Perkahwinan yang bakal dilangsungkan bukan sahaja menyentuh aspek persediaan majlis pernikahan mahupun resepsi semata-mata, tetapi apa yang perlu diutamakan adalah soal penyediaan mas kahwin yang hukumnya wajib di dalam Islam.

Jadi apa itu mas kahwin? Pasti ramai di kalangan bakal pengantin di luar sana yang masih keliru untuk membezakan antara mas kahwin dengan wang hantaran. Sebenarnya, mas kahwin atau dikenali sebagai mahar secara ringkas bermaksud pemberian wajib yang perlu diberikan oleh pengantin lelaki kepada pengantin perempuan.

Manakala menurut pandangan fiqh Islam, diterangkan lagi dengan lebih terperinci iaitu sesuatu harta yang pihak lelaki wajib serahkan kepada perempuan kerana adanya akad nikah yang menghalalkan perhubungan di antara keduanya.

Kandungan

Kepentingan Mas Kahwin Dalam Islam

Hukum pemberian mas kahwin adalah wajib sepertimana yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam Al Quran, Surah An-Nisa, Ayat 4, Allah SWT berfirman:

Surah Yusuf - Ayat 4

Di dalam ayat ini, Allah SWT memerintahkan para suami untuk memberi mas kahwin kepada bakal isteri secara sukarela dan bukan di dalam terpaksa. Penting juga untuk diingatkan, bahawa mas kahwin berbeza dengan wang hantaran.

Adalah haram bagi suami mahupun kedua-dua belah keluarga pengantin untuk menggunakannya tanpa kerelaan pengantin perempuan. Islam meletakkan mas kahwin ataupun mahar ini menjadi hak eksklusif para isteri untuk digunakan sebaiknya.

Kadangkala isu mas kahwin ataupun mahar ini boleh menjadi punca sesebuah perkahwinan itu dibatalkan ataupun penyebab kepada salah faham dan pergaduhan di antara kedua-dua belah pihak pengantin dan keluarga yang terlibat. Ini kerana kurangnya fahaman yang betul di dalam pengertian mas kahwin menurut pandangan Islam. Kebiasaannya, isu dan permasalahan mula timbul apabila jumlah atau ketetapan mas kahwin yang diminta oleh pihak perempuan berada di luar kemampuan pihak lelaki.

Islam mengiktiraf bahawa setiap individu mempunyai latar belakang sosio-ekonomi yang berbeza. Oleh kerana itu, Islam pada dasarnya tidak menetapkan sebarang kadar bagi mas kahwin dan memberi kelonggaran kepada masyarakat untuk menentukannya sendiri bagi tujuan mempermudahkan urusan perkahwinan.

Akan tetapi, bagi mengelakkan sebarang permasalahan seperti adanya unsur penipuan dan penganiayaan terhadap kedua-dua belah pihak pengantin, Majlis Agama Islam Negeri telah mencapai kata sepakat untuk meletakkan nilai mas kahwin pada kadar tertentu seperti yang dipraktikkan di Malaysia ini dan boleh dirujuk seperti jadual di bawah:

Kadar Mas Kahwin Mengikut Negeri Di Malaysia 2019

NegeriNilai Janda RMNilai Bujang RM
Johor22.5022.50
Melaka100.00100.00
Negeri Sembilan12.0024.00
Selangor300.00300.00
Kuala Lumpur40.0080.00
Perak101.00101.00
Pulau Pinang24.0024.00
KedahTiada KetetapanTiada Ketetapan
PerlisTiada KetetapanTiada Ketetapan
Pahang22.5022.50
TerengganuTiada KetetapanTiada Ketetapan
KelantanTiada KetetapanTiada Ketetapan
Sabah80.00100.00
Sarawak120.00120.00
Labuan80.0080.00
Putrajaya80.0080.00

Sungguhpun kadar mas kahwin yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri adalah mengikut kategori atau status seseorang wanita, namun secara am nilainya adalah sama dan tiada unsur diskriminasi serta bersesuaian dengan apa yang dianjurkan oleh Islam.

Bagi negeri Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan yang tidak menetapkan kadar mas kahwin, nilainya ditentukan sendiri oleh ahli keluarga pengantin mengikut persetujuan bersama.

Bila Perlu Kita Beri Mas Kahwin?

Persoalan seterusnya adalah, bilakah mas kahwin perlu diserahkan? Mengikut tradisi perkahwinan di dalam kalangan masyarakat melayu di Malaysia, mas kahwin akan diserahkan kepada pihak perempuan sejurus selesai majlis akad nikah dan diberikan di dalam bentuk wang tunai.

Selain itu, trend memilih senaskah Al-Quran untuk dijadikan sebagai mas kahwin juga turut popular di kalangan bakal pengantin di Malaysia. Ia menjadi simbolik panduan hidup berumah tangga berlandaskan syariat Islam. Namun bagi kes-kes tertentu, fiqh Islam tidak mensyaratkan supaya mas kahwin diberikan dengan segera.

Hukum penangguhan mas kahwin ataupun hutang adalah diharuskan dan pernikahan yang berlangsung tetap sah. Tetapi ini semua bergantung kepada rundingan yang dicapai antara kedua pasangan pengantin terutamanya atas persetujuan si isteri. Apa yang penting ialah penangguhan tersebut mestilah diberi ketetapan dari segi waktu dan nilainya.

Elok juga untuk dibahaskan di sini mengenai hikmah penangguhan mas kahwin kepada pihak perempuan. Penangguhan ini bertujuan bukan sahaja bagi memudahkan urusan pihak lelaki tetapi juga untuk memberi pelindungan kepada wanita. Jika dilihat daripada perspektif jaminan sosio-ekonomi, sekiranya terjadi musibah seperti penceraian atau kematian suami, penangguhan mas kahwin ini dengan secara tidak lansungnya menjamin supaya suami tidak boleh sewenang-wenangnya menganiaya, mengabaikan atau menceraikan isteri dengan mudah.

Boleh Ke Bagi Mas Kahwin Lebih Dari Yang Ditetapkan?

Berbicara mengenai mas kahwin, timbul juga persoalan seperti adakah dibolehkan untuk mengurangkan atau menambah kadar mas kahwin? Bagi pemberian mas kahwin lebih daripada apa yang telah ditetapkan, adalah dibenarkan bersesuaian dengan kemampuan pengantin lelaki.

Namun begitu, suka untuk diingatkan disini bahawa seorang wanita yang baik tidak akan membebankan bakal suaminya terutamanya dalam urusan mahar. Ini bersesuaian dengan hadis Nabi SAW:

Hadis Nabi Berkenaan Dengan Mas Kahwin

Boleh Ke Bagi Mas Kahwin Kurang Dari Kadar Yang Ditetapkan?

Selain itu, bagi persoalan untuk mengurangkan kadar mas kahwin dan tidak mengikut seperti apa yang telah ditetapkan, adalah tidak dibolehkan mengikut syariat Islam.

Islam mengharuskan supaya mas kahwin yang diterima perlulah memiliki nilai dan memberi manfaat kepada isteri. Contohnya seperti perhiasan emas, perak, barangan berharga atau pemberian wang ringgit yang dilihat sebagai mudah dan selamat.

Ada juga di kalangan mereka yang berkemampuan, menjadikan trend kelengkapan hidup seperti rumah dan kereta sebagai mas kahwin. Pemberian ini cukup istimewa buat bakal isteri.

Dalam urusan pengendalian mas kahwin, Islam cukup menitikberatkan kebajikan kedua-dua belah pihak bakal suami dan isteri. Mas kahwin yang dipersetujui hendaklah melalui rundingan bersama dan tiada unsur paksaan dalam menerima atau memberinya. Malahan, harus diingatkan juga bahawa nilai mas kahwin bukanlah harga diri seseorang wanita tersebut, tetapi semata-mata sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan hak wanita sebagai isteri di dalam rumahtangga.

Baca: 16 Soalan Akad Nikah Yang Selalu Di Tanya Tok Kadi

Bagi bakal suami pula, pemberian mas kahwin dapat memperlihatkan kesungguhan dan keikhlasan dalam membuktikan cinta dan kasih sayang kepada wanita yang bakal dinikahinya. Bakal suami haruslah mempersiapkan mas kahwin sebaik-baiknya daripada hasil usaha sendiri tanpa mengharapkan ihsan orang tua apatah lagi membebani orang lain dengan cara berhutang.

Ini kerana, dalam konteks sesebuah perkahwinan, tiada lain yang perlu dicari selain daripada keberkatan yang berpanjangan. Diharapkan perkongsian pada kali ini dapat membekalkan ilmu yang bermanfaat khusus buat semua bakal pengantin di luar sana. Selamat pengantin baru!