Setiap pasangan mengimpikan majlis pernikahan yang indah bersama cinta hatinya. Menunggu detik tarikh keramat untuk diijab Kabul adalah perkara yang sangat mendebarkan hati setiap bakal mempelai.
Setiap bakal mempelai pasti mahukan majlis berjalan lancar. Oleh itu persiapan perlu dibuat dengan susunan yang rapi dan sistematik. Namun begitu, persiapan dan persediaan perlulah dirancang awal.
Bagi pihak lelaki, lafaz akad nikah yang sering membuatkan mereka kecut perut dan berdebar-debar kerana lafaz akad nikah penentu kesahan dalam menghalalkan hubungan untuk digelar sebagai suami isteri.

Jadi, pihak lelaki perlu praktis lafaz akad nikah supaya tidak ada rasa gugup semasa akad nikah dilafazkan semasa majlis itu nanti. Namun begitu, pihak lelaki tidak perlulah terlalu takut, Cuma perlu bersedia lebih awal dengan soalan tentang perkahwinan, mana tahu tok kadi akan bertanya tentang soalan-soalan agama! Cool kan diri dan jawab dengan tenang ya!
Kandungan
Apa Itu Lafaz Akad Nikah?
Sebelum lalui fasa alam rumah tangga, mereka perlulah mengetahui perkara paling utama untuk mendirikan masjid ini iaitu akad nikah. Setiap mempelai seharusnya bersedia dari awal dan mengetahui prosedur akad nikah.
Pihak lelaki juga perlu pelajari dan mendalami ilmu bagaimana lafaz akad nikah dilakukan? Oleh itu, jangan anggap hal pernikahan ini adalah satu yang kecil dan remeh temeh kerana ia langkah paling penting untuk mendirikan mahligai rumah tangga anda! Sebelum itu mari kita lihat apa maksud lafaz akad nikah?
Lafaz akad nikah merupakan lafaz Ijab dan Kabul. Akad nikah tidak akan terjadi jika tiada lafaz ini kerana ia tergolong dalam rukun nikah. Setiap rukun nikah perlu dipenuhi untuk menjadikan perkahwinan itu sah. Lafaz ijab Kabul ini merupakan rukun nikah yang kelima.
Baca: 5 Rukun Nikah & Syarat Sah Nikah Yang Bakal Pengantin Patut Tahu
Lafaz akad ini sah dilakukan jika menepati syarat iaitu ada dua orang yang melakukan akad, terdiri dari calon suami dan wali pada pengantin perempuan itu. Tambahan lagi, semasa akad nikah itu perlu ada juga calon pengantin perempuan dan dua orang saksi lelaki.
Lafaz ijab merupakan perkataan yang dituturkan oleh wali perempuan kepada pengantin lelaki iaitu “aku menikahkan kamu dengan anakku..” manakala lafaz Kabul pula adalah perkataan yang diungkapkan oleh pihak pengantin lelaki seperti “aku terima nikahnya”, “aku rela menikahinya” atau “aku menikahinya” dan sebagainya.
Akan tetapi, jika lafaz kabul daripada pihak pengantin lelaki diucap terlebih dahulu dari lafaz ijab wali pihak perempuan itu, hukumnya adalah tetap sah! kerana lafaz akad nikah itu mempunyai maksud yang sama.
Prosedur Lafaz Akad Nikah
1. Khutbah Nikah
Sebelum memulakan lafaz akad nikah, selalunya imam akan membuat khutbah nikah. Imam atau, dipanggil tok kadi, kebiasannya membuat khutbah nikah berkaitan dengan bab perkahwinan, hukum hakam, tanggungjawab suami isteri, nafkah, cerai, rujuk dan taklik dan sebagainya yang berkaitan.
Semasa Khutbah nikah ini berlangsung, imam akan membacakan di hadapan pasangan mempelai ini bersama beberapa orang saksi dan ahli keluarga terdekat. Khutbah nikah dibacakan selalunya di dalam masjid atau rumah pengantin perempuan iaitu bergantung pada tempat berlangsungnya pernikahan yang dibuat. Khutbah nikah ini juga sudah menjadi perkara utama yang sering dibuat sebelum pasangan pengantin diijab kabulkan.
2. Membaca Lafaz Akad Nikah
Selepas khutbah nikah, barulah pihak pengantin lelaki perlu membuat lafaz akad nikah pada wali pengantin perempuan. Semasa lafaz dijalankan, lafaz tersebut perlulah mengandungi lafaz “kahwin dan nikah” sebagai contoh, “aku kahwinkan engkau dan aku nikahkan engkau”. kerana perkataan ini menunjukkan makna perkahwinan.
Lafaz perlulah jelas dan bukan lafaz kiasan. Ini kerana, lafaz yang jelas membuatkan pernikahan itu menjadi sah! Manakala Lafaz kiasan akan menyebabkan pernikahan tidak sah sebab tidak menepati syarat-syarat pernikahan! Walau bagaimanapun, semasa upacara akad nikah ini dijalankan, 2 orang saksi lelaki perlu ada bagi menyaksikan pernikahan itu kerana ia termasuk dalam syarat akad nikah ini. Apabila saksi telah mengatakan “sah!” maka sempurnalah pernikahan ini dan pasangan mempelai telah menjadi pasangan suami isteri yang sah!
3. Membaca Lafaz Taklik
Seterusnya, apabila lafaz akad nikah telah selesai, selepas itu tok kadi akan meminta pengantin lelaki untuk membaca lafaz taklik. Taklik ini merupakan syarat untuk membubarkan perkahwinan jika antara pihak suami atau isteri telah membuat sesuatu perbuatan yang bertentangan dengan syarat taklik itu.
4. Upacara Pembatalan Air Sembahyang
Setelah habis lafaz taklik ini, pengantin lelaki akan memberi mas kahwin pada pengantin perempuan, sejurus itu mereka akan membuat upacara pembatalan air sembahyang dimana pihak pengantin perempuan akan bersalaman pada pengantin lelaki yang telah menjadi suaminya yang sah. Dan selepas sesi bersalaman antara pasangan ini selesai, mereka akan bersalaman dengan ahli keluarga terdekat pula.
5. Solat Sunat Nikah
Akhir sekali, seeloknya buatlah solat sunat nikah tanda bersyukur pada Allah kerana telah memudahkan urusan pernikahan ini. Moga mendapat keredhaan dan keberkatan dari Allah SWT.
3 Contoh Lafaz Akad Nikah
Sebelum akad nikah dijalankan, kebiasaannya tok kadi akan memberi teks lafaz akad nikah yang betul beberapa hari sebelum majlis. Hal ini boleh membuatkan bakal pengantin lelaki bersedia dan tahu ayat apa yang perlu dilafazkan nanti semasa upacara akad nikah itu berlangsung kelak.
Persediaan sebegini penting, sekurangnya pihak lelaki tidak blurr semasa hari kejadian. Ini juga memudahkan semua pihak wali dan tok kadi juga untuk menyempurnakan akad nikah itu nanti. Bersedialah wahai bakal pengantin lelaki! Jangan jadikan hal ini sebagai hal kecil, hal nampak simple ini kadangkala boleh buatkan pernikahan jadi lambat.
Jadi, baca dan fahami teks lafaz akad nikah ini sebaiknya, serta lebih baik hafal dari awal. Ini beberapa contoh lafaz akad nikah yang sering digunakan semasa majlis akad nikah.
Contoh 1
-
“Aku nikahkan kau dengan anak perempuanku (Nama Penuh Pengantin Perempuan) dengan emas kahwinnya bernilai RM… tunai!
-
“Aku terima nikahnya (Nama Penuh Pengantin Perempuan) dengan emas kahwinnya berjumlah RM… tunai!
Contoh 2
-
“Aku kahwinkan dikau dengan anak perempuanku (Nama Penuh Pengantin Perempuan) dengan emas kahwinnya RM… tunai!
-
“Aku terima nikahnya (Nama Penuh Pengantin Perempuan) dengan emas kahwinnya RM… tunai!
Contoh 3
-
“Aku nikahkan kau dengan (Nama Penuh Pengantin Perempuan) yang berwakil walikan aku, dengan emas kahwinnya……..
-
“Aku terima nikahnya (Nama Penuh Pengantin Perempuan) dengan emas kahwinnya………..
Penting Ke Lafaz Akad Nikah Satu Nafas Tanpa Salah?
Untuk lafaz akad nikah, tidak disyaratkan satu nafas dalam menjawab lafaz akad nikah tersebut. Akan tetapi, disyaratkan lafaz ijab kabulnya berturutan atau tidak terputus.
Ini bermaksud, penerimaan lafaz itu diucapkan terus setelah ucapan daripada pihak wali. Contohnya apabila wali berkata, “aku nikahkan kau dengan anak perempuanku”, dan selepas itu pengantin lelaki perlu terus menjawab, “aku terima nikahnya”. Lafaz begini sah! kerana tidak terputus dan dijawab secara berturutan.
Namun begitu, pernikahan boleh menyebabkan tidak sah jika ada pemisahan yang lama antara ijab dan kabul tersebut. Sebagai contoh, wali berkata, “aku kahwinkan kau dengan anak perempuanku”, dan selepas tempoh yang lama kemudian, pengantin lelaki menjawab, “aku terima nikahnya”. Lafaz begini tidak sah! kerana tempoh yang terlalu lama dan membuatkan pemisahan yang lama antara ijab dan kabul tersebut.
Baca: 9 Prosedur Borang Nikah Untuk Daftar Berkahwin | Borang Nikah Online
Dalam tempoh yang lama ini juga berkemungkinan wali menarik lafaz ijabnya semula. Tambahan lagi, jika salah satu dari dua pihak akad itu hilang syarat kelayakan seperti gila atau pengsan sebelum kabul itu selesai, maka lafaz ijab itu menjadi batal dan tidak sah.
Akan tetapi, apabila pengantin lelaki diam sebentar disebabkan bersin, ambil nafas, bacaan basmalah, hamdalah, dengar khutbah dalam tempoh pendek itu, maka ia tidak akan merosakkan akad nikah tersebut dan nikah tetap menjadi sah!
Oleh itu, sebaiknya pihak pengantin lelaki perlu fahami lafaz berturutan ini supaya tidak ada kesilapan semasa anda ingin membuat lafaz akad nikah nanti. Tambahan pula anda perlu tahu syarat-syarat sah pernikahan dengan lebih terperinci lagi supaya tidak ada masalah semasa lafaz ijab kabul dibuat.
Sumber: muftiwp.gov.my
Tips Lafaz Akad Nikah Dengan Lancar
Detik bahagia semakin hampir! Debaran semakin dirasai, jantung dupdap laju mengenangkan hari pernikahan yang bakal tiba itu nanti. Sang lelaki terfikir-fikir macam mana gambaran kejadian untuk lafaz akad nikah itu nanti? Sang perempuan berdebar-debar juga menanti adakah sang lelaki berjaya lafazkan akad nikah itu di depan walinya itu nanti? Untuk menjadikan lafaz akad nikah diungkapkan dengan lancar itu, disini ada beberapa tips untuk membuatkan lafaz akad nikah dengan lancar.
1. Siapkan Checklist Nikah
Tips pertama, pihak pengantin lelaki seharusnya buat persediaan awal seperti buat checklist apa yang perlu ada semasa akad nikah itu nanti. Namun begitu, jangan lupa untuk praktis sebutan lafaz ijab Kabul itu nanti seperti nama bakal isteri dan walinya itu. Setiap hari perlu praktis bercakap depan cermin supaya dapat melihat penampilan anda sendiri dengan yakin!
2. Dapatkan Tidur Yang Secukupnya
Seterusnya, anda perlu tidur awal dan rehat secukupnya. Ini kerana, tidur yang cukup akan membangkitkan mood dalam keadaan yang baik. Pastikan rehat secukupnya supaya kesihatan berada dalam keadaan yang baik. Emosi perlu dijaga, apabila emosi dalam keadaan tenang dan baik, ia akan membuatkan diri anda dalam keadaan bertenaga untuk melafazkan akad nikah itu nanti! Apabila anda kurang tidur dan rehat, keberangkalian akan mengakibatkan anda lemah dan tidak bermaya semasa majlis pernikahan itu nanti.
3. Jangan Risau & Berfikiran Positif
Namun begitu, jangan lupa untuk sentiasa berfikiran positif! Set dalam minda bahawa anda yakin dapat melafazkan ucapan akad nikah itu tanpa gagap, perkara normal lah sifat gemuruh atau berdebar itu memang akan ada bagi setiap pengantin lelaki, tapi anda seharusnya kawal rasa gemuruh itu supaya dapat lafaz dengan nada sebutan yang jelas. Paling penting sekali, anda perlu tenangkan diri dan buang rasa negatif jauh-jauh dalam diri.
4. Doa, Solat Hajat & Solat Istikharah
Jangan lupa untuk sentiasa berdoa pada Allah SWT pemilik alam semesta ini. Ini kerana, jodoh juga adalah ketentuan dariNYA. Kita sebagai manusia, hanya perlu usaha dan berdoa padaNYA.
Sebaiknya, sebelum majlis pernikahan ini berlaku, perbanyakkan solat hajat dan solat istkhirah. Mohon doa pada Tuhan supaya DIA permudahkan urusan pernikahan itu nanti. Sesungguhnya Allah sebaik-baik penolong dan sebaik perancang.
5. Datang Awal Ke Majlis Akad Nikah
Semasa majlis pernikahan itu nanti, sebaiknya datang lebih awal supaya anda tidak kelam kabut. Ini kerana jika anda datang lewat, ia akan mengakibatkan anda menjadi stress dan boleh menyebabkan hilang fokus serta takut akan terlupa apa yang hendak dilafazkan nanti. Keadaan yang kelam kabut juga akan menyebabkan jiwa anda kucar kacir dan paling bahaya apabila anda gugup semasa bercakap di depan tok kadi nanti.
6. Selesakan Diri
Tambahan lagi, pastikan anda duduk dalam keadaan posisi yang selesa. Duduk dengan keadaan yang bersedia, tenangkan fikiran dan yakinkan dalam hati bahawa “Aku boleh!”. Semasa tok kadi sudah sampai, dan anda ingin melafazkan akad nikah itu nanti, jaga pernafasan dengan baik! Tarik nafas perlahan-lahan dan lepaskan dengan baik. Jangan terlalu gementar apabila melihat ramai orang memandang anda, Jika anda takut, sebaiknya anda cuma fokus melihat tok kadi, wali dan orang tertentu sahaja dan lafazkan dengan nada tenang!
7. Senyum
Dan akhir sekali, berilah senyuman yang manis dan ikhlas terhadap semua orang, kerana senyuman itu pasti membuatkan anda cool, tenang dan bersemangat untuk melafazkan akad nikah di hari bahagia anda itu nanti!
Diharap tips lafaz akad nikah ini akan membantu bakal suami untuk membuat persediaan dengan lebih baik dan awal. Persediaan yang awal membuatkan anda lebih yakin untuk membuat lafaz akad nikah nanti.
Pihak lelaki tidak perlu takut untuk hadapi lafaz akad nikah ini, cuma tenangkan diri dan bersedia juga untuk membaca ilmu tentang perkahwinan, yelah mana tahu sebelum lafaz akad dijalankan, tok kadi akan tanya soalan-soalan nikah pula.
Yakin pada diri dan doa pada Allah SWT supaya majlis berjalan lancar dan dipermudahkan urusan pernikahan anda bersama bakal isteri anda itu. InshaaALLAH, niat yang baik dan ikhlas, Allah akan tolong dan permudahkan urusan anda!
Diucapkan tahniah kepada bakal mempelai, Selamat mendirikan bahtera rumah tangga yang bahagia bersama cinta hati! Semoga urusan anda dipermudahkan Tuhan dan diberi kebahagian till jannah! Amin Ya Rabbal Alamin.