Selain daripada dekorasi meja makan beradab dan juga pelamin, hiasan bilik pengantin turut menjadi tempat wajib dijengah oleh para tetamu lebih-lebih lagi jika majlis perkahwinan diadakan di rumah. Sudah pasti jiran tetangga dan sanak saudara yang hadir akan teruja untuk melihat konsep apakah yang digunakan bagi menghias ruangan tidur pengantin baru.
Bukan itu saja, bilik pengantin adalah ruang privasi bagi bakal mempelai jadi sewajarnya ia dihias cantik bagi membangkitkan mood malam pertama. Hiasan ruangan tidur yang romantik ditambah pula dengan bau-bauan yang harum semerbak di malam perkahwinan membangkitkan mood anda dan pasangan dan pastinya memori ini akan menjadi kenangan yang terindah dalam hidup anda.
Namun begitu, pemilihan konsep dan alatan dekorasi yang tepat amatlah penting bagi memastikan ruang tidur anda cantik dan tidak keterlaluan sehingga menyakitkan mata. Kebiasaannya warna tema bilik tidur akan ditetapkan sama dengan warna baju pengantin. Pendek kata semuanya nak matching! Jadi, untuk segmen kali ini kami akan bawakan beberapa konsep dan juga tips berguna yang boleh digunapakai semasa proses menghias nanti.
Kandungan
5. Hiasan Bilik Pengantin Terkini
Zaman yang serba moden kini banyak memberi impak kepada perubahan konsep dan juga citarasa pengguna dalam aktiviti dekorasi. Konsep yang sering digunakan masa kini adalah konsep minimalis. Konsep ini sangat jauh berbeza dengan konsep dekorasi era 90 an di mana ropol, renda, labuci serta perabot jati menjadi pilihan ramai pengguna bagi menjayakan hiasan bilik pengantin.
Secara ringkasnya konsep yang terkini memberikan lebih tumpuan kepada pemilihan perabot yang lebih simple serta menggunakan warna bilik yang cerah seperti warna putih, cream dan pink bagi menampakkan bilik pengantin lebih luas dan tenang. Bukan itu saja, konsep bilik tidur moden turut memberi penekanan terhadap susun atur perabot yang ringkas serta tidak terlalu sarat dan menonjol.
4. Hiasan Bilik Pengantin Simple
Dekorasi ruang tidur yang ringkas merupakan konsep yang sangat sesuai bagi mereka yang sukakan suasana yang santai dan relaks. Hiasan sebegini juga mampu membangkitkan mood bagi pasangan yang baru mendirikan rumahtangga. Maklumlah pengantin masih malu-malu dan segan di antara satu sama lain. Jadi ruangan yang simple amatlah sesuai. Ini kerana suasana yang hadir dari ruang tidur yang ringkas akan memberikan ketenangan dan keselesaan buat si penghuni.
3. Hiasan Bilik Pengantin Moden
Konsep bilik tidur yang serba moden biasanya sinonim dengan gaya mewah dan eksklusif. Dekorasi gaya moden ini sebenarnya tidaklah menelan belanja yang besar. Sentuhan moden boleh diterapkan dengan pemilihan perabot yang tampak mewah dan terkini seperti perabot di IKEA yang disuaipadankan dengan perhiasan lain untuk menambahkan lagi seri bilik pengantin.
Perhiasan moden seperti lampu tidur, cadar katil yang berona lembut yang dihias indah dengan taburan kelopak bunga mawar serta ditambah pula dengan sedikit wangian berbau harum dan lembut. Tidak lupa juga scented candle yang akan menambahkan lagi impak romantic di segenap ruang kamar tidur raja sehari.
2. Hiasan Bilik Pengantin DIY
Untuk mendapatkan hasil yang cantik serta menarik tidak semestinya anda perlu mengeluarkan bajet yang besar dengan mengupah wedding planner yang profesional dan berpengalaman. Anda boleh merealisasikan impian dengan hanya mengeluarkan sedikit modal untuk membeli keperluan hiasan dan mengosongkan jadual harian anda untuk hiasan bilik pengantin DIY.
Segala idea dan tips dari media social sekarang amatlah berguna dalam mempersiapkan hiasan bilik tidur pengantin anda nanti. Bagi hiasan bilik tidur D.I.Y, apa yang penting adalah anda perlu tahu apa yang anda inginkan. Bukan itu saja, susun atur perabot juga perlu diberikan perhatian kerana susunan perabot yang tepat akan menampakkan bilik menjadi luas dan selesa. Nak lebih jimat? Beli saja barang-barang perhiasan di Kaison, romantika serta kedai eco.
1. Hiasan Bilik Pengantin Lelaki
Hiasan di bilik pengantin lelaki kebiasaanya sangat simple kerana kebanyakkan majlis di belah pihak lelaki adalah serba ringkas berbanding majlis dipihak pengantin perempuan. Lebih-lebih lagi jika majlis perkahwinan diadakan di kampung. Cukup saja dengan susun atur perabot yang bersesuaian dengan saiz bilik, diserikan pula dengan hiasan frame yang bermotifkan floral serta sedikit bau-bauan.
Jangan pula anda bayangkan bilik tidur pengantin lelaki akan dipenuhi dengan bunga-bunga serta diselubungi dengan suasana lampu malap yang romantis seperti bilik tidur pengantin perempuan. Tetapi jangan pula underestimate kerana lelaki biasanya lebih kreatif dan dipenuhi dengan idea-idea diluar kotak.
Tips Hiasan Bilik Pengantin
Hiasan di atas masih belum meliputi semua hiasan bilik pengantin. Masih terdapat banyak lagi pilihan dan idea lain yang boleh anda temui diluar sana. Sebelum itu, kami ingin kongsikan beberapa tips menghias bilik pengantin yang anda boleh rujuk.
Pilihlah Warna Sesuai
Untuk effect bilik yang lebih luas dan selesa, warna lembut dan cerah adalah yang paling sesuai. Elakkan dari menggabung lebih daripada dua warna kerana ianya akan menyukarkan kerja-kerja mix & match dengan perhiasan yang lain.
Tentukan Konsep Dan Tema Hiasan
Untuk memudahkan kerja dekorasi sila pilih tema warna bilik serta konsep yang akan digunakan terlebih dahulu. Antara tema atau konsep yang boleh dipilih adalah konsep mewah, ringkas, minimalis, English style dan lain-lain.
Pilih Cadar Katil Yang Selesa
Cadar katil memainkan peranan yang besar kerana di situlah tempat anda dan pasangan beristirehat serta ia menjadi tumpuan utama para tetamu. Pilih cadar yang bertekstur lembut dan berkualiti untuk keselesaan anda dan pasangan nanti.
Tambah Dekorasi Bunga
Untuk menaikkan lagi seri kamar tidur, anda boleh tambah sedikit hiasan bunga-bungaan. Jika anda mempunyai bajet lebih, fresh flower adalah digalakkan kerana ianya bukan sahaja nampak lebih asli bahkan bau yang keluar dari fresh flower juga akan mewangikan bilik.
Haruman Segar
Mahukan bilik sentiasa wangi dan suasana bilik yang lebih romantis? Nyalakan sahaja scented candle atau gunakan semburan pewangi dan potpourri.
Guna Wallpaper Untuk Dinding Bilik Tidur
Suasana dan warna bilik boleh dikatakan nadi utama dalam kerja-kerja dekorasi. Trend terkini yang sering digunakan bagi mencantikkan dinding bilik adalah dengan menampal wallpaper. Wallpaper bukan sahaja bervariasi tetapi ringkas untuk dipasang dan tidak sarat.
Langsir Penambah Seri Bilik
Pemilihan langsir pula haruslah sesuai dan kena dengan warna cadar. Selok-eloknya gunalah langsir yang berwarna lembut.
Untuk menghias bilik tidur pengantin bukanlah sesuatu yang sukar dan ia juga tidak mudah. Apa yang penting adalah anda perlu banyakkan membaca dan dapatkan sebanyak yang mungkin tips bagi membantu kerja pemilihan perabot, cadar, langsir dan sebagainya.
Bagi anda yang sukakan cabaran dan kepuasan maka kami syorkan anda melakukannya secara DIY. Tetapi sekiranya anda kesuntukan masa maka upahlah wedding planner yang berpengalaman. Anda juga perlu menetapkan bajet mengikut kemampuan anda dan berbelanjalah secara berhemah agar tidak berlaku sebarang pembaziran.\
Secara ringkasnya, hiasan kamar tidur perlu diberikan perhatian kerana di situlah ruang privasi dan tempat pasangan suami isteri beradu. Kamar tidur yang tenang, kemas, bersih serta wangi akan membangkitkan mood serta aura yang positif dalam rumahtangga.