Perkahwinan merupakan sunnah Nabi Muhammad saw yang dituntut dan digalakkan oleh Islam bagi mereka yang telah cukup memenuhi syarat dan berkemampuan daripada pelbagai aspek.
Perkahwinan di dalam pandangan Islam bukan hanya semata-mata sebagai penyatuan dua jiwa dan soal cinta, tetapi ia merupakan ibadah dan kepentingan untuk memikul tanggungjawab di antara suami dan isteri.

Buat mereka yang sedang merancang untuk mendirikan rumahtangga dalam masa terdekat atau sebaliknya, adalah penting untuk mempersiapkan diri dengan ilmu agama dan bukannya hanya tertumpu kepada persediaan majlis sahaja. Ini sesuai dengan firman Allah swt di dalam Surah An-Nisa, ayat 1:

Antara perkara yang wajib diketahui oleh bakal pengantin sama ada lelaki atau perempuan ialah rukun dan syarat sah nikah. Ini penting kerana tanpa memenuhi salah satu rukun atau syarat sah nikah, sesuatu pernikahan itu boleh dianggap sebagai tidak sah.
Jadi, mari kita lihat apakah antara perkara dan isi penting di dalam aspek rukun dan syarat sah nikah ini menurut pandangan Islam.
Apa Itu Rukun Nikah?
Pertama sekali kita perlu mengetahui bahawa terdapat perbezaan di antara rukun nikah dan syarat sah nikah tetapi keduanya wajib disempurnakan bagi tujuan sah sesuatu pernikahan tersebut. Pada asasnya, seperti yang telah dipersetujui oleh jumhur ulama’, Rukun Nikah ada 5 Perkara, iaitu:
- Pengantin Lelaki (suami)
- Pengantin Perempuan (isteri)
- Wali
- Dua orang saksi
- Ijab dan Kabul
Setiap perkara yang terdapat pada rukun nikah seperti yang dinyatakan di atas, haruslah memenuhi beberapa syarat yang telah ditetapkan. Di sinilah, syarat sah nikah diaplikasi dan digunapakai.
Oleh itu, penting di sini untuk syarat sah setiap rukun nikah tersebut diperjelaskan dengan lebih terperinci.
1. Syarat-Syarat Sah Nikah Pengantin Lelaki (Suami)
Di dalam konteks ini, seorang lelaki itu boleh dijadikan calon suami apabila dia telah memenuhi syarat-syarat seperti yang telah digariskan di bawah, iaitu:
- Beragama Islam
- Nyata calon itu ialah lelaki
- Bukan mahram dengan calon isteri
- Lelaki yang diketahui dan tertentu
- Berkahwin atas kerelaan sendiri dan tidak terpaksa
- Mengenali wali yang sah di dalam perkahwinan tersebut
- Mengetahui bahawa calon isteri itu halal untuk dinikahi
- Tak mempunyai 4 orang isteri yang sah dalam suatu masa
- Bukan di dalam ihram umrah atau haji
2. Syarat-Syarat Sah Nikah Pengantin Perempuan (Isteri)
Wanita juga harus memenuhi syarat-syarat di bawah ini untuk sah dijadikan isteri di dalam sesebuah perkahwinan, iaitu :
- Beragama Islam
- Nyata calon itu ialah perempuan dan bukan khunsa
- Wanita yang halal dikahwini oleh lelaki tersebut iaitu bukan muhrim
- Perempuan yang tertentu
- Berkahwin atas kerelaan sendiri dan bukan terpaksa
- Bukan dalam keadaan iddah’
- Jelas statusnya sebagai perempuan yang tidak bersuami
- Bukan dalam keadaan ihram Haji atau Umrah
3. Syarat Sah Wali
Islam mewajibkan kepada setiap wanita itu seorang wali yang sah untuk menikahkannya sebagai suatu tanda kemuliaan maruah diri dan demi kepentingan masa depannya.
Wali memainkan peranan yang cukup penting di dalam kehidupan seseorang wanita kerana menjadi wali merupakan suatu amanah dan tanggungjawab untuk memastikan wanita yang berada di bawah jagaannya terpelihara bukan hanya dari segi perkahwinan, tetapi juga dalam soal pemberian nafkah dan nasab umpamanya.
Oleh itu, jelaslah kepada kita bahawa wali bukan hanya boleh dipilih secara membuta tuli, tetapi Islam telah menggariskan panduan yang ketat bagi syarat sah wali, iaitu:
- Beragama Islam
- Seorang Lelaki
- Baligh & Berakal
- Waras
- Adil & Tidak Fasiq Ketika Aqad
- Tidak Dalam Ihram
- Bukan Seorang Safih (atau orang yang dicabut wilayahnya ke atas hartanya sebab mubazzir dan boros)
- Merdeka & Bukan Hamba.
Namun begitu, isu wali ini merupakan antara isu yang seringkali menjadi kekeliruan dalam kalangan bakal pengantin terutamanya pengantin perempuan yang mempunyai masalah daripada segi kesahihan wali.
Tuntutan Susunan Wali
Secara asasnya, bapa merupakan wali yang paling utama di dalam sesebuah pernikahan tersebut. Namun, sekiranya terdapat permasalahan tentang peranan bapa sebagai wali yang sah, jangan bimbang, Islam telah menyenaraikan tuntutan susunan wali bagi bakal pengantin perempuan untuk mempermudahkan lagi segala urusan.
Tetapi, jika masih terdapat sebarang ketidakpastian di hal ini, seelok-eloknya perkara ini dirujuk terlebih dahulu kepada mana-mana pejabat agama bagi mengelakkan sebarang permasalahan berlaku ketika akad nikah berlangsung ataupun apa yang lebih membimbangkan adalah pernikahan yang dijalankan menjadi tidak sah.
4. Dua Orang Saksi
Peranan saksi juga amat penting di dalam sesebuah pernikahan yang bakal dilangsungkan. Ini kerana, saksi merupakan mereka yang bertanggungjawab menjamin kesahihan sesuatu ijab dan kabul selain daripada berperanan untuk memberikan penjelasan sekiranya pertelingkahan atau permasalahan berlaku di dalam sesebuah rumahtangga di kemudian hari.
Syarat-Syarat Sah Saksi
Seterusnya, kehadiran saksi yang sah juga dapat mengelakkan sebarang fitnah terhadap sesebuah perkahwinan yang dibina. Oleh itu, hanya sebahagian daripada mereka yang layak sahaja yang dibenarkan untuk menjadi saksi menurut Islam, iaitu :
- Beragama Islam
- Lelaki
- Baligh
- Berakal
- Merdeka
- Sekurang-kurangnya dua orang
- Tahu dan faham kandungan lafaz ijab dan qabul
- Tidak buta, bisu atau pekak
- Adil (Tidak melakukan dosa besar dan tidak berterusan melakukan dosa-dosa kecil)
- Bukan tertentu yang menjadi wali
5. Lafaz Ijab
Ijab merupakan ayat yang dilafazkan oleh wali yang sah sebagai tanda keizinan untuk menikahi seseorang wanita yang berada di bawah tanggungjawabnya kepada pengantin lelaki. Ini disertakan dengan lafaz, contohnya seperti:
Contoh Lafaz Ijab
“(Sebut nama penuh pengantin lelaki) Aku nikahkan engkau dengan anak perempuanku (Sebut nama penuh pengantin perempuan) dengan mas kahwinnya sebanyak (nyatakan mas kahwin yang telah dipersetujui) tunai”.
Syarat-Syarat Sah Ijab
Perlu diingatkan juga bahawa lafaz ijab ini hanya sah diterima sekiranya memenuhi syarat-syarat sah Ijab iaitu:
- Pernikahan dijalankan dengan menggunakan perkataan nikah atau perkataan yang mempunyai maksud yang sama secara tepat dan jelas.
- Tiada tempoh tertentu untuk diikat (contoh nikah kontrak/mutaah)
- Tidak secara taklik
- Tidak dibenarkan menggunakan kiasan atau sindiran
- Nikah dilafazkan oleh wali atau wakilnya
6. Lafaz Kabul
Apabila lafaz ijab telah disebut dan memenuhi syarat sah seperti yang telah dinyatakan, maka lafaz Kabul oleh pengantin lelaki haruslah dijalankan segera, seperti:
“Aku terima nikahnya (sebut nama penuh pengantin perempuan) dengan mas kahwinnya sebanyak yang tersebut”
Syarat-Syarat Lafaz Kabul
Lafaz Kabul juga perlu memenuhi beberapa syarat tertentu sebelum sesebuah pernikahan itu disahkan, iaitu:
Demikianlah penjelasan rukun nikah dan syarat sah nikah seperti yang telah digariskan dalam Islam. Suka juga untuk dibahaskan secara ringkas di sini tentang beberapa perkara penting di dalam sesebuah perkahwinan iaitu alam pertunangan dan tujuan pernikahan menurut Islam.
Melalui fasa ke arah sesebuah perkahwinan itu bukanlah sesuatu yang mudah, begitu banyak persiapan yang perlu dilakukan dalam masa yang singkat. Pada masa kini, permodenan zaman telah banyak merubah perspektif masyarakat terhadap nilai perkahwinan itu sendiri.
Haruslah diingatkan kepada bakal pengantin di luar sana untuk tidak terus lalai di dalam mempersiapkan diri dengan ilmu-ilmu rumahtangga terutamanya dari segi agama.
Islam mengangkat sesebuah pernikahan itu sebagai suatu ikatan yang cukup mulia malahan menjadi antara jalan termudah mencapai syurga buat lelaki dan perempuan sekiranya memenuhi tujuan pernikahan seperti yang dituntut.
Tujuan Utama Bernikah
Terdapat 3 tujuan utama yang di dalam pernikahan yang perlu dititikberatkan sebelum kita melangkah ke arah gerbang perkahwinan.
1. Berkahwin untuk ibadah.
Ini kerana Allah swt menjanjikan ganjaran pahala yang berganda untuk setiap perkara baik yang dilakukan sebagai suami dan isteri. Tentunya juga lebih seronok kalau setiap ibadah dan tanggungjawab duniawi ataupun sebaliknya yang dahulu dilakukan bersendirian, tetapi kini mempunyai teman untuk bersama-sama melaksanakannya.
2. Berkahwin untuk memenuhi fitrah manusia.
Perkahwinan bagi mereka yang cukup berkemampuan amatlah digalakkan kerana ia dapat mengelakkan seseorang itu daripada terjerumus melakukan maksiat. Tambahan pula, sememangnya naluri dan fitrah seseorang manusia itu untuk hidup di dalam keadaan berkasih sayang.
3. Berkahwin untuk memelihara martabat manusia
Perkahwinan melahirkan keturunan masyarakat yang terpelihara nasabnya dan ini penting bagi menjamin keharmonian di dalam kehidupan. Selain itu, hubungan silaturrahim juga dapat dieratkan lagi sesama ahli keluarga dan kenalan kedua-dua pengantin.
Adab Bertunang Mengikut Islam
Akhir sekali, bila menyentuh hal perkahwinan ini memang kita tidak dapat mengelak daripada membicarakan soal pertunangan.
Orang melayu khususnya amat menitikberatkan fasa pertunangan ini dan majlis pertunangan sering disambut dalam keadaan meriah. Bagaimana pula pendirian Islam di dalam soal ini? Secara ringkasnya, fasa pertunangan penting sebagai langkah awal buat pasangan mengenali secara peribadi bukan hanya antara satu sama lain tetapi juga keluarga yang berkenaan. Justeru, Islam meletakkan juga beberapa panduan ringkas tentang adab bertunang, terutamanya daripada segi:
1. Adab Pergaulan
Fasa pertunangan bukanlah tiket bagi pasangan bakal pengantin untuk tidak membataskan pergaulan mereka. Batasnya tetap harus diutamakan di dalam setiap perbincangan atau perjumpaan yang ingin diadakan.
2. Hadiah Pertunangan
Islam tidak meletakkan cincin sebagai pemberian wajib ketika bertunang. Namun, ianya sudah menjadi adat di dalam kalangan masyarakat melayu untuk berbuat demikian. Apa yang penting ialah, hadiah yang diberikan pihak lelaki kepada perempuan merupakan simbolik tanda bahawa mereka telah dimiliki.
3. Tempoh Pertunangan
Fasa pertunangan itu besar dugaannya. Jadi sebaiknya pertunangan yang diikat itu tidak perlulah terlalu lama bagi mengelakkan sebarang fitnah atau permasalahan daripada berlaku.
Hebahan tunang juga tidak digalakkan di dalam Islam bagi memelihara kehormatan diri kedua-dua bakal pengantin serta ahli keluarganya. Oleh itu, majlis pertunangan besar-besaran seperti yang kita lihat pada hari ini, tidak digalakkan tetapi juga tidak dilarang sekiranya berkemampuan dan tidak membazir.
Begitulah sedikit sebanyak perkongsian tentang rukun nikah dan syarat sah nikah serta isu berkaitan dengannya yang dapat dibincangkan pada kali ini. Jangan bimbang sekiranya anda masih kurang jelas tentang isu ini kerana segala rujukan buat sebarang permasalahan berkaitan perkahwinan boleh diadukan kepada mana-mana pejabat agama yang bertauliah.
Apa yang penting ialah persediaan lebih awal daripada segala aspek perlulah dilakukan terlebih dahulu supaya sebarang masalah dapat diatasi sebelum majlis berlangsung. Semoga berjaya dan selamat pengantin baru buat bakal-bakal pengantin di luar sana!