Berbicara mengenai hal perkahwinan, perkara pertama yang terlintas tentunya tentang segala persiapan yang harus dirancang dan dilaksanakan. Di dalam kesibukan merancang sesebuah majlis perkahwinan itu, adat dan budaya tidak harus diketepikan.

Maklumlah, bak kata pepatah, biar mati anak, jangan mati adat. Malam berinai merupakan antara tradisi perkahwinan masyarakat melayu yang semakin popular dan seolah-olah dihidupkan semula pengamalannya pada hari ini.

Malam Berinai - Featured Image
Sumber: @sitinorhafizajasni

Sebelum kita merungkai dengan lebih mendalam tentang keunikan tradisi ini, penting untuk dinyatakan di sini mengenai maksud malam berinai. Malam berinai secara amnya sebuah majlis yang diatur secara rapi dan dilakukan selama tiga hari berturut-turut sebelum berlangsungnya akad nikah dan majlis resepsi.

Pengantin akan dihiasi dengan inai dan majlis dihadiri oleh kenalan rapat dan ahli keluarga pengantin. Terdapat tiga jenis malam berinai iaitu malam berinai curi, malam berinai kecil dan malam berinai besar.

Kandungan

1. Malam Berinai Curi

Jarang sekali kita dengar mengenai adat ini bukan? Sebenarnya, jika kita ingin mengenengahkan adat malam berinai mengikut tradisi melayu yang sebenar, majlis berinai harus dimulakan dengan aturcara ini. Malam berinai curi diadakan pada waktu petang atau pada sebelah malamnya, tiga hari sebelum majlis akad nikah berlangsung.

Pengantin perempuan akan didudukkan di atas pelamin yang telah dihias indah dan dipakaikan inai pada kedua-dua belah tapak tangan dan kaki. Harus diingatkan di sini bahawa majlis ini mengikut adat asalnya, hanyalah untuk tatapan keluarga terdekat sahaja.

2. Malam Berinai Kecil

Aturcara ini diadakan selepas majlis berinai curi dilaksanakan. Pengantin perempuan akan dipakaikan inai pada kedua-dua belah tangan dan kaki.

Pada malam ini juga, pengantin lelaki akan turut dipakaikan inai pada jari kelingking, jari manis dan jari hantu sama ada pada sebelah tangan sahaja atau kedua belah tangannya.

Majlis ini lebih terbuka berbanding majlis berinai curi kerana akan dihadiri oleh lebih ramai kenalan rapat, sahabat handai dan semua ahli keluarga.

3. Malam Berinai Besar

Ini merupakan acara kemuncak sebelum berlangsungnya majlis akad nikah pada keesokkan harinya. Namun begitu, terdapat juga tradisi yang melaksanakan majlis berinai besar ini selepas berlangsungnya akad nikah antara kedua-dua mempelai tetapi ianya tidak begitu sinonim di dalam kalangan masyarakat melayu pada masa kini.

Aturcara majlis ini melibatkan lebih ramai tetamu jemputan daripada kedua pihak pengantin lelaki dan perempuan. Pengantin lelaki akan diarakkan ke atas pelamin terlebih dahulu diikuti dengan pengantin perempuan.

Kemudian, istiadat akan dimulakan dengan acara membuang sedikit nasi kunyit pada sebelah kiri dan kanan pengantin lelaki. Acara diteruskan dengan menggunakan bertih, kemudian diikuti dengan tangkai daun wangi yang dicelupkan dengan air setawar lalu digunakan untuk menyentuh belakang tapak tangan pengantin.

Akhir sekali, sedikit pes inai yang diletakkan di atas daun sirih disapu secara perlahan pada tapak tangan pengantin lelaki menjadi simbolik perkahwinan yang akan atau telah dilangsungkan.

Malam Berinai Dalam Islam

Pasti ada di kalangan kita juga akan tertanya-tanya mengenai kewajipan melaksanakan malam berinai ini dari sudut pandangan islam. Memang benar adat harus dijunjung tetapi agama juga perlulah menjadi keutamaan.

Islam tidak mencegah pengamalan tradisi ini sebagai suatu langkah untuk mengekalkan tradisi masyarakat melayu tempatan semata-mata. Namun begitu, Islam juga tidak mewajibkannya kerana ingin memudahkan urusan sesebuah majlis perkahwinan.

Bakal pengantin di luar sana yang mampu dan ingin merasai sendiri pengalaman perkahwinan cara tradisional dan unik, digalakkan untuk melaksanakannya mengikut tradisi yang betul.

Sejarah Malam Berinai

Suka juga untuk dibahaskan di sini, tentang tradisi malam berinai mengikut pandangan sejarah. Adat malam berinai ini merupakan suatu adat yang menggalakkan penyusunan dan pengurusan sosial hidup masyarakat melayu.

Adat ini mengajar masyarakat setempat supaya mengamalkan nilai-nilai murni seperti kerjasama, saling hormat-menghormati, mempunyai toleransi serta lain lain dan dicapai melalui konsep perkahwinan.

Ini dibuktikan dengan melihat para tetamu yang terdiri daripada kalangan ahli keluarga terdekat mahupun jauh, sahabat handai, jiran tetangga bukan sahaja hadir untuk memeriahkan majlis semata-mata malahan turut saling membantu di dalam persiapan perkahwinan tersebut.

Tambahan pula, pihak keluarga pengantin juga dilihat begitu teruja untuk menghidangkan juadah serta menyediakan cenderamata sebagai tanda meraikan tetamu yang hadir. Ini secara tidak langsung, dapat mengeratkan lagi silaturrahim sesama mereka yang telah saling mengenali mahupun bagi mereka yang baru bertemu di dalam majlis tersebut.

Berbeza dengan majlis resepsi, suasana malam berinai dianggap lebih intim dan tertutup. Selain itu, antara elemen terpenting di dalam sebuah majlis malam berinai adalah inai atau turut dikenali sebagai ‘henna’. Antara tujuan malam berinai dilakukan secara tiga hari berturut-turut adalah untuk mendapatkan warna inai yang sempurna pada kedua-dua belah tangan dan kaki pengantin.

Pes inai yang dipakai oleh pengantin diperbuat dari daun inai segar yang direndam dengan air terlebih dahulu sebelum ditumbuk bersama dengan nasi dan dicampurkan dengan sedikit minyak pati dan gambir. Bahan-bahan ini digunakan bertujuan supaya inai tersebut lebih merah dan tahan lama.

Tetapi, apabila zaman semakin moden, tradisi berinai juga turut berkembang mengikut peredaran masa. Daun inai kini boleh didapati dalam bentuk serbuk atau pes segera yang kebanyakkannya diimport dari India & negara timur tengah kerana budaya berinai ini juga sinonim dengan tradisi mereka.

Selain daripada itu, sudah menjadi trend masa kini, bakal pengantin menggunakan khidmat inai untun mencorakkan inai kepada pelbagai jenis bentuk bunga dan daun sesuai dengan permintaan pengantin. Apa yang lebih menarik, trend inai pada masa kini bukan sahaja terhad kepada penggunaan inai merah sahaja tetapi inai berwarna putih turut mendapat tempat di hati bakal pengantin.

Sedikit maklumat tambahan buat bakal pengantin di luar sana, perkhidmatan henna artis ini mudah didapati di laman sosial media seperti Facebook dan Instagram dengan harga di antara RM80 hingga RM300 bergantung kepada pakej yang ditawarkan.Bukan sahaja majlis perkahwinan mempunyai tema dan konsep idaman ye, malahan malam berinai juga turut tidak ketinggalan untuk mempunyai temanya yang tersendiri.

Daripada tatarias pelamin hinggalah kepada pemakaian, semuanya amat dititikberatkan. Di bawah ini disenaraikan antara 3 tema paling popular yang boleh dijadikan idea buat bakal pengantin yang masih tercari-cari tema bagi malam berinai mereka.

Tema Malam Berinai

1.     Bollywood

Tema ini cukup popular dan sering menjadi pilihan selebriti tempatan. Bakal mempelai akan mengenakan pakaian ala-ala selebriti Bollywood seperti sari dan kurta serta barang kemas daripada pelbagai jenis warna dan corak.

Pelamin juga akan dihiasi dengan bantal berwarna-warni dan hiasan yang ceria bertepatan dengan konsep yang dipilih. Selain itu, cenderamata dan juadah yang dihidangkan juga terdiri daripada menu masakan india seperti nasi briyani, kari ikan, manisan ladu yang popular.

2.     Melayu Tradisional

Bagi tema ini, bukan sahaja busana pilihan melayu tradisional diutamakan, tetapi juga adat warisan melayu dahulu kala turut sama diketengahkan. Bagi aspek pemakaian, bakal pengantin dan tetamu yang hadir akan mengenakan pakaian tradisional melayu seperti baju kurung, baju kurung kedah dan kebaya.

Untuk pelamin pula didekorasikan secara ringkas dengan menggunakan tikar mengkuang dan bunga-bunga tradisi bagi menaikkan lagi tema kemelayuan. Apa yang lebih menarik, terdapat juga adat makan dalam dulang dilakukan yang cukup sinonim dengan adat istiadat masyarakat melayu.

3.     Baju Tidur

Buat pengantin yang inginkan sesuatu yang berlainan, tema baju tidur ini bukan sahaja comel dan unik, tetapi juga cukup menjimatkan. Pakaian yang dipakai adalah baju tidur sama ada kaftan, baju kedah digandingkan dengan sarung batik ataupun baju tidur yang bercorak kartun.

Untuk idea yang lebih kreatif, bakal pengantin boleh juga memilih untuk mengenakan konsep arabian, puteri kayangan ataupun ala-ala bali dan hawaii. Walau apa pun konsep yang menjadi pilihan, apa yang penting ialah ianya bersesuaian dengan bajet dan masih mengangkat tradisi dan warisan sebenar malam berinai ini diadakan.

Sungguhpun malam berinai merupakan tradisi yang tidak harus dilupakan, akan tetapi urusan sesebuah perkahwinan itu sebaik-baiknya dipermudahkan seperti yang dianjurkan di dalam Islam. Bagi mereka yang berkemampuan adalah disarankan untuk mengikut adatnya secara tertib.

Namun, bagi mereka yang mempunyai bajet yang terhad tetapi masih mahu merasai kemeriahan budaya ini, bakal pengantin boleh merancang untuk melakukan satu sahaja majlis malam berinai secara sederhana dan dihadiri oleh kenalan dan saudara rapat.

Baca: 21 Hidden Hantaran Menarik | Design & Tema Popular (2019)

Segala kelengkapan berinai kini sangat mudah didapati secara online, harganya juga murah dan berpatutan. Anda boleh mendapatkan sahabat dan ahli keluarga untuk mencorakkan sendiri tanpa perlu khidmat henna artis.

Apa yang penting, kerjasama dan hubungan silaturrahim dapat dijalinkan dan dalam masa yang sama kemeriahan majlis malam berinai turut boleh dinikmati. Diharapkan artikel ini dapat memberi manfaat dan selamat pengantin baru buat bakal-bakal pengantin di luar sana!