka boleh hiasi wajah mereka dengan set make up yang baru. Tambahan pula, kebanyakan set make up sudah didatangkan dengan kotak yang sudah dibalut dengan eksklusif. Jadi, ia hanya perlu diletakkan pada dulang hantaran dan ready-to-go.

21. Hantaran Perfume

Hantaran Perfume
Sumber: Dylla Fadzil

Set wangi-wangian atau perfume merupakan ‘benda wajib ada’ dalam set hantaran.  Kaum Hawa pastinya sukakannya! Baunya harum dan botolnya yang cantik pasti menyerikan lagi hantaran anda.

20. Hantaran Sirih Junjung/ Tepak Sirih

Hantaran Sirih Junjung Tepak Sirih
Sumber: Flair Design

Sirih junjung atau tepak sirih ini merupakan adat dalam masyarakat Melayu. Ia biasanya diletakkan di hadapan atau merupakan ‘kepala’ hantaran. Pelbagai variasi gubahan boleh dilakukan mengikut kreativiti masing-masing. Biasanya, kuntuman bunga-bunga menjadi penyeri bagi hantaran sirih ini.

Hantaran Makanan

Macam-macam makanan boleh dijadikan hantaran. Contohnya tart buah-buahan, macaroon atau cookies. Untuk hasil yang menarik, hantaran ini digabungkan dengan warna dan kotak yang menarik supaya makanan tadi tampil lain dari yang lain apabila sudah jadi hantaran.

19. Hantaran Makanan Sunnah

Hantaran Makanan Sunnah
Sumber: Pinterest

Bila sebut makanan sunnah, sudah terbayang 1001 khasiatnya. Jadi, amat bersesuaianlah untuk pengantin baru. Antaranya boleh diberikan madu lebah, kurma ajwa, buah tin dan minyak zaitun. Bukan sahaja menarik, malah pasti memberikan keunikan dalam set hantaran dan memberikan impak ‘Rare’ dalam set hantaran anda.

18. Hantaran Coklat

Hantaran Coklat
Sumber: Shahrol Rahim

Makanan menaikkan mood gembira ini sangat popular sebagai hantaran. Homemade atau readymade kedua-duanya bersesuaian dijadikan pemanis mulut. Warna biru, hijau, kuning atau corak bunga dan love boleh dipadankan bersama tulisan ‘Selamat Pengantin Baru’ dan disuaikan pula dengan hiasan bunga akan menjadikan hantaran sesuatu yang luar biasa!

17. Hantaran Kek

Hantaran Kek
Sumber: Hello Butterbaker

Sinonim dengan majlis keraian, kek menjadi pilihan utama dalam hantaran pengantin. Dengan warnanya yang menarik dan rasa yang lazat kek akan menjadi pelengkap set hantaran. Kek lapis, cheese, red velvet dan coklat antara yang menjadi pilihan utama.

16. Hantaran Ferrero Rocher

Hantaran Ferrero Rocher
Sumber: Lylia Fahmi

Tidak asing lagi coklat ‘Ferrero Rocher’ dikaitankan dengan perkahwinan. Bentuknya bulat dan rasa hazelnut yang dibaluti coklat lazat digemari ramai. Hampir wajib diberikan untuk hantaran.

Bungkusannya bulat bewarna emas boleh dipelbagaikan ketika menggubahnya. Gubahan berbentuk bunga, buah anggur atau hanya menggunakan kotaknya sedia ada sahaja sudah menjadikannya menarik!

15. Hantaran Buah-buahan

Hantaran Buah-Buahan
Sumber: Pinterest

Selalunya, buah-buahan seperti anggur, oren dan apple dijadikan hantaran seperti hamper atau dihias di dalam bakul.

Untuk mendapatkan warna buah yang cantik, tipsnya anda perlu lapkan kulit buah menggunakan sedikit minyak. Namun, trend terkini ada juga yang memilih buah-buahan tempatan seperti jambu batu, pisang mahupun buah naga sebagai hantaran yang sangat unik!

14. Hantaran Pulut Kuning

Hantaran Pulut Kuning
Sumber: Citarasawan

Dengan warna kuning keemasannya, pulut kuning sesuai dipilih sebagai salah satu hantaran istimewa. Ada yang menghiasnya bersama telur rebus mahupun sayur-sayuran. Tidak terkecuali juga menjadikkannya berbentuk hati, bunga dan patung.

13. Hantaran Sumi/ Gula-gula

Hantaran Gula-gula
Sumber: Ilhamkusayang Bridal

Sekiranya bajet anda rendah, ini pilihan yang baik dijadikan hantaran. Walaupun harganya murah, ia tetap ada tarikannya tersendiri kerana warnanya yang terang. Macam-macam gubahan boleh dilakukan dengan sumi dan gula-gula.

Hantaran Islamik

12. Hantaran Quran

Hantaran Al-Quran
Sumber: Azhafizah

Quran sama ada beserta terjemahan atau tidak merupakan hantaran yang eksklusif buat pasangan pengantin. Kedua-dua pihak patut menjadikannya hantaran kerana ia akan menjadi antra memori yang menggamit perasaan.

11. Hantaran Sejadah

Hantaran Sejadah
Sumber: Nur Amirah Binti Zakaria

Tikar solat atau sejadah sangat berguna dijadikan hantaran. Ia merupakan salah satu jenis hantaran yang tak lapuk dek hujang tak lekang dek panas. Ia kekal menjadi memori. Hanya perlu dilipat dan dipadankan dengan reben ia sudah tampak istimewa.

Hantaran Simple

10. Hantaran Pallet

Hantaran Pallet
Sumber: Sewa Dulang Hantaran Selangor/KL

Dulang kayu pallet cantik dijadikan sebagai hantaran kerana buatannya kemas. Tidak perlu banyak aksesori di dulang, hanya perlu sedikit sentuhan bunga, rumput tiruan atau reben sudah menaikkan seri pada set hantaran.

9. Hantaran Dalam Kotak

Menjadi viral dan trending terkini hantaran diletakkan di dalam kotak dan dibalut kemas menggunakan kain batik, satin atau velvet. Isi hantaran kekal rahsia. ‘Hidden hantaran’ ini hanya diketahui oleh pengantin sahaja apa yang ada di dalamnya.

8. Hantaran Tuala

Hantaran Tuala
Sumber: Pinterest

Seringkali tuala dijadikan hantaran kerana ia antara barang asas untuk pengantin. Selain dari kegunaannya, ia juga mudah digubah dan merupakan hantaran yang menarik.

7. Hantaran Gadjet/ Alat Elektronik

Hantaran Gadjet
Sumber: Gubahan Murah

Bagi pasangan kaki gadjet, ia semestinya berbaloi dijadikan hantaran. Hantaran seperti telefon pintar, camera dan PlayStation antara yang mahal nilainya. Sekiranya mempunyai bajet lebih, ia sangat sesuai dipilih menjadi hantaran untuk pasangan kerana pasti mereka akan teruja.

6. Hantaran Set Cawan Couple

Hantaran Set Cawan Couple
Sumber: BespokeWeddingGiftCo

Ia jarang-jarang dilihat dalam hantaran pengantin. Namun, ia sangat istimewa jika dijadikan hantaran kerana ia merupakan hantaran yang ditempah khas. Sangat comel untuk lengkapkan dapur pengantin baru!

5. Hantaran Set Mandian

Hantaran Set Mandian
Sumber: Pinterest

Barang peribadi ini selalu menjadi pilihan pengantin sebagai hantaran. Ia kecil dan mudah dijadikan hadiah buat pasangan. Design dan warna botolnya sangat menarik sudah cukup digandingkan dengan reben atau sedikit aksesori pada dulang hantaran.

4. Hantaran Cookware

Selepas kahwin, si isteri perlu menjaga perut suami! Jadi, pihak lelaki sesuai memberikan cookware yang terkini seperti barangan non-stick atau granite. Mesti isteri anda akan rajin turun dapur kerana menyerikan kerja mereka dengan barangan baru dan berkualiti.

3. Hantaran Bunga Rampai

Hantaran-Bunga-Rampai
Sumber: SitiZ

Kekal menjaga tradisi, bunga rampai sering dijadikan hantaran dan diletakkan dalam bekas yang unik. Baunya harum menambahkan lagi mood dalam bilik pengantin! Ia merupakan haruman semulajadi yang melengkapi set hantaran. Istimewanya, ia turut menjimatkan kos.

Hantaran Unik

2. Hantaran Kucing

Hantaran Kucing
Sumber: FOB

Berita baik buat si pencinta kucing! Pasangan anda betul-betul menyokong minat anda. Ia sesuatu yang sangat unik dijadikan hantaran kerana si comel ini akan membuat kejutan buat semua saksi yang hadir dalam majlis perkahwinan! Namun, risiko juga perlu difikirkan. Ia idea yang sesuai diguna pakai sekiranya rumah pengantin lelaki dan perempuan berhampiran.

1. Hantaran Tiket Honeymoon

Untuk tampil lain dari yang lain, pengantin boleh menyertakan tiket honeymoon sebagai kejutan dalam set hantaran yang diberikan. Bukan sahaja menambah keistimewaannya, ia juga menjadi buah mulut para tamu yang melihat. Sudah pasti si pengantin perempuan akan tersipu-sipu gembira!

Perkahwinan yang dibina atas dasar cinta akan menyulam kasih yang abadi hingga akhir hayat. Semua orang berhak gembira dengan pilihan hati masing-masing. Justeru, perkongsian pada kali ini diharapnya membantu dalam memberikan idea pilihan hantaran terbaik buat cinta hati anda.


Tanpa perlu pening memikirkan lagi apa yang sesuai sebagai hantaran, anda sudah boleh memilih tujuh atau sembilan barangan terbaik daripada 36 pilihan yang telah disenaraikan.

Yang paling penting sekali, segalanya perlu mengikut citarasa dan bajet yang bersesuaian agar tidak menjadi beban kedua-dua belah pihak. Kami berharap majlis perkahwinan anda menjadi memori yang sentiasa berlayar indah. Selamat bershopping dan Selamat Pengantin Baru!