Tidak sempurna penampilan pengantin tanpa pemakaian henna yang sempurna. Henna biasanya akan dipakai oleh pengantin perempuan pada kedua-dua belah tapak tangan dan kaki.
Manakala bagi pengantin lelaki pula, henna akan dipakai pada jari kelingking, jari manis dan jari hantu sama ada pada sebelah tangan sahaja atau kedua belah tangannya. Acara memakai henna ini pula akan diadakan pada malam berinai.
Sungguhpun malam berinai bukanlah acara wajib bagi sesebuah perkahwinan itu, tetapi sudah menjadi trend pada masa kini untuk mengadakannya sungguhpun secara sederhana.
Ini bukan sahaja untuk melengkapkan lagi pengalaman indah kedua mempelai untuk melangsungkan perkahwinan mengikut adat tradisi masyarakat melayu, tetapi juga bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim sesama ahli keluarga, sahabat handai dan juga jiran tetangga.
Berbeza dengan zaman dahulu, pengantin akan dipakaikan inai yang digiling sendiri menggunakan daun inai pada setiap hujung jari dan corak bulat pada tapak tangan sebagai simbol perkahwinan. Ada saja pantang larang dan petua orang tua-tua yang dikongsi bagi memastikan inai kekal merah sehingga saat pengantin disatukan.
Kini, henna artis yang berkemahiran untuk mencorakkan henna kepada pelbagai rekaan bunga dan dedaun menggunakan pes inai segera menjadi pilihan utama bakal pengantin di luar sana. Perkhidmatan mereka sangat mudah didapati di laman-laman sosial media seperti Facebook dan Instagram dengan harga bermula daripada RM80 hinggalah RM300 bergantung kepada pakej yang ditawarkan.
Di bawah ini, saya kongsikan 30 corak henna tangan untuk dijadikan inspirasi dan idea buat bakal-bakal pengantin yang masih tercari-cari rekaan henna untuk digayakan pada majlis perkahwinan mereka nanti.
Kandungan
30. @nanihennasp
Buat bakal pengantin yang berada di Kedah khususnya, henna artis Nani begitu popular dan sering menjadi pilihan. Sungguhpun masih baharu berkecimpung di dalam bidang ini, dengan kreativiti dan bakat yang dimilikinya, berjaya mengumpul jumlah pengikut yang ramai di Instagram dan rata-ratanya sering memuji hasil tangan Nani.
@nanihennasp juga menawarkan jenis henna yang bukan sahaja terhad kepada henna merah, tetapi juga henna putih yang sangat in-trend pada masa kini. Bukan inai sahaja, malahan perkhidmatan manicure turut disediakan khusus buat bakal pengantin yang sangat ‘particular’ di dalam pemakaian henna.
Pes inai segera juga ada dijual biasanya buat kegunaan ahli keluarga ataupun bridesmaid pengantin. Corak bermotifkan bunga-bungaan moden dan tradisional yang ringkas dan tidak berlebihan menjadi gubahan pilihan.. Sungguhpun ringkas, tetapi cukup kemas dan sempurna!
Henna Artist: @nanihennasp
29. @inaispecialist
Henna berwarna putih memang sangat trendy pada masa kini. Lihat sajalah corak yang diketengahkan oleh artis henna Ain Zaira ini. Corak inai berbunga halus dan rapat-rapat, dihiasi dengan manik bulat pada bahagian tengah menambahkan seri pada jari pengantin.
Tambahan pula, kuku pengantin turut dihias dengan french manicure berwarna pink cair mempamerkan konsep mewah yang cuba diketengahkan untuk tema perkahwinan tersebut.
Henna Artist: @inaispecialist
28. @intan_hennagirl
Sungguhpun inai putih sering mendapat perhatian buat pengantin yang menginginkan kelainan, tetapi tradisi pemakaian inai merah tetap tidak dilupakan. Buat rekaan henna jenis ini, kita dapat perhatikan bahawa henna artis Intan Liyana bijak mengekalkan konsep tradisional pemakaian henna pada jari-jemari pengantin.
Uniknya adalah, konsep tersebut digabungkan bersama corak bunga berkerawang dan ditambah dengan manik bulat menjadikan rekaan henna ini berjaya membawa dua konsep tradisional dan juga moden. Turut sesuai digayakan buat konsep perkahwinan melayu moden dan ala Bollywood. Harganya juga sangat berpatutan iaitu sekitar RM100 bagi pakej inai kaki dan tangan.
Henna Artist: @intan_hennagirl
27. @hennabydiyana_
Rekaan henna hasil tangan artis henna Diyana seperti ini boleh dikategorikan sebagai konsep corak henna merah floral membulat seolah-olah kelihatan seperti bunga kolam yang sering diketengahkan oleh masyarakat India semasa perayaan menyambut Deepavali.
Oleh itu, rekaan ini unik kerana mempunyai gabungan budaya melayu dan India yang turut menjadikan pemakaian henna sebagai tradisi warisan turun-temurun mereka dalam pelbagai acara terutamanya di dalam adat perkahwinan. Menarik bukan?
Henna Artist: @hennabydiyana_
26. @elmira_qisya_henna_art
Rekaan henna pilihan juga mampu membangkitkan suasana romantis di dalam sesebuah perkahwinan tersebut.
Sungguhpun tidak kelihatan terlalu menonjol dengan rekaan floral berenda ringkas pada bahagian tangan pengantin, tetapi ukiran ‘initial’ nama pasangan pada tapak tangan menjadikan rekaan henna ini lain daripada yang lain dan pasti membuatkan pasangan kita lebih terharu.
Henna Artist: @elmira_qisya_henna_art
25. @hennabyfiqa
Bagi artis henna Fiqa yang beroperasi di Melaka bandaraya bersejarah ini, konsep yang cuba diketengahkan pada rekaan henna ini adalah floral berkerawang pada bahagian tangan pengantin dan sedikit tambahan floral berenda pada bahagian jari jemari pengantin.
Rekaan henna ini dapat menaikkan elemen tradisional masyarakat melayu terutamanya di Melaka yang kaya dengan kebudayaan dan seninya. Corak jenis ini lebih sesuai digayakan pada majlis pertunangan kerana coraknya yang minimialist dan ringkas.
Henna Artist: @hennabyfiqa
24. @adeebahenna
Masyarakat melayu di Sarawak juga turut tidak ketinggalan meraikan kemeriahan majlis perkahwinan dengan pemakaian inai pada pengantin. Henna artis Adeeba menawarkan perkhidmatan berinai yang cukup unik dan menarik khusus buat bakal pengantin yang menetap di Sarawak.
Rekaan seperti yang dihasilkan oleh Adeeba kelihatan sedikit sarat dengan motif floral berbentuk besar bersama lingkaran dedaun pada jari, tetapi bijak diimbangkan dengan jari-jari pengantin yang tidak diinai. Oleh itu, rekaannya tampak kemas tetapi tetap kelihatan cantik.
Henna Artist: @adeebahenna
23. @henna_deeya
Bagi sesetengah pengantin, pemakaian henna dengan corak yang berbeza mengikut majlis adalah sesuatu yang tidak asing lagi pada masa kini. Bagi mereka, sekali seumur hidup saja menjadi raja sehari.
Apa salahnya berbelanja lebih untuk kelihatan cantik? Tambahan pula dengan pakej-pakej menarik dengan harga yang berpatutan yang disediakan oleh henna artis seperti Deeya ini, menjadikan tren sebegini semakin popular.
Sebagai contoh, rekaan yang diketengahkan oleh Deeya seperti di dalam gambar kelihatan sarat dengan corak bunga bermotifkan ala Pakistani dan sangat sesuai untuk digayakan ketika majlis bertandang. Warna henna merah yang agak terang menjadikan henna ini serasi untuk digandingkan bersama perhiasan gelang emas pada pergelangan tangan.
Henna Artist: @henna_deeya
22. @geerot_inaipacar
Untuk menjadi unik dan lain daripada lain, @geerot_inaipacar merupakan inspirasi kepada setiap bakal pengantin. Tentunya, mereka ingin kelihatan berbeza pada hari perkahwinan mereka dan sekiranya boleh, ingin menjadi ‘tren-setter’. @geerot_inaipacar juga menawarkan pengalaman seperti ini buat bakal pengantin yang masih tercari-cari keunikan di dalam konsep perkahwinan.
Lihat sajalah kreativiti artis henna ini yang menggabungkan elemen henna putih dicorakkan seperti ‘white glove’ berlace dan dipadankan dengan hiasan manik seperti diamond berwarna pastel.
Gandingan busana dress pengantin lace penuh dan dan bermanik, menaikkan lagi seri pada si pengantin. Rekaan henna ini sesuai bagi majlis perkahwinan berkonsepkan ala Inggeris dan moden kerana ia mampu memberi kesan elemen mewah dan elegan.
Henna Artist: @geerot_inaipacar
21. @nashahenna
Bentuk hati ataupun love shape memang tidak dapat dipisahkan kesesuaiannya di dalam penggunaan majlis perkahwinan.
Ianya melambangkan kasih sayang dan cinta di antara kedua pasangan pengantin. Oleh itu, artis henna Nasha begitu kreatif di dalam mencorakkan bentuk hati ini untuk digabungkan bersama elemen floral di dalam rekaan henna merah pengantin.
Corak floral yang dipilih pula adalah bermotifkan ala Pakistani dan dilingkari hingga ke pergelangan tangan bagi menambahkan seri si pengantin.
Henna Artist: @nashahenna
20. @nurul_pengukirinai
Kebiasannya, rekaan henna yang menjadi pilihan pengantin adalah bermotifkan lingkaran bunga-bungaan yang dilukis pada jari-jemari hinggalah ke pergelangan tangan. Namun, berbeza dengan henna artis Nurul ini, beliau cuba mempamerkan konsep ukiran sekata berbeza corak pada kedua belah tangan pengantin.
Inai dipakaikan pada kuku sahaja dan corak floral separa dilukis pada jari jemari dan tangan serta diikuti dengan floral penuh pada pergelangan tangan. Tema ini tampak kemas kerana susunan floral yang rapi tetapi tetap menonjol sebagai perhiasan kepada pengantin.
Henna Artist: @nurul_pengukirinai
19. @eyrdawaheeda_henna
Pemakaian henna pada jari pengantin kini boleh diibaratkan sebagai perhiasan sarung tangan atau glove mengambil sedikit inspirasi daripada perkahwinan Inggeris yang mengutamakan pemakaian glove pada hari perkahwinan. Selain daripada henna putih yang menjadi alternatif lain buat perhiasan glove, henna merah juga mampu mempamerkan elemen yang sama.
Jika anda tidak percaya, hasil tangan henna artis Eryda Waheeda ini dapat membuktikannya. Beliau tidak hanya mencorakkan eleman floral yang cukup sinonim di dalam pemakaian inai, tetapi juga menggabungkan padanan geometri yang sarat pada jari jemari pengantin.
Rekaan ini diakhiri dengan corak flora pada bahagian pergelangan tangan pengantin bagi menyempurnakan lagi tema yang ingin diketengahkan.
Henna Artist: @eyrdawaheeda_henna
18. @hennaart_nani
Berita gembira buat bakal-bakal pengantin di Pahang dan Kedah yang sememangnya mengutamakan corak bunga-bungaan bagi pemakaian inai kerana henna artis Nanie pasti dapat merealisasikan impian anda.
Beliau menawarkan hasil tangan mencorakkan motif bunga-bungaan jenis besar dan digandingkan dengan lingkaran dedaun pada bahagian jari manis pengantin menaikkan lagi simbolik cincin perkahwinan yang bakal disarungkan.
Henna Artist: @hennaart_nani
17. @masidayu_henna
Jika diperhatikan pada corak inai yang diolah hasil kreativiti henna artis Mas Idayu ini, dengan corak yang sangat ringkas, pasti kita tidak merasakan ianya sesuai untuk dijadikan corak pilihan buat majlis perkahwinan.
Apa yang lebih menarik, beliau tidak menggunakan padanan corak bunga dan daun yang sama pada kedua belah tangan pengantin, malahan mengukir corak yang berbeza tetapi cukup serasi. Rekaan ini juga sesuai buat pengantin yang mempunyai bentuk tangan yang sedikit bulat kerana boleh menonjolkan lagi perbezaan corak pada kedua belah tangan.
Henna Artist: @masidayu_henna
16. @sheemahenna
Nama Sheema sudah tidak asing lagi dalam kalangan penggemar rekaan inai. Mempunyai ribuan pengikut di Instagram, beliau turut menjadi pilihan selebriti-selebriti tempatan bagi malam berinai mereka kerana hasil kerjanya yang kreatif dan kemas serta menggunakan pes inai yang berkualiti sebanding dengan harga atau pakej yang ditawarkan.
Lihat saja rekaan corak inai putih yang dihasilkan oleh beliau seperti di dalam gambar, lukisan inai yang sangat teliti dan gabungan elemen bunga dan corak geometri net yang sangat sesuai. Rekaan henna ini tampak mewah tetapi tidak sarat dan kelihatan serasi dengan busana pengantin yang turut menghidupkan penggayaan bunga pada rekaannya.
Henna Artist: @sheemahenna
15. @tehafateha_henna
Bagi bakal pengantin yang sememangnya ingin kelihatan vogue dan gah semasa majlis perkahwinan nanti bolehlah menjadikan corak pilihan henna ala Bollywood ini sebagai pilihan anda.
Sungguhpun kelihatan sarat dengan pelbagai jenis bunga dan corak geometri yang diketengahkan oleh henna artis Fateha, tetapi rekaannya begitu teliti dan kemas mampu mengimbangkan elemen berlebihan di dalam hasil kerjanya.
Malahan, henna tidak hanya dipakai terhad kepada jari-jemari dan tangan pengantin sahaja, tetapi turut dilukis sehingga melepasi pergelangan tangan bagi menaikkan lagi seri pengantin. Bagi rekaan henna jenis ini, warna henna hitam kelihatan lebih sesuai untuk digunakan.
Henna Artist: @tehafateha_henna
14. @syazmoralee_henna
Buat bakal pengantin yang menginginkan kelainan bukan saja daripada segi corak henna, tetapi juga menitikberatkan soal warna.
Henna artis Syazmoralee boleh memberikan pengalaman berbeza dan kelainan pemakaian inai khusus buat anda. Warna inai diolah kepada warna keemasan dan digabungkan bersama corak geometri net.
Apa yang lebih menarik, elemen floral tidak kelihatan di dalam rekaan ini kerana digantikan dengan corak berlian yang dihiasi manik hijau dan putih di sekelilingnya pada pergelangan tangan pengantin. Rekaan henna ini sesuai bagi majlis perkahwinan berkonsepkan ballroom mewah pada sebelah malam bagi menonjolkan lagi elemen kemewahan.
Henna Artist: @syazmoralee_henna
13. @hennaaiena
Rekaan henna yang ditonjolkan oleh henna artis Aiena Shukor ini cukup menarik dan sinonim dengan sambutan majlis perkahwinan kerana ia kelihatan padat dengan elemen lingkaran bunga-bungaan dan daun kecil pada kedua belah tangan pengantin.
Corak bunga pada pergelangan tangan pula uniknya kelihatan seolah-olah seperti gelang tangan.
Beliau tidak menyamakan corak pada rekaan henna di kaki pengantin tetapi memilih padanan bunga kerawang yang ringkas bagi menonjolkan kelaian kepada pengantin. Cukup sesuai bagi konsep perkahwinan ala-ala melayu tradisional.
Henna Artist: @hennaaiena
12. @hennabelle
Pada kebiasannya, henna atau inai akan dipakai sehari sebelum majlis perkahwinan dilangsungkan. Tetapi, perubahan masa menjadikan penggunaan henna lebih mudah dan cepat.
Bagi mereka yang menggemari henna berwarna putih, pastinya bimbang sekiranya henna tersebut mudah pudar dan rosak. Tetapi jangan bimbang, hennabelle menawarkan pemakaian inai yang bukan saja cantik dan menarik tetapi juga tidak mudah rosak.
Pes inai yang berkualiti membolehkan pengantin memakai inai 2 jam sebelum bersiap. Corak rekaan henna yang diketengahkan oleh hennabelle ini adalah lebih kepada moden dan kontemporari. Di samping, memberi keutamaan kepada elemen bunga-bunga Inggeris moden dan geometri. Tidak hairanlah pengikutnya hampir mencecah ratusan ribu di Instagram.
Henna Artist: @hennabelle
11. @syazlinmansor_hennamua
Jika ingin berbicara mengenai konsep ringkas pemilihan rekaan henna buat majlis perkahwinan, henna artis Syazlin Mansor mempunyai kelebihan di dalam mempamerkan rekaan seperti ini.
Inai dipakaikan ringkas pada bahagian kuku sahaja dan rekaan lingkaran daun kecil dilukis pada bahagian jari telunjuk, kemudian dipadankan bersama corak bunga kecil pada bahagian atas tangan pengantin menjadikan rekaan ini sedap mata memandang dan tidak keterlaluan.
Ianya juga sebanding dengan harga berpatutan yang ditawarkan oleh Syazlin. Pasti pengantin tidak rugi memilih perkhidmatan beliau untuk digayakan pada majlis perkahwinan nanti.
Henna Artist: @syazlinmansor_hennamua
10. @zzaty_henna
Siapa kata henna hanya terhad kepada penggunaan dua warna utama sahaja? Henna artis yang semakin kreatif pada masa kini berjaya menggabungkan pelbagai warna dan elemen untuk menonjolkan kelaian kepada pengantin.
Bagi artis henna Zzaty, beliau berani untuk menggabungkan henna putih bersama hiasan manik berlian berwarna ungu dan dipadankan dengan rekaan henna geometri floral yang kemas. Bakal pengantin di luar sana bolehlah cuba idea kreatif ini!
Henna Artist: @zzaty_henna
9. @the__hennagirl
Masih di dalam tema rekaan henna berwarna putih, ianya kelihatan manis dilukis bersama corak lingkaran daun-daun kecil yang tanpa menggunakan motif bunga sepertimana yang dihasilkan oleh henna artis thehenna_girl ini.
Corak ringkas ini biasanya sesuai dipilih buat majlis pertunangan dan dipadankan dengan rekaan busana melayu seperti kurung moden, peplum yang pelbagai warna. Barulah kelihatan meriah!
Henna Artist: @the__hennagirl
8. @hennabyreen
Dalam pada kita mengejar permodenan masa, ada juga di antara bakal pengantin di luar sana yang masih ingin mengekalkan ciri-ciri tradisional di dalam majlis perkahwinan mereka. Henna artis Zarina Nasir cuba untuk melaksanakan rekaan ini dengan memasukkan sedikit kelaian dan kreativitinya yang tersendiri.
Kalau dulu, secara tradisionalnya, hanya corak bulatan merah dipakaikan pada kedua belah tapak tangan pengantin bersama jari-jemari dihiasi inai merah tanpa corak, tetapi beliau kini turut melakukan rekaan yang sama tetapi dengan menggantikan corak bunga besar pada telapak tangan pengantin. Moden tetapi cukup bertradisi.
Henna Artist: @hennabyreen
7. @eyrdawaheeda_henna
Sungguhpun less is more, tetapi masih ada bakal pengantin di luar sana yang menjadikan rekaan henna sarat sebagai pilihan pada majlis perkahwinan mereka.
Henna sarat seperti yang ditonjolkan oleh artis henna Eryda Waheeda ini diinspirasikan daripada corak rekaan pengantin India. Kebiasannya, henna sarat ini sesuai dipadankan dengan busana pengantin berlabuci penuh dan lace yang berat sebagai lambang kemewahan.
Henna Artist: @eyrdawaheeda_henna
6. @za_henna_art_penang_kulim_hq
Pengantin yang menginginkan rekaan henna yang ringkas biasanya tidak ingin kelihatan sarat dan berat. Bagi mereka, cukup sekadar lingkaran motif bunga dan daun-daun kecil yang dapat melambangkan mereka adalah si pengantin.
Za_Henna Art menawarkan pakej yang menarik bermula daripada harga serendah RM3 bersama dengan corak pilihan bagi bakal pengantin di luar sana. Bukan saja dapat menjimatkan perbelanjaan tetapi juga mampu kelihatan cantik dan menarik pada hari bahagia anda.
Henna Artist: @za_henna_art_penang_kulim_hq
5. @jeaahenna
Corak rekaan henna putih yang berkonsepkan motif abstrak berenda dan digabungkan bersama corak motif bunga bunga kecil sering menjadi pilihan pengantin yang ingin tampak manis dan ringkas.
Ini disesuaikan lagi dengan tema perkahwinan yang berlatar belakangkan warna putih dan melayu moden kerana corak inai ini dapat menyerlahkan lagi keanggunan pengantin. Henna artis yang popular dengan panggilan Jeaa ini mempunyai keistimewaan dan corak ‘signature’nya yang tersendiri di dalam menghasilkan henna putih pelbagai corak dan motif berbanding dengan henna merah.
Henna Artist: @jeaahenna
4. @hennabydianaganu
Buat bakal pengantin di Terengganu, henna artis Dee Zulkifli merupakan antara yang boleh dijadikan pilihan pada majlis perkahwinan anda.
Corak yang diketengahkan beliau mempunyai unsur ukiran yang diinspirasi daripada corak geometri dan floral berbentuk bulat dan sedikit dedaun kecil pada bahagian jari pengantin sesuai untuk dipadankan dengan busana songket pelbagai warna pada hari persandingan.
Henna Artist: @hennabydianaganu
3. @ hennabyadila
Buat bakal pengantin yang menggemari corak dedaun menjalar tanpa motif bunga untuk dijadikan rekaan ukiran henna pada hari bahagia anda, henna artis Siti Adila Salleh boleh merealisasikannya.
Apa yang lebih menarik, corak seperti ini sesuai dipadankan dengan henna berwarna hitam dan diukir pada jari pengantin yang berbentuk runcing. Pasti kelihatan lembut dan sopan saja bagi sesiapa saja yang memandangnya.
Henna Artist: @ hennabyadila
2. @projecthenna_
Sesuai dengan permintaan pengantin, henna artis projecthenna ini berjaya menggabungkan elemen warna emas dan ukiran lingkaran kerawang pada kedua belah tangan pengantin untuk dipadankan dengan rekaan gaun labuh berlace berkonsepkan ‘gold moden’.
Motif bunga tidak digunakan bagi mengimbangi corak bunga-bungaan yang terdapat pada rekaan busana. Bagi menaikkan lagi seri ukiran henna, kuku pengantin ditatarias juga dengan French mani.
Henna Artist: @projecthenna_
1. @hennaby_lini
Berbeza dengan ukiran corak henna sebelumnya, rekaan hasil tangan daripada Lini Kamaruzaman ini mempunyai ukiran asemetri yang menjalar daripada hujung jari telunjuk menggunakan dedaun kecil hingga ke pergelangan tangan yang bermotifkan bunga hidup.
Warna yang digunakan merupakan kombinasi warna henna merah dan hitam menambahkan lagi kepekatan kepada henna tersebut. Istimewanya rekaan ini adalah ia tidak kelihatan sarat pada bahagian jari tetapi coraknya tertumpu pada bahagian posterior tangan, menampakkan lagi motif bunga yang seolah-olah kelihatan hidup.
Henna Artist: @hennaby_lini
Diharapkan artikel ini dapat memberi inspirasi dan memudahkan lagi persiapan perkahwinan pengantin. Pemakaian inai bukan sahaja merupakan sunnah dan mempunyai manfaat yang baik terhadap kesihatan tetapi juga sebagai simbolik dan penyeri kepada bakal pengantin.
Baca: 3 Jenis Malam Berinai Yang Patut Anda Tahu Mengikut Adat
Sedikit tips di dalam pemilihan henna, tiga perkara utama perlulah dititikberatkan, pertama soal budjet mestilah dirancang dengan rapi. Kedua, corak rekaan henna yang kemas dan cantik. Terakhir, tempah henna artis lebih awal untuk persediaan awal. Selamat pengantin baru buat mereka yang bakal mendirikan rumahtangga.