Majlis pertunangan semakin hampir? Banyak persediaan yang harus disediakan agar majlis berjalan dengan lancar. Salah satu daripadanya termasuklah hantaran tunang.

Hantaran tunang merupakan pertukaran barang sebagai hadiah di antara pihak keluarga lelaki dan perempuan, setelah kedua-dua belah pihak bersetuju meneruskan perhubungan anak untuk ke jinjang pelamin pada masa akan datang.

Sudah menjadi adat masyarakat Melayu, hantaran buat pihak lelaki dan perempuan merupakan aspek yang amat penting dalam dunia pertunangan. Oleh itu, sudahkan anda memilih barangan yang sesuai untuk dijadikan sebagai hantaran?

Usah risau, di sini, kami senaraikan 26 hantaran yang sesuai untuk majlis pertunangan buat pihak lelaki dan juga perempuan.

Hantaran Tunang Lelaki

26. Sirih Junjung

Hantaran Tunang Sirih Junjung
Sumber: Carelco

Sirih junjung ibarat lambang adat Melayu dalam sesebuah majlis dan ini termasuklah majlis pertunangan dan majlis perkahwinan untuk dijadikan penyeri dan juga hantaran.

Terdapat pelbagai gubahan yang boleh direka bentuk mengikut citarasa dan tema sesuatu majlis. Bunga-bungaan segar serta daun sirih Melayu ini boleh dinaikkan serinya dengan menambah air bunga rampai mahupun air mawar.

25. Set Baju Melayu

Hantaran Baju Melayu
Sumber: Hantaran_Fantasia

Baju Melayu merupakan pakaian tradisional Melayu yang kekal relevan sehingga kini. Pakaian tradisional ini sering kali dipakai pada musim perayaaan dan juga untuk menunaikan solat di masjid.

Pemakaian Baju Melayu boleh disertakan dengan samping dan songkok sebagai hantaran buat pasangan.

24. Sejadah

Hantaran Tunang Sejadah
Sumber: Rossecreation

Selain telekung, sejadah juga selalu dijadikan sebagai hantaran tunang. Bukan sahaja sebagai alas untuk mendirikan solat, bahkan juga sebagai hadiah buat pasangan untuk majlis pertunangan.

Anda boleh melihat banyak perkongsian tentang cara lipatan sejadah yang kreatif dan unik untuk dijadikan sebagai hantaran melalui YouTube.

23. Kain Pelikat

Hantaran Tunang Kain Pelikat
Sumber: Riani Amin

Kain pelikat digunakan sebagai kain sarung khususnya buat kaum lelaki. Kain yang ditenun dengan corak berpetak-petak ini boleh digunakan sebagai pakaian harian di rumah mahupun untuk menunaikan solat di masjid.

Sebagai hantaran, anda boleh menghias kain pelikat ini bersama bunga-bungaan supaya kelihatan menarik ketika majlis pertunangan.

22. Minyak Wangi

Hantaran Minyak Wangi Lelaki
Sumber: Pinterest

Selain daripada kain pelikat, minyak wangi juga sering digunakan sebagai hantaran untuk pihak lelaki. Anda boleh mendapatkan minyak wangi lelaki yang berjenama seperti BOSS, Dunhill, Calvin Klein dan lain-lain lagi di kedai mahupun secara online.

21. Kasut

Hantaran Tunang Kasut Lelaki
Sumber: Nur Zahirah

Terdapat pelbagai jenis kasut yang boleh dihadiahkan kepada lelaki. Antaranya termasuklah kasut Monk Strap, Oxford, Derby, Chukkas, Loafers dan sebagainya.

Daripada kesemua jenis kasut ini, pilihan yang paling menarik dan sesuai untuk dijadikan hantaran tunang adalah kasut Oxford.

Kasut jenis ini biasanya diperbuat daripada kulit dan harganya juga agak mahal. Jangan risau, tidak salah untuk anda menghadiahkan kasut jenis yang berbeza kepada pasangan.

20. Set Penjagaan Kulit (Skincare)

Hantaran Set Penjagaan Kulit
Sumber: The Hackster

Terdapat beberapa keluaran produk yang dihasilkan khas untuk lelaki seperti Nivea Men, Badlab dan sebagainya.

Walaupun tidak semua lelaki mengambil berat tentang penjagaan wajah, namun tidak menjadi halangan untuk anda menjadikan produk-produk khas buat lelaki ini sebagai hantaran.

19. Jam Tangan

Hantaran Tunang Jam Tangan Lelaki
Sumber: deannacreations

Lelaki dan jam tangan tidak boleh dipisahkan. Bentuk dan harganya yang pelbagai boleh melambangkan personaliti seseorang lelaki.

Jam tangan bukan sekadar digunakan untuk melihat waktu, bahkan untuk kelihatan lebih bergaya. Dalam hal pemilihan jam yang terbaik, anda boleh memilih jenama jam berdasarkan bajet yang ditetapkan.

18. Tali Pinggang

Hantaran Tunang Tali Pinggang Lelaki
Sumber: sewahantaran_eh

Bukan sekadar aksesori biasa, tali pinggang juga digunakan sebagai pengetat lilitan seluar dengan lebih kemas.

Terdapat dua jenis tali pinggang yang boleh dipilih untuk dijadikan hantaran iaitu sama ada tali pinggang formal atau tali pinggang kasual.

17. Cermin Mata

Hantaran Tunang Cermin Mata
Sumber: WeddingLegacy

Cermin mata digunakan bukan sahaja untuk kelihatan lebih bergaya, tetapi juga bagi memudahkan mereka yang memiliki masalah mata seperti rabun dan silau.

Jika anda mahu menjadikannya sebagai hantaran, cermin mata hitam adalah pilihan yang paling sesuai. Sebelum membelinya, anda perlulah mengambil kira masalah rabun atau silau mata pasangan agar si dia selesa untuk memakainya.

16. Dompet

Hantaran Tunang Dompet
Sumber: sewahantaran_eh

Bukan itu sahaja, dompet juga amat bermakna buat kaum lelaki. Terdapat pelbagai gaya dompet yang boleh dipilih.

Sekiranya anda mahu menjadikan dompet sebagai hantaran, bolehlah memilih dompet yang berjenama seperti Herschel, Coach, Braun Buffel dan sebagainya.


Hantaran Tunang Perempuan

15. Tepak Sirih

Hantaran Tepak Sirih
Sumber: Carelco

Tepak sirih ialah bahan perhiasan tradisional yang biasanya digunakan ketika majlis rasmi dijalankan. Bagi masyarakat Melayu, daun sirih kebiasaannya diletakkan dengan kemas di dalam tepak sirih.

Satu tepak sirih selalunya disisipkan dengan empat atau lima daun sirih. Jika mahu membuat tepak sirih sebagai hantaran, anda hendaklah menghiasnya dengan kemas dan menarik.

14. Baju Kurung/ Kebaya/ Jubah

Hantaran Baju Kurung Moden
Sumber: Party Planner

Dalam dunia fesyen, kaum wanita mempunyai pemakaian yang pelbagai. Di Malaysia, pakaian tradisional untuk wanita termasuklah baju kurung dan juga baju kebaya.

Baju kurung tradisional di negara ini memiliki pelbagai rekaan tersendiri mengikut negeri. Sebagai contoh, baju kurung Pahang, baju kurung Kedah dan sebagainya. Di samping itu, fesyen lain yang sering digayakan wanita juga adalah seperti jubah.

Anda boleh menghadiahkan pasangan anda pakaian yang anggun sebagai hantaran pertunangan kelak.

13. Set Barang Kemas

Hantaran Tunang Barang Kemas
Sumber: thehantaran.nj

Selain pakaian, set barang kemas seperti gelang, rantai dan cincin  juga boleh dijadikan sebagai hantaran. Aksesori seperti ini amat disukai wanita kerana dapat membantu menaikkan seri mereka.

12. Set Mandian

Hantaran-Set Mandian Sabun Body Wash
Sumber: WeddingLegacy

Jika anda mahu menjadikan set mandian sebagai hantaran, anda telah membuat sebuah pilihan yang baik.

Para wanita amat menitik beratkan kebersihan, kecantikan dan wangi-wangian. Set mandian seperti syampu dan sabun badan yang wangi dan berkualiti amatlah bermakna buat mereka.

11. Kasut

Hantaran Kasut Pengantin Perempuan
Sumber: Sumber: Al Fateh Catering & Event

Selain kasut lelaki, kasut wanita juga mempunyai pelbagai jenis dan pilihan. Antaranya termasuklah Wedges, Ballerina, kasut tumit tinggi dan sebagainya.

Jika anda mahu menjadikannya sebagai hantaran, kasut bertumit tinggi atau kasut court adalah antara pilihan yang paling sesuai.

10. Tudung

Hantaran Tunang Tudung
Sumber: sewa_dulang_bynsmr

Tudung memudahkan wanita muslimah untuk menutup aurat dengan sempurna. Salah satu tips yang boleh anda lakukan sekiranya memilih tudung sebagai hantaran adalah dengan mengetahui apakah jenis tudung yang pasangan anda sukakan.

Sepertimana kasut, tudung juga ada pelbagai jenis seperti selendang, bawal dan tudung sarung. Selain jenis tudung, jenamanya juga boleh menjadi salah satu aspek penting dalam pemilihan.

Antara jenama tudung yang terkenal adalah seperti Naelofar Hijab, Radiusite, Duckscraves dan Sugarscarf.

9. Telekung

Hantaran Tunang Telekung
Sumber: gnaamajiena

Telekung amat penting digunakan untuk menutup aurat secara menyeluruh ketika hendak menunaikan ibadah solat. Maka ianya amatlah sesuai untuk dijadikan hantaran buat pasangan.

Anda boleh memilih telekung yang ditawarkan oleh mana-mana jenama yang terkenal di Malaysia dan salah satunya adalah telekung Siti Khadijah. Selalunya, telekung dipilih berdasarkan keselesaan dan rekaan yang menarik hati pasangan.

8. Kain Pasang

Hantaran Kain Pasang
Sumber: Pinterest

Selain membeli pakaian siap, kain pasang juga boleh diberi kepada pasangan. Anda boleh memilih kain pasang yang pelbagai di gedung pakaian terkenal di Malaysia seperti Jakel atau Nagoya untuk mendapatkan kain pasang pilihan hati.

7. Set Penjagaan Kulit (Skincare)

Hantaran Tunang Skin Care
Sumber: cairaweddstyled

Memiliki wajah yang “flawless” menjadi impian semua wanita. Penjagaan yang betul boleh membantu wajahnya untuk menjadi lebih bersih dan sihat.

Sekiranya anda mahukan set penjagaan kulit sebagai hantaran pertunangan, anda boleh mendapatkannya di farmasi atau membuat pembelian secara online.

6. Beg Tangan

Hantaran Beg Tangan Handbag
Sumber: the.hantaran

Wanita amat gemar membawa barang-barang kecil bersama seperti tisu, alat solek, dompet dan telefon ke mana sahaja. Oleh itu, beg tangan amatlah penting buat kaum wanita.

Selain amat berguna untuk mengisi barang, rekaan beg tangan yang menarik juga dapat berfungsi sebagai aksesori apabila bergaya. Dalam pemilihan beg tangan ini, anda haruslah mengetahui citarasa pasangan.


Hantaran Tunang Makanan

5. Agar-agar, Puding & Halwa

Hantaran Tunang Puding
Sumber: Norazlita Aziz

Selain barangan, makanan (pencuci mulut) seperti agar-agar, puding ataupun halwa juga amat sesuai dijadikan sebagai hantaran.

Anda boleh memilih pelbagai lagi pencuci mulut lain yang sesuai. Dengan meletakkan kotak sebagai penutupnya, mudah untuk anda menghiasinya dengan lebih menarik.

4. Kuih Moden

Hantaran Tunang Kuih Moden
Sumber: bakingjunkie

Kuih moden? Apakah kuih moden yang dimaksudkan ini? Kuih moden ini adalah seperti kuih tart yang datang dalam pelbagai perisa seperti tart cheese, tart cadbury, tart nanas dan lain-lain.

Anda boleh membuatnya sendiri di rumah atau membuat tempahan khas mengikut kuantiti yang sesuai.

Selain tart, macaron juga adalah sejenis kuih moden yang diminati ramai. Kuih yang rupanya kelihatan seperti burger ini memiliki rasa yang manis kerana dihasilkan dengan menggunakan bahan seperti gula aising dan gula pasir. Bentuknya yang comel amat sesuai untuk dijadikan sebagai hantaran.

3. Kuih Tradisional

Hantaran Kuih Tradisional
Sumber: Nur Jannah Haron

Seperti yang diketahui ramai, negara kita cukup kaya dengan kuih-muih tradisional. Antaranya termasuklah kuih bahulu, dodol, seri muka, karipap dan sebagainya. Pastikan anda menghias kuih ini dengan gaya yang menarik supaya ianya kelihatan lazat.

2. Coklat

Hantaran Tunang Coklat
Sumber: sewa_terrarium_hantaran

Hantaran coklat juga amat popular dalam kalangan masyarakat Melayu. Anda boleh memilih pelbagai jenis coklat yang ada di pasaran sebagai hantaran pertunangan.

Gabungan coklat-coklat yang berbeza jenamanya boleh disatukan untuk digubah dengan menarik.

1. Kek

Hantaran Tunang Kek
Sumber: redbakes

Kek bukan sahaja dihasilkan untuk majlis hari jadi, malahan boleh juga dijadikan sebagai hantaran buat pasangan. Kualiti dan reka bentuk kek boleh mempengaruhi harga sesebuah kek. Ingin menjadikan kek sebagai hadiah? Anda boleh menempah atau beli sahaja di kedai kek yang berdekatan.

Baca: 36 Design Kad Kahwin Yang Simple & Menarik

Persediaan untuk majlis pertunangan boleh jadi agak sukar, namun begitu, kami harapkan melalui perkongsian kali ini, dapat memudahkan urusan majlis pertunangan anda bersama pasangan yang tersayang berjalan lancar.

Semoga senarai yang dikongsikan ini dapat memberikan idea dalam membuat pemilihan barangan yang paling sesuai dan menarik untuk dijadikan sebagai hantaran.